“Betul-betul… bila orang perempuan memancing, pemancing lain di hujung dapat ikan, mulalah dia suruh pindah tempat. Sedangkan itu rezeki orang tu. Adoiii… apa pun tak boleh. Nak bising karang merajuk pulak.”
STYLO ABNI
Boleh… boleh je asalkan dia cangkuk sendiri umpan dan cabut mata kail daripada mulut ikan sendiri. Hahahaha. Ada berani?”
G WAN LEBO
“Betul… menyampah. Mintak tolong ikat itu la ini la. Mintak tolong pasang umpan la… hishhh! Macam-macam deme ni sudahnya awak langsung tak boleh aman nak memancing.”
Ads
AYIE AYIE
“Setuju! Pendapat paling tepat. Bagi saya, asalkan wanita tu tahu cangkuk umpan, tahu buat perambut, boleh tarik ikan… itu pun dah cukup. Jangan sampai mata kail pun tak tahu nak ikat tapi nak jugak memancing. Tu yang aku rasa nak je sepak ke laut. Hehehe…”
PAKLONG PAKLANG
“Betul tu. Nak-nak lagi kalau wanita nak masuk hutan… menyusahkan. Sebab bahaya ada di mana sahaja. Kalau setakat memancing di kolam tu lain ceritalah.”
Ads
MOHD AZULFITRI
“Benar… kalau org rumah ikut, siapa nak jaga anak? Kalau membangau je nanti tentu dapat gelaran ‘couple bangau berlangau ‘. Hahaha… jangan marah ya.”
PIDUT MFA
“Leceh la orang perempuan ni. Malam-malam tak boleh memancing. Sekejap nak balik la… nak berak la… macam-macamlah. Mata kail aku yang pasang, dapat ikan aku yang buka. Nak baling pun aku jugak. Sudahnya aku tak mancing terus.”
Ads
AMBER JACK
“Orang perempuan ni paling sesuai duduk kat rumah je… tunggu hasil memancing dari lelaki. Itu lagi bagus dari ikut orang lelaki pergi memancing.”
ABU SAGEN
“Memang tak sesuai tu bukan apa… nanti takut hitam pulak kulit tu. Kan tak cantik pulak. Tengok la kulit orang lelaki yang memancing… jarang sangat nak jumpa kulit cantik. Rentung banyak la.”
AHMAD SUKRI
“Faham-faham sajalah… atas bot memang payah nak kencing. Orang lelaki takpe sebab boleh kencing dalam botol. Hahahaha.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Hampir setahun perancangan untuk menduga perairan sekitar pelantar minyak atau boreng Dulang Terengganu dibuat, akhirnya trip selama 5 hari 4 malam pada bulan Mac menjadi kenyataan.
Trip ini disertai oleh Abang Aziz Jaffar, Abang Sehak Jamali, Baginda Apai, Nasa, Hamzan Setia, Shamsul Eryfin, Ayah Shamsul, Shamsul Basri, Abang Mat, Abang Hashim, Amy Bundle dan penulis sendiri.
Hari Pertama
Perjalanan untuk ke boreng pertama kami iaitu Puteri Dulang mengambil masa kira-kira 12 jam. Tepat jam 12 tengah malam barulah kami tiba ke lokasi pertama kami.
Kesemua ahli komplot bersemangat melabuhkan umpan namun ternyata nasib tak menyebelahi kerana 2 jam kami di sini sia-sia sahaja tanpa membuahkan sebarang hasil.
Melihat keadaan senyap sunyi, Tekong Che Mat terus mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi kedua iaitu Dulang B yang jaraknya hanya 1 jam dari lokasi pertama.
Sampai sahaja di sini, kemeriahan mula terasa apabila bertalu-talu merah suman menyerah diri kepada kami.
Umpan sotong segar ternyata menjadi penarik menjinakkan merah suman berskala 2-4kg. Sesekali, gerombolan alu-alu turut menjadi koleksi tangkapan kami. Namun banyak juga yang berjaya memutuskan perambut 70lb kami. Sabar jelah!
Tepat pukul 6 pagi, tong Coleman 500quat yang kami bawa penuh ikan anggaran 500kg, dan merah suman sahaja dianggarkan sebanyak 51 ekor berjaya dijinakkan pada malam pertama.
Hari Kedua
Hari kedua, kami berpakat untuk terjah semula ke Puteri Dulang yang menjadi lokasi kumpau kami di hari pertama.
Alhamdulillah, pertaruhan kami untuk ke sini semula ternyata berhasil kerana tekong berjaya mengesan kedudukan merah suman di lubuk ini.
Apa lagi? Berpestalah lagi kami dengan merah suman yang terkenal dengan semangat juang yang tinggi apabila mengena mata kail.
Di sini sahaja, kami menggasak hampir 50 ekor merah suman dan selepas itu, Che Mat terus membawa kami ke Semangkok B yang mengambil masa 2-3 jam perjalanan.
