Salah satu sangkar terapung di sini yang boleh dikunjungi oleh kaki pancing ialah Greenway Floating Fish Farm atau sering juga dikenali sebagai Kelong Greenway di kalangan kaki pancing.
Kelong ini merupakan satu lokasi yang lengkap dengan fasiliti dan merupakan spot alternatif yang menarik bagi kaki pancing selain jaraknya yang mudah diakses.
Lokasi Greenway Fish Farm ini terletak berhampiran dengan perairan Pulau Ketam. Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pelabuhan Klang yang memang menyediakan perkhidmatan untuk ke sini. Menurut Vincent, pemilik Greenway Fish Farm, chalet ini sememangnya terapung dan dipegang oleh sauh yang besar.
Ads
Pada awalnya, pembinaan sangkar ini untuk tujuan ladang ikan atau ternakan ikan secara komersial. Setelah beberapa tahun, Vincent mengatakan Greenway Fish Farm ini telah ditranformasi sepenuhnya untuk tujuan tarikan percutian keluarga terutamanya kaki pancing. Tambahnya lagi, ini bertujuan agar kaki pancing dapat memancing dengan lebih selesa di sini.
Di sini, anda dapat merasai kehidupan seharian di laut. Malah bagi kaki pancing, anda boleh memancing 24 jam jika berkunjung ke sini. Dengan kemudahan fasiliti yang lengkap, pasti memberikan keselesaan kepada keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini agak dalam iaitu kira-kira 40 kaki di bawah sangkar atau chalet ini.
Ads
Chalet atau bilik yang disediakan di sini agak selesa bagi kunjungan keluarga. Terdapat 2 jenis bilik iaitu bilik tingkat atas dan tingkat bawah. Satu bilik tingkat bawah mampu memuatkan 4 orang dewasa dan bagi kaki pancing, bilik bawah lebih sesuai kerana lebih mudah akses untuk anda melakukan aktiviti memancing. Bilik di tingkat atas pula memuatkan 2 orang untuk satu bilik.
Ads
Sumber air tawar pula diambil dari tanah besar dan pihak Greenway sentiasa memastikan bekalan air tawar mencukupi. Keadaan bilik air pula sangat memuaskan dan bersih. Bagi sumber tenaga elektrik, pihak pengurusan menggunakan generator dan bekalan elektrik cuma beroperasi dari jam 6:30 petang hingga 7:00 pagi.
Selain itu, beberapa kemudahan lain juga turut tersedia. Antaranya ialah hammock yang sangat sesuai untuk berehat santai sambil menikmati tiupan angin laut. Terdapat juga tempat untuk melakukan barbeku jika anda mahu menikmatinya pada waktu malam bersama keluarga tau rakan-rakan. Bagi kaki pancing pula, banyak rod holder dipasang untuk memudahkan anda meletakkan rod semasa memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sempena majlis perkahwinan seorang sahabat sepemancingan tidak lama lalu, saya tidak ketinggalan meraikan majlis sahabat ini di Batu Pahat bersama-sama sahabat lain yang juga bersahabat dengan raja sehari ini.
Kami berempat bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke ibu kota. Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang. Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit. Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan softfrog mini pada hujung joran.
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi. Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau. Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuknya berikutan kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak. Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya. Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang. Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz bocet (kecil).
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Memancing ikan memang perkara normal, tetapi memancing belut (fluta alba) satu perkara baru buat saya.
Memang saya akui, begitu naif untuk memancing spesies berbadan licin ini. Macamana menangkapnya, apa tekniknya, bila masa sesuainya.
Semasa kecil dahulu, pernahlah belut yang disangka ular ini terpancing dengan tidak sengaja.
Bila bapa saudara saya mengajak untuk mencuba memancing belut sawah, lantas ajakan beliau dipersetujui.
Jelasnya, musim menuai di kawasan ‘Jelapang Padi Selangor’ telah siap dan inilah masa yang terbaik untuk memancing belut di tepi-tepi parit kecil yang airnya sedang mula mengering.
