Tidak lengkap ilmu pancingan anda sekiranya sekadar menumpukan pada sesuatu aspek pancingan sahaja.
Walaupun ikan kuku bukanlah spesies popular yang diburu ramai pemancing, namun ia merupakan salah satu cabang pancingan yang ada pengikut dan teknik tersendiri.
Bagi memahami skop pancingan ini saya ke Kuala Pahang, Pekan menyertai ‘komplot nguku’ bersama tim Bream Fishing Malaysia yang diterajui oleh saudara Rosdi.
Pelajaran pertama yang saya pelajari adalah kemahiran imbangan badan berikutan lokasi pancingan adalah di atas batu-batu pemecah dan penahan hakisan ombak di muka kuala.
Ads
Pelajaran seterusnya adalah mengenali spot untuk melabuhkan umpan apabila pantai berbatu itu nanti akan ditenggelami air pasang.
Dan pelajaran terakhir yang paling mudah tetapi paling sukar untuk dilaksanakan, bersabar. Sabar menanti umpan diragut ikan dan sabar menahan peritnya sinar matahri tegak di atas kepala.
Ads
Menggunakan umpan resepi tersendiri oleh Rosdi, pancingan ikan kuku sebenarnya tidaklah terlalu taktikal dan sulit untuk dipratik.
Apa yang sulit sebenarnya ialah setelah ikan memakan umpan dan bertindak balas apabila mata kail tertancap pada mata kail.
Memandangkan spot pancingan adalah kawasan berbatu, pemancing haruslah tangkas bertindak balas dan bijak mengendalikan ikan daripada memutuskan tali pancing dengan menggeselkannya pada batu-batu tajam.
Sebarang kelekaan pasti akan berputih mata. Jika tali pancing tidak putus pula, batu ladung yang digunakan turut berpeluang tersangkut dicelahan batu sehingga menyebabkan ikan berjaya meloloskan diri.
Ads
Dan kejadian yang lebih berpihak kepada ikan ternyata banyak kali berlaku walaupun joran dikendalikan ahli ‘komplot nguku’ yang berpengalaman.
Walaupun dalam komplot ini saya gagal secara mutlak untuk merasai keseronokan melayan tarikan spesies Pasific seabream ini, namun ahli-ahli lain tetap juga berjaya mendaratkan beberapa ekor spesies dengan skala saiz yang agak memberangsangkan.
Sekurang-kurangnya saya berjaya juga menyentuh dan bergambar kenangan dengan spesies yang belum pernah saya pancing sebelum ini.
Setelah lebih setengah hari berpanas ngail ikan kuku di atas batu bersama sembilan orang ahli tim Bream Fishing Malaysia yang akrab dan mesra, kami berjaya juga membawa pulang beberapa ekor kuku, tamok dan siakap merah yang turut mencari makan di habitat ikan kuku.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perairan Sabah merupakan lokasi kegemaran bagi pemancing memburu ikan-ikan yang jarang-jarang bertemu di perairan Semenanjung.
Misi tetap diteruskan meskipun kegagalan 4 orang ahli asal yang tidak dapat turut serta atas alasan cuti dan terikat dengan pekerjaan yang tidak dapat pelepasan daripada majikan.
Tanpa gantian kami terpaksa menampung sedikit perbelanjaan dan kos tambahan disebabkan kekurangan ahli.
Trip selama 4 hari 3 malam ini menggabungkan separuh ahli yang pernah bertandang dan separuh lagi ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Sabah.
Di lapangan terbang Kota Kinabalu, kami dijemput oleh pemilik bot dan terus dibawa ke jeti di mana bot sedang menunggu.
Seperti biasa aksesori tambahan dan mana-mana yang tertinggal dalam senarai dibeli di kedai pancing yang terletak bersebelahan dengan pasar ikan. Bekalan umpan tambahan turut ditambah untuk mengimbangi jika berlaku kekurangan umpan.