Di sini, spesies target kami bertukar pula kepada ikan pisang, jemuduk, kerapu pisang dan lain-lain.
Shamsul Eryfin menjadi orang pertama yang memecah kebuntuan di sini apabila berjaya menumpaskan kerapu pisang berskala 5kg dengan menggunakan khidmat bangla Miya Epoch X8.
Yang lain-lain pula asyik bergasak dengan ikan pisang dan jemuduk di sini. Awak-awak dan tekong yang menggunakan teknik jigging pula berhasil memujuk kerapu pisang dan beberapa ekor ebek.
Pada waktu malam kami kembali semula ke Puteri Dulang dan kali ini Che Mat melabuhkan kapal betul-betul di bawah pipe line Puteri Dulang.
Di sini teknik bottom memang paling berkesan untuk menewaskan boron, merah pucat, kerapu pisang, kakap merah dan jenahak.
Memang macam pesta apabila semua geng komplot terpaksa kerja over time melayan pemangsa dasar.
Ada masanya sehingga 4-5 joran mengena ikan dan memang sungguh meriah dibuatnya hingga tak sedar hari sudah menganjak ke pagi.
Hari Ketiga
Pada hari terakhir, tekong mengambil keputusan untuk kembali semula ke Semangkok B untuk melayan ikan pisang, jemuduk dan lain-lain.
Di sini, Apai mengena jackpot apabila umpan dasar yang dilabuhkannya disambar ikan merah coreng.
Saya dan Abang Azmi pula cuba bermain jig untuk merangsang sang jemuduk dan ikan pisang.
Disebabkan bekalan ais semakin berkurangan, trip kali ini terpaksa disingkatkan. Namun, sebelum pulang, kami berpakat untuk melayan dulu si merah suman di Semangkok B dan Puteri Dulang di malam hari.
Ternyata pesta merah suman masih berterusan di sini. Menjelang tengah malam, kami mengambil keputusan untuk pulang meskipun masa memancing ada satu hari lagi kerana kekurangan bekalan ais untuk lambakan ikan yang berjaya kami pancing.
Akhirnya tekong terus memacu bot untuk pulang ke jeti Pulau Duyong yang memakan masa 12 jam.
Kesimpulannya dari trip ini, kami ahli komplot amat berpuas hati dengan hasil dan khidmat tekong yang diberikan. Trip santai ini ternyata sukses dan penuh dengan hilai tawa sesama ahli trip.
Terdapat perlbagai bentuk dan warna sesudu di pasaran. Secara asasnya warna perak, tembaga dan emas mendominasi.
Namun sekarang ada sesudu yang mengunakan 3 warna asas tadi tapi ditambah dengan kemasan warna-warna yang lain seperti hijau, merah, oren, biru dan macam-macam lagi. Terpulang kepada anda untuk mencubanya.
Bentuknya pula ada yang pendek melonjong dan ada yang kurus memanjang. Jika ia lebar, karauannya akan menjadi lebih berat dan olak air yang dihasilkan adalah besar.
Manakala sesudu yang, ringan untuk dikarau dan olakan airnya kecil. Berat sesudu antara 4-20 gm sudah memandai, lagi berat sesudu lagi cepatlah ia tenggelam dan lagi mudah ia tersangkut reba.
Dipercayai bentuk sesudu jenis kurus memanjang paling efektif kerana ia lebih menyerupai seluang atau perimpin.
Sesudu warna perak pula lebih sesuai digunakan pada waktu tengah hari yang terik di perairan yang sangat jernih dan tidak beberapa dalam, kurang dari 20 kaki.
Manakala sesudu warna tembaga dan emas pula untuk cuaca yang berawan, di perairan yang gelap atau sedikit keruh dan kedalaman lebih 20 kaki.
Peralatan
Sama seperti permainan soft plastic, penggunaan joran haruslah yang beraksi pantas dan tali sulam lebih baik dari tali mono kerana permainan sesudu yang lebih kepada menyentuh dasar. Ini supaya setiap ragutan dapat disembat dengan lebih efektif.
Oleh kerana sesudu beraksi flutter dan bergelek, swivel wajib digunakan untuk mengelakkan tali dari menjadi berpintal dan kusut.
Oleh kerana permainan sesudu lebih banyak di kawasan dasar yang tentunya bereba, penggunaan mata kail tunggal adalah lebih wajar dari mata tiga.
Begahak merupakan ikan pemangsa air tawar yang menjadi idaman pemancing. Kemunculannya dalam jangka waktu yang singkat serta kesukaran menjejakinya membuatkan spesimen ini berada pada ranking yang tinggi dari segi nilai tangkapan menggunakan gewang.
Saban tahun, kehadiran begahak dinantikan para pemburunya. Ikan pemangsa ini boleh diperdaya dengan menggunakan gewang. Pemancing khususnya mereka yang meminati kaedah mengilat atau casting bersiap siaga dengan peralatan memancing serta gewang pilihan. Namun hasrat dan impian untuk bertemu muka dengan keluarga catfish ini bukanlah mudah.