Beberapa orang teman sekerja yang kaki pancing juga turut serta. Masing-masing teruja untuk melihat bagaimana caranya memancing belut.
Macam-macam persediaan yang kami bawa, termasuklah set pancing yang kasar untuk jigging ke laut dan juga set casting (kononnya untuk feel).
Memang agak lawak, memandangkan masing-masing belum pernah cuba memancingnya.
Umpan jantung ayam
Nak dijadikan cerita, kami bertolak awal-awal pagi lagi dari Shah Alam menuju Sungai Besar.
Kerana menurut bapa saudara saya, memancing belut sebaiknya awal pagi dan juga lewat petang.
Selain aktif masa makannya, ia juga bagus kerana pada waktu itu, tidaklah terasa sangat bahang mentari.
Sebelum bertolak, kami terlebih dahulu singgah ke pasar awam Seksyen 16 untuk mendapatkan jantung ayam bagi dijadikan umpan.
Untuk memancing belut, sebenarnya tidak perlu risau pasal umpan sebab apa sahaja yang jatuh ke dalam lubangnya pasti akan dibedal, termasuklah katak, cacing, hirisan daging atau jantung ayam, udang busuk.
Kami memilih hati ayam kerana ia lebih kenyal, murah dan senang didapati.
Sedang dalam perjalanan, bapa saudara memberitahu agak lewat sedikit kerana ada kematian di kariah tempatnya, jadi dia terpaksa terlibat sama.
Jadi untuk menunggunya, kami lewatkan sampai dengan singgah dahulu di pinggir jalan selepas melewati pekan Sekinchan untuk pekena mentarang bakar (sejenis siput laut) dan air kelapa muda. Habis dua pinggan mentarang bakar kami kerjakan. Fuhh memang sedap.
Hampir tengahari jugalah kami sampai di Sungai Besar dan sebaik tiba terus sahaja peralatan memancing disiapkan. Pelik dia melihat yang geng set memancing lembut terutama set casting untuk memancing.
Jelasnya, sebaik belut menggetu umpan dan membawanya masuk ke dalam lubangnya, bukan satu perkara mudah untuk memaksanya keluar.
Tapi bila kami mengatakan untuk feel, lantas pakcik saya menggelengkan kepala melihat gelagat kami. (mungkin dalam hatinya berkata… ikut koranglah).
Selesai sahaja menyiapkan set memancing, lantas kami terus sahaja meniti batas-batas sawah untuk mencari lubang-lubang belut.
Sebelum itu, beberapa orang kanak-kanak termasuklah anak saudara saya menjadi jurupandu untuk kami mencari lubang-lubang belut dan juga mengajar teknik sebenar macamana untuk memancing belut.
Kedatangan saya rupa-rupanya diketahui oleh dua orang anak saudara saya yang sememangnya rajin mencari belut bersama rakan-rakannya.
Terus sahaja mereka menjadi ringan mulut dan ringan tulang membantu dan mengajar kami.
Teknik Dan Cara
Memang tanpa bantuan dari mereka ini, kami sendiri entah berjaya atau tidak memancing belut. Caranya adalah cari lubang kecil yang berair di tepi parit utama.
Gunakan batang padi, kocakkan air di permukaan dan tunggu ada pergerakan naik turun air atau tidak.
Jika ada, maknanya lubang tersebut dihuni oleh belut. Kadang-kadang kami langsung tidak mengenali mana satu lubang belut atau bukan.
Tetapi budak-budak ni dengan selamba jer berkata “Eh, itu bukan lubang belut pakcik, yang ini…itu lubang ular air, sini lubangnya…”
Alamak!
Bila lubang belut telah dikenalpasti, hulur mata kail yang telah dicangkukkan dengan hirisan jantung ayam tadi ke dalam lubang dan goyang-goyangkannya.
Jika ada, biasanya dalam jangka masa singkat huluran anda pasti akan disambut. Apabila ia mula memakan umpan dan mula membawa masuk ke dalam sarangnya, tunggu beberapa saat dan lakukan sentapan supaya mata kail tertacap kukuh di mulutnya.
