Melihat gambar-gambar hasil pancingan Cikgu Sabri atau Jenahak Panggang di Kelong Pozi membuatkan penulis tak senang duduk.
Mana taknya, setiap trip boleh dikatakan sukses belaka. Ada saja hasil terbaik berjaya dicungkil naik oleh beliau di kelong itu.
Trip 1.0
Mendapat sahaja perkhabaran ikan bandang sudah mula mendekati kelong membuatkan saya terus merancang trip ke sana.
Terkenal dengan kelicikannya memuntahkan kembali mata kail membuatkan si bandang menjadi target utama kami.
Tiba hari dijanjikan kami terus berkumpul di Jeti Pozi yang terletak di Kuala Lukut, Negeri Sembilan.
Sedang kami hanya membawa 2-3 set pancing setiap seorang, Cikgu Sabri pula sudah menanti dengan berbelas set pancing untuk menakluki ikan di kelong ini.
Perkara ini tidak menjadi sesuatu yang pelik jika memancing di kelong kerana, setiap set yang dibawa mempunyai tugas dan peranan yang berbeza menurut Cikgu Sabri.
Setiba di kelong, waktu sudah menganjak ke petang. Menurut Cikgu Sabri, waktu inilah yang terbaik untuk memburu si bandang.
Lewat petang dan awal pagi menjadi waktu aktif ikan ini mencari makanan. Untuk teknik pancingan bandang di kelong ini, kami mempraktikkan teknik penggunaan perambut sedepa yang dipadankan dengan batu bersaiz kecil.
Umpan pula, udang hidup bersaiz ibu jari kami taruhkan untuk menarik perhatian si bandang.
Agak lama juga umpan dilabuhkan tanpa sebarang sambaran. Hanya todak juvenil sahaja yang gemar mencuit udang hidup yang kami labuhkan.
Di kesempatan ini, kami mula mengalih perhatian untuk memburu ikan kapas dan daun baru yang banyak di kelong ini.
Kami terus menukar perambut 2 mata dengan mata kail kecil yang dipadankan dengan umpan udang kopek. Tak perlu tunggu lama untuk mendapatkan ikan ini.
Satu persatu ikan kapas, daun baru, bebolos dan selar hitam berjaya kami perolehi. Malah pemancing di hadapan kelong turut berjaya menaikkan ikan kaci dengan teknik ini.
Menjelang lewat petang barulah ada tanda-tanda si bandang mendekati kelong ini. Cikgu terus melontar umpan udang hidup di spot pilihan beliau iaitu di bahagian berhampiran dapur kelong.
Belum sempat meletakkan joran pada holder, si bandang terus menyambar umpan yang dilabuhkan tadi.
Sayangnya, mata kail tidak tertancap kemas pada mulut si bandang. Lucut!
Tidak berputus asa, teknik yang sama digunakan. Kali ini giliran Paez pula mendapat sambaran, tapi sayangnya rabut.
Menjelang malam tiada lagi potensi untuk kami menaikkan bandang. Jadi semuanya mengubah teknik pancingan yang lain.
Dari malam hingga keesokan harinya tiada langsung sambaran ikan besar terhadap umpan yang kami labuhkan. Hanya ikan-ikan kecil yang sudi menjamah umpan kami.
Biarpun trip ini tidak mencapai objektif utama, namun hasil-hasil pancingan di sini tetap pecah tong. Kami terus merancang untuk kembali semula ke sini bila tiba lagi musim si bandang nanti.
Trip 2.0
Panggilan telefon oleh Cikgu mengatakan bandang sudah masuk semula di Kelong Pozi memberikan berita baik buat kami.
Bersempena cuti umum, penulis bersama Paez dan jurugambar, Ayie terus mengatur perancangan ke sana.
Kali ini Cikgu turut membawa geng pancing DPRP dari Kuala Lumpur yang turut berminat untuk beraksi di kelong ini.
Kali ini kami tiba agak lewat di kelong, hari mulai gelap. Tiada harapanlah untukmemburu bandang pada waktu ini.
Jadi, untuk malam ini kami hanya mengaplikasikan teknik bottom untuk mencari ikan-ikan lauk.
Malam itu, Cikgu Sabri menjadi pembuka tirai apabila umpan sotong kurita yang dilabuhkan beliau mendapat sambaran yu kemejan berskala 3kg.
“Amat jarang nak dapat yu kemejan di kelong ini sekarang,” kata Cikgu. Petanda baik juga buat kami apabila geng DPRP turut berjaya menaikkan pari karang dengan menggunakan umpan sama.
Namun, cuaca tidak seperti yang dijangka. Tak semena-mena hujan turun dengan lebatnya pada malam itu.
Aktiviti memancing pun terhenti dan hujan berserta angin membawa sehingga ke pagi, sekali gus menyebabkan kami berada di kabin dan waktu terbaik melelapkan mata.
Awal pagi, kami terus melabuhkan umpan udang hidup untuk menjerat si bandang. Namun, kehampaan masih mengekori kami.
Faktor hujan pada sebelah malamnya menjadikan bandang tidak berminat untuk mendekati kelong.
Sehingga jam 10 pagi langsung tidak bersambut umpan yang kami hulurkan. Hinggalah suasana tiba-tiba bertukar kecoh, umpan ikan tamban yang dilabuhkan mendapat sambaran kasar di belakang kelong.
Hampir 5 minit aksi tarik menarik berlaku akhirnya muncul kilauan perak di dalam air. Senangin!
Melihat sahaja ramai yang sudah menanti di atas kelong, senangin tersebut melakukan pecutan akhir.
Ternyata kesilapan drag yang terlalu ketat memberikan peluang mudah untuk senangin memutuskan perambut. Sayang sekali.
Selepas kes putus itu, semakin kurang sambaran yang kami terima. Hanya ikan-ikan lauk sahaja yang menjadi target kami sebelum kami berangkat pulang petang nanti.
Ternyata 2 kunjungan kami untuk memikat bandang di kelong ini masih belum tercapai. Apa yang pasti, kami pasti akan kembali lagi nanti untuk memikat si pemecut durjana ini.
(Oleh : Mohd Fazrul)