Santai Pancing Pantai Kelanang

Share

Para peniaga di Pantai Kelanang diingatkan agar tidak mengambil kesempatan di atas kehadiran kaki pancing ketika Santai Pancing Pantai Kelanang, 25 Disember ini.

Pertandingan memancing julung kali dianjurkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Pantai Kelanang itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM20,000.00. Juara membawa pulang RM7,000.00, naib juara RM3,000.00 dan ketiga RM1,000.00. Hadiah wang tunai ditawarkan hingga tempat ke-50

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata adalah sangat penting peniaga untuk menyediakan bahan masakan secukupnya untuk keperluan peserta.

“Selain makanan yang sempurna, saya juga berharap peniaga tidak menaikkan harga makanan dan minuman semasa program berlangsung.

“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 700 peserta akan mengambil bahagian berdasarkan kepada yuran penyertaan RM30.00 untuk satu joran. Dengan andaian peserta hadir bersama anak dan isteri serta rakan-rakan serta pengunjung harian, saya menjangkakan lebih lebih 2,000 orang akan berada di lokasi,’’ katanya.

Sebagai menghargai peniaga di Pantai Kelanang, mesyuarat yang diadakan di premis MDKL pada minggu lalu, merumuskan bahawa tiada peniaga luar dibenarkan berniaga pada hari pertandingan.

Menurut Mohamad Zain, selain hadiah wang tunai, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah mesin memancing Shimano, hamper serta TV LED 32 inci.

Katanya, jika tangkapan kurang memberangsangkan, semua hadiah wang tunai akan dijadikan cabutan bertuah.

 

 

Published by
Amang