Menurut kajian, di Semenanjung Malaysia begahak yang mempunyai dua ‘misai’ ini hanya terdapat di Sungai Pahang dan anak sungainya yang tertentu sahaja. Di kalangan penduduk Pahang ia lebih biasa dipanggil gohok. Kemunculannya pula bukanlah sepanjang tahun. Oleh yang demikian kenalah bersedia dengan sebaik mungkin apabila waktu keemasan yang dinanti-nantikan menjelang tiba.
Petanda lazim yang diguna pakai untuk mengesan kehadiran spesies ini adalah selepas banjir ketika mana ikan-ikan kecil mula mudik ke hulu dalam jumlah yang banyak. ‘Musim ikan mungkus’ kata orang Pahang yang pada kebiasaannya hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun. Ketika inilah begahak muncul untuk berpesta meratah anak-anak ikan dan pastinya gewang yang dilontarkan akan dihambat ikan pemangsa ini.
Ketika itu banyak bot-bot yang menghanyutkan jaring. Ikan-ikan kecil ini akan dijual secara longgok sekitar RM5 –RM10 selonggok. Selain ikan mungkus, ikan bersaiz besar juga turut diburu termasuk begahak dengan menggunakan jaring bermata kasar.
GEWANG APA?
Ini pun satu hal. Dulu sebelum saya terjebak ke dunia casting, membottom adalah teknik yang biasa untuk memancing. Bila begahak terkena pancing, itu adalah kes tidak sengaja. Kalau nak jadi rezeki umpan perut ayam pun pernah dibedal begahak.
Setelah racun menggewang meresap di tubuh dan semakin bertambah gewang yang menghuni lure box, maka pelbagai aksi dan jenis gewang dihulurkan sebagai hidangan untuk mengenal pasti yang mana menjadi kesukaan begahak. Saiz yang sesuai sekecil 4 cm hinggalah 12 cm. Warna pula dipilih warna semula jadi dan juga warna-warna terang. Mata kail pula dari jenis halus dan kuat.
Semasa musim kemarau baru-baru ini rakan saya mendapat berita tentang gerombolan begahak yang dilihat bermain di satu lokasi di Sungai Pahang. Segera saya merancang untuk berkunjung dan peralatan gempur disediakan sebaik mungkin.
PERALATAN SESUAI
Kebiasaannya begahak dipancing dengan menaiki bot, tetapi kali ini kami akan casting dari tebing. Sesuatu yang agak mencabar. Dengan kawanan ikan yang bermain di tengah sungai sudah pasti memerlukan teknik dan peralatan yang berbeza.
Joran 7 kaki dan ke atas diperlukan agar lontaran gewang dapat dibuat lebih jauh. Begitu juga gewang bersaiz besar perlu digunakan. Tali sekitar 25lb – 40lb sesuai digunakan kerana kita tidak tahu saiz ikan yang ada di dalam air. Begahak 17kg dan lebih besar lagi pun pernah dinaikkan pemancing.
Hendak menggunakan tali yang lebih halus bimbang putus dan bila menggunakan tali yang lebih kasar diameternya, gewang tidak dapat dilontar jauh. Tiupan angin juga antara faktor yang membantut kelancaran kelajuan gewang.
Ketika matahari baru memancarkan sinarnya yang kekuningan, ketika itulah waktu keemasan yang dinantikan. Begahak memulakan aktiviti pagi mengejar anak-anak seluang. Percikan air serta bunyi sambaran mula kedengaran dan gewang pilihan terus menerjah air. Semakin hampir gewang jatuh dengan tempat begahak menyambar, semakin tinggi peratusan gewang disergap.
Pak Mat, orang kampung berdekatan yang meminati kaedah casting begitu bersemangat melontar gewang. Beberapa kali lontaran yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil. Gewang taruhan Pak Mat telah disambar dan joran panjangnya melengkung kerana asakkan sang begahak yang membenamkan diri. Joran dipaut dan tali digulung.
Begahak bukanlah perenang handalan berdasarkan bentuk badannya di bahagian ekor yang menirus serta ekornya yang kecil. Tidak sebagaimana kelah dan sebarau yang memecut laju setelah membaham gewang. Namun begitu tentangan begahak agak kuat. Taktiknya memberatkan badan dan tarikan padu diperlukan apatah lagi bila saiz 5 kg ke atas yang mengena.
Kebiasaannya selepas beberapa minit bertarung ia akan mengikut sahaja tali yang dikarau dengan sesekali ada sedikit perlawanan. Pak Mat akhirnya berjaya mengheret ikan ke tebing. Hasil pertama pada awal pagi itu menggelepar di atas tanah membuatkan senyuman terukir di bibir Pak Mat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...