Santai-Santai Pancing Keli Sungai

Share

 

Kami berlima bukanlah pemancing tegar malah untuk bergelar seorang pemancing pun rasanya belum layak lagi. Dalam setahun boleh dikira dengan jari kekerapan kami memancing.

Hanya sekali sekala dalam tempoh beberapa bulan, bila keinginan untuk memancing muncul barulah kami menjayakannya. Itu pun kalau kami berlima berkelapangan masa.

 

Disebabkan faktor minat dan lebih penting lagi dapat meluangkan masa bersama-sama, kami tidak terlalu menaruh harapan tinggi hasil yang akan diperoleh.

Kami tidak memikirkan sangat soal padang pancing berpotensi atau tidak. Namun kami lebih gemar memancing di lokasi memancing semulajadi walaupun cuma anak sungai, tali air atau parit tepi jalan.

 

 

Baru-baru ini kami ulang memancing di sebuah anak sungai kecil di Rawang. Saya sendiri tidak pasti apa nama sungai tersebut. Beberapa bulan sebelum ini kami berkunjung ke sini buat pertama kali.

Banyak kelihatan keli dan puyu namun kami tidak pandai untuk memancingnya. Kali ini saya lebih bersedia setelah menimba sedikit ilmu dari laman web Majalah Umpan.

 

Biarpun air sungai lebih keruh berbanding kunjungan pertama kali dulu, namun ia sama sekali menyentap semangat kami. Untuk berpatah balik ke Putrajaya sudah tentu kami tidak akan lakukan hanya semata-mata air sungai keruh. Jadi kami teruskan memancing dengan harapan tidak pulang dengan tangan kosong.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Cacing, cengkerik dan roti menjadi umpan umpan yang kami pertaruhkan. Ternyata tanggapan saya meleset. Jangan sangka air yang keruh tiada ikan. Rupanya disebalik air yang keruh itulah menjadi lubuk ikan.

Tidak sampai sepuluh minit umpan yang kami lontarkan ke kawasan air yang keruh, salah satu pancing sudah pun mengena. Seekor ikan keli berjaya dinaikkan.

 

Apabila seekor lagi ikan keli berjaya dinaikkan di kawasan yang sama, kami yang lain turut sama melontar umpan cengkerik di kawasan tersebut. Selepas itu seekor demi seekor keli berjaya dinaikkan sehinggalah ia mula perlahan dan terus menyepi.

 

 

Apabila keadaan mula menyepi, barulah kami meluaskan kawasan memancing. Namun tiada lagi keli atau puyu yang berjaya dinaikkan. Yang paling banyak hanyalah sampah atau tersangkut.

 

Tepat jam 3 petang, kami mengambil keputusan menamatkan sesi memancing. Hasil yang diperolehi sudah melebihi dari apa yang kami jangka. Lagipun bukan semua yang boleh makan ikan air tawar.

Saya sendiri tak boleh makan kebanyakan ikan air tawar. Jadi, ikan-ikan itu semua dibawa pulang oleh kawan-kawan yang ingin menjadikannya lauk-pauk.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

Published by
Amang