Perjalanan panjang
Rasa mengantuk menguasai benak kepala gara-gara jam 3 pagi sudah bersiap mengemas barang dan bergerak ke lapangan terbang. Untungnya tempoh perjalanan ke lubuk pertama memakan masa hampir 7 jam, sudah cukup untuk semua ahli meletakkan kepala di 12 tempat peraduan dalam kabin bot.
Tiada perebutan, cukup, malah berlebihan pula tempat buaian di laut ini. Kali ini bot Seastar III dengan tekong Abdol digunakan. Lewat petang bot memperlahankan kelajuan, berlegar seketika sebelum sauh diturunkan ke dasar.
Kunjungan pada lewat hari pertama kami disambut dengan angin yang sedikit kurang mesra terhadap pemancing dari Semenanjung.
Apa pun ia tidak mematahkan semangat ramai yang seperti lazim tidak sabar menurunkan set pancing masing-masing setelah sekian lama menunggu untuk merasai ikan laut Sabah.
Basung atau selayang bersama ikan kayu atau tongkol menjadi sandaran umpan pada sesi pembukaan. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk ahli yang ingin jigging.
Ketika memasang kekili pada joran, Muslim antara yang mula-mula menurunkan set pancing beliau mengena ikan pertama trip ini.
Seekor ibu kerisi menyuntik semangat buat semua. Bacaan kedalaman pada set kekili elektrik yang digunakan ialah 90 meter, masih cetek lagi jika dibandingkan di sesetengah kawasan laut Sabah.
Angin nampaknya lebih kuat daripada arus sehingga semua tali hanyut menuju ke tali sauh.
Depan sudah jadi posisi belakang, satu situasi sukar untuk memancing. Menjelang senja seekor merah coreng membuatkan Hj Din menjadi orang kedua mendapat hasil.
Jarak masa sejam sudah menampakkan ikan kurang di lokasi pertama, memaksa tekong berpindah lubuk.
Umpan sotong
Di lubuk kedua, tekong dan awak-awak menumpukan usaha mencandat sotong yang kebetulan cukup banyak timbul di permukaan.
Lubuk berkenaan juga adalah tempat ikan jenahak dan siakap merah. Walaupun deruan angin semakin bertambah kelajuan, sotong begitu galak mengejar candat twist saiz kecil. Umpan cantik tapi ikan dasar pula enggan membuka selera.
Kutisan dan getuan ikan dengan sotong cumit hidup cukup lama. Namun satu getuan saiz ikan yang menelan sotong boleh dibanggakan. Sehingga awal pagi ikan terus menyepi apabila seekor jenahak skala 7 kg terlucut ketika di permukaan air.
Awal malam kedua kami menumpukan usaha mengumpul sotong hidup sebagai bekalan. Basung dan ikan kayu dibiarkan sepi dalam bekas ais. Perambut kekuatan 100 lb dua depa dengan dua mata 5/0 kerana sasaran kali ini bukan yang kecil.
Sotong yang baru dapat terus dicangkuk pada perambut yang sedia menanti. Selang beberapa detik kedengaran pemancing hadapan bergaya dengan sekor siakap merah.
Kekili elektrik terpakai Digitana SLS Shimano yang baru diuji sebelum ini beberapa kali kecundang akhirnya tidak menghampakan pemiliknya apabila tewasnya seekor kerapu 8.5kg.
Selepas kerapu suasana sepi kecuali aktiviti mencandat semakin rancak. Dari jigging, ramai yang memilih untuk turut serta mencandat sotong, menghilangkan rasa jemu menunggu dan letih jigging, baik layan sotong termasuk tekong sekali.
Siakap merah kedua malam tersebut muncul setelah begitu lama menunggu menjadikan ia siakap merah terbesar dalam trip ini.
Iffa yang setia menunggu sotong hidupnya disentap ikan boleh tersenyum apabila jenahak kedua muncul lagi dalam selang tempoh sejam lebih. Proses penantian yang cukup menyeksakan dan berkat kesabaran tinggi.
Fenomena air merah
Hari-hari terakhir, kawasan laut dipenuhi dengan fenomena air merah menjadikan ia kurang sesuai untuk memancing.
