(Rebiu) : Memburu Layaran RPBIC 2017

Share

 

Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) merupakan kejