Senarai Pengutis Umpan Mancing Paling Dibenci

Share

 

Tak kira apa jenis pancingan sama ada di laut, muara, sungai, tasik, lombong, malah kolam pancing sekali pun, pemancing tidak akan dapat lari dari gangguan pengacau dan pengikis umpan pada mata kail. Berikut disenaraikan jenis-jenis pengacau umpan yang berada dalam list tertinggi pengacau yang sangat dibenci.

 

 

Ketam

Sama ada ketam nipah, ketam batu atau lain-lain, ia merupakan spesies mengutis umpan yang cekap dan menyakitkan hati. Sebagaimana ikan buntal, ia juga pakar mengerjakan umpan udang hidup. Jika dibiarkan lama, ia bukan saja memakan kaki udang malah sehingga mata kail menjadi kosong. Kecuali ia tercangkuk pada mata kail, ia tidak lagi dianggap pengacau umpan sebaliknya satu tangkapan bonus.

 

 

Ulat bulu

Sama ada di muara, pesisir pantai atau perairan cetek, anda akan berhadapan dengan spesies bernama ulat bulut. Selain bijak menghabiskan umpan, ia kadangkala tercangkuk juga pada mata kail. Apabila didaratkan, pemancing perlu berhati hati ketika menanggalkan dari mata kail kerana spesies ini mempunyai bulu-bulu beracun dan sekiranya terkena pada anggota badan boleh menyebabkan kegatalan.

 

 

Belangkas

Belangkas biasanya boleh ditemui di muara anak sungai kecil yang menghala ke kawasan muara. Sebagaimana ketam, ia boleh dibawa pulang dan dimakan jika tercangkuk pada mata kail. Namun jika tidak tercangkuk pada mata kail, ia samalah seperti spesies pengacau umpan lain yang menghabiskan umpan secara senyap.

 

 

Anak ikan

Apa saja jenis ikan termasuklah ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.

 

 

Perumpun sarang

Selain dijadikan umpan yang mujarab, sebenarnya perumpun sarang juga tergolong dalam spesies pengacau umpan. Biasanya berada di kawasan anak sungai dan tebing yang bereba. Cuma kerjanya lebih halus berbanding ketam. Atau lebih kurang sama macam anak ketam. Biasanya dia akan meratah udang hidup secara perlahan-lahan. Kalau anda mendapati kaki udang hidup anda kudung semua, jangan tak percaya ia adalah kerja perumpun sarang.

 

 

Sesirat

Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu bagi pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama. Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.

 

 

Buntal

Menduduki carta teratas pengacau umpan ialah ikan buntal. Ia lebih ditakuti dan dibenci berbanding spesies lain. Ini kerana buntal boleh ditemui di pelbagai jenis perairan. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup. Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.

 

 

Published by
Amang