Mencari kawasan yang bebas dari air merah menjadi tugas jurumudi kerana harapan meninggi pada hari terakhir. Beberapa ekor kerapu bara berjaya dipancing sebelum kehadiran laut merah melanda.
Banyak juga kami dikejutkan dengan strike kasar namun kehilangan hasil kerana perambut sering putus apabila bergesel dengan karang.
Nasib sotong yang banyak diperolehi pada malam sebelumnya menjadi umpan pertaruhan apabila malam terakhir tiada sotong di lokasi.
Harapan seperti malam sebelumnya kalau dapat sotong hidup suspens sikit menunggu strike. Ibu kerisi dan anak kerapu memberi semangat buat yang masih berjaga malam berumpan sotong.
Paling seronok ialah menikmati sup kerapu bara oleh ahli trip di malam terakhir tanpa mempedulikan joran di sekeliling.
Kabin sekali lagi dipenuhi pemancing setelah penat seharian memancing. Terkilan sedikit kerana tekong banyak alasan apabila meminta supaya bertandang ke lubuk 200 meter untuk mengintai si ruby.
Apa yang dipastikan tekong dan awak-awak lebih gemar mencari kawasan air kedalaman purata 80 meter sesuai dengan set koyan yang digunakan mereka.
Di Sabah dan Sarawak kebanyakan konsep memancing ikan kepunyaan mereka berbanding Pantai Timur di mana tekong membantu pemancing menaikkan ikan. Ikan pula adalah kepunyaan penyewa sepenuhnya.
Di sini mereka memancing sebagai pendapatan tambahan dan hasil kadangkala dijual pula kepada pemancing yang berminat di atas bot. Ada kelemahan dan kebaikan sistem ini, tepuk dada tanya selera.
Oleh sebab julat getuan ikan ini amat jarang-jarang, penulis menulis artikel ini dari kabin bot sambil memerhatikan joran yang melenggok dibuai alun tanpa ada sentuhan dari pemangsa dasar.
Saya telah diberitahu oleh rakan mengenai terdapat sebuah lombong tinggal yang berpotensi dan dihuni spesies ikan yang bersifat game fish peringkat air tawar. Memandangkan lokasinya tidak jauh, kurang dari 30 km dari tempat tinggal kami, maka kami memulakan perjalanan.
Rakan saya, Kamaruzaman yang ketika Itu menggunakan gewang pensil melontar ke arah kawanan spesies yang dipercayai toman dan dengan satu lontaran sahaja gewang disentap mangsa.
Toman yang masih dianggap masih ‘budak sekolah’ berjaya didaratkan. Beratnya selepas ditimbang hanya 300 gram dan selamat dilepaskan semula ke habitat asal.
Di sebabkan kawasan lombong ini Luas dan tidak mempunyai halangan, Asseri mempraktikkan teknik trolling dan membuat beberapa pusingan di sekeliling lombong.
Satu desitan tali terhambur keluar dari rod yang di pacak di bahagian belakang bot. Gewang selaman dalam keluaran hinomiya berwarna hijau telah mengena. Melentur lentur joran akibat Diasak dengan cukup kuat.
Hampir 10 minit bertarung akhirnya Belida bersaiz hampir 3 kilogram berjaya ditangkap. Mata tiga gewang kemas tertancap di mulut mangsa.
Asseri sekali lagi membuat pusingan untuk trolling dan tanpa disangka sekali lagi seekor belida yang sama saiznya dan dipercayai pasangan belida ini berjaya kami peroleh.
Walaupun lokasi ini terdapat banyak lagi kawanan toman dan belida, khabarnya Ia telah dimasukkan dalam perancangan pihak berkuasa untuk dibangunkan pada masa hadapan.
Cuma masa yang akan Menentukan sampai bilakah ia mampu bertahan dan jika benar, habislah satu lagi port memancing yang best di kawasan Rawang ini.
Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Kelang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini.
Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak.
Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat.
Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu
di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan.
Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka.
Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan.
Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...