Rumusan mencandat sotong oleh otai candat

Share

 

Musim atau masa yang sesuai mencandat sotong

 

Pada akhir Mac hingga Julai setiap tahun, ialah musim yang paling sesuai untuk mencandat sotong kerana angin kencang musim tengkujuh timur laut di Laut China Selatan mulai reda. Maka musim sotong mengawan dan bertelur akan bermula.

 

Pada lumrahnya, sotong-sotong yang jauh dari laut dalam mula berkunjung ke tempat-tempat tertentu untuk bertelur di sekitar perairan Terengganu terutama berhampiran Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Redang dan beberapa tempat lain.

 

Apabila musim mencandat tiba, di sekitar perairan tersebut kelihatan bagaikan berpesta dengan kerlipan lampu kalimantang yang dipasang saban malam.

Kehadiran cahaya lampu kalimantang yang berkerlipan itu bertujuan menarik perhatian sotong yang sedang mengawan di kawasan berkenaan untuk berkumpul dan bermain di sekitar kawasan yang diterangi cahaya lampu berkenaan.

 

Ada juga kebanyakan pengusaha perkhidmatan bot candat menggunakan lampu limpah berkuasa tinggi untuk menarik perhatian sotong-sotong.

 

 

Istilah kandang sotong

 

Kebiasaanya waktu mencandat sotong bermula senja dan berhenti apabila waktu subuh. Hasil candat akan bertambah kiranya seseorang yang menjumpai kawasan sotong bertelur iaitu tempat di mana berjuta-juta sotong akan berkumpul dan bertelur pada satu tempat.

 

Tempat ini juga dikenali sebagai ‘kandang Sotong’. Kandang sotong yang dihuni oleh berjuta-juta sotong ini tidak terdapat seekor ikan pun kerana tahap permakanan sotong ini terlalu agresif sehinggakan mereka memakan sesama sendiri.

 

Jika terdapat ikan pun ialah ikan tenggiri, aruan tasik atau jerung yang berada di luar kawasan sekitarnya untuk memakan sotong itu.

Kaedah mencandat menggunakan mata candat twist di kawasan kandang sotong ini adalah yang paling efektif sekali iaitu dengan kaedah appolo, candat diikat dua atau tiga pada mainline.

 

Kebiasaannya candat yang diturunkan belum sampai ke dasar sudah ada sotong terkait pada candat.

 

 

Saiz sotong candat

 

Mencandat sotong biasanya jarang dilakukan apabila bulan mengambang penuh kerana ketika itu sotong bergerak bebas, ada juga yang mencandat pada waktu begini kerana

ianya tidak memberi target yang tertentu seperti di tempat kandang sotong atau di sekitarnya.

 

Adakalanya juga mendapat hasil yang lumayan. Bagaimanapun, sotong yang ditangkap pada bulan mengambang lebih besar saiznya berbanding yang ditangkap pada bulan gelap.

 

Sebaliknya, saiz badan yang gemuk itu akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh. Mencandat di waktu bulan gelap lebih sesuai kerana lampu yang dipasang akan menarik perhatian sotong untuk mendekati cahaya.

 

 

Cara mencandat sotong

 

Pencandat yang berpengalaman biasanya akan memasang tiga atau empat candat pada satu tali. Kaedah ini dinamakan apolo.

Tali candat akan dilepas ke dasar laut dan sesekali dihejut-henjut supaya mata candat kelihatan seolah-olah hidup di dalam air dan menjadi daya penarik untuk sotong pemangsa.

 

Jika sudah bertemu rentaknya, kerja mencandat semakin mudah. Lazimnya hasil tangkapan setiap seorang pencandat mampu memperolehi tidak kurang dari 50kilogram

dan pernah capai 100 hingga 300kilogram sotong semalaman jika terjumpa dan mencandat di kandang sotong.

 

 

(Sumber: www.sotonglaut.blogspot.com)

 

Published by
Amang