Bila belut telah memakan umpan, saat inilah betapa ‘feelnya’ terpaksa lawan tarik tali dengannya.
Sungguhpun ia hanyalah ikan, tetapi kuasa tarikannya yang kuat, hujung rod melentur kuat, boleh diibarat seperti memancing ikan di laut.
Ini disebabkan belut akan menahan dirinya melalui sarangnya yang dalam dan berbelit-belit.
Apa yang kita perlukan adalah lakukan ‘sorong-tarik’ tali bagi melemahkan belut berkenaan.
Jika terlalu sukar untuk memaksanya keluar, jalan terakhir adalah terpaksa mengorek lubang belut berkenaan. Di sinilah sebabnya mengapa, set pancing, ringan tidak sesuai.
Pendek kata, kalau nak guna set untuk memancing belut, lupakan ajelah, Risau hujung rod sepatutnya mahal yang mahal harganya tu patah dan membuatkan menangis tak berlagu la jawabnya.
Jika berlaku ‘miss’ beberapa kali di sesebuah lubang, belut akan culas untuk memakan umpan dan perlu cari lubang lain dulu. Kemudian barulah bolehlah kembali ke lubang berkenaan.
Apa Yang Terbaik
Ketika kami semua menggunakan set pancing, saya sebenarnya cukup tertarik dengan pancing buatan sendiri yang digunakan oleh kanak-kanak ini, iaitu menggunakan rim basikal yang dibentukkan seperti mata kail.
Ia diikat menggunakan tali pengikat guni padi dan batang jorannya hanyalah menggunakan batang buluh pendek. Ringkas… tetapi cukup mudah untuk mendapatkan belut.
Set inilah juga yang digunakan oleh kebanyakan pencari-pencari belut untuk dijual. Mudah dan cepat.
Untuk umpan, bebas nak guna apa pun boleh. Tetapi menurut kanak-kanak ini, umpan yang paling mujarab untuk memikat belut adalah katak sawah, kerana ia lebih cepat digetu.
Bila difikirkan semula, memanglah logik kerana di persekitaran semulajadinya, katak dan juga ikan-ikan kecil memang diet utama belut.
Tetapi bagi mereka yang geli menggunakan katak, bolehlah menggunakan umpan seperti yang dinyatakan di atas tadi.
Lewat petang, kira-kira 15 ekor belut berjaya dipancing oleh kami. Beberapa ekor belut, diambil oleh bapa saudara saya untuk disiang dan digoreng.
Bila siap dan dihidangkan kepada kami… Sedap rupanya belut ini, rasa macam ikan keli goreng.
Selesai menjamu selera, kami bertolak semula ke Shah Alam dan sewaktu dalam kereta, masing-masing mengeluarkan persepsi…
“Seronok rupanya memancing belut ni!”
“Bila nak mancing belut lagi?”
“Alamak… aku tak lalu la nak makan belut sebab bentuk dia macam!“
Sesuatu trip memancing hanya boleh dianggap sukses bukan sekadar berpandu kepada hasil pancingan yang dipancing, sebaliknya bergantung juga kepada servis yang ditawarkan oleh operator bot memancing. Kalau hasil pancing bagus tapi servis yang diberikan agak mengecewakan, ia boleh dianggap gagal juga. Tapi kalau hasil pancingan tak seberapa tapi servis tip top, sedikit sebanyak kekecewaan akan terubat juga.
No. Bot : TRF 467
Tekong: Zahar & Pak Da
Saiz bot: 53 kaki x 14 kaki
Enjin: Cummin 220
kelajuan bot: Maksima 10 knot
Jeti: Tg Kubur, Kuala Besut, Terengganu
Penumpang: 10 orang
Lokasi pancing: Pelantar minyak perairan Terengganu/Kelantan
teknik pancingan: sport fishing
kos pakej: RM6500-RM7000 (bergantung pada jarak pelantar minyak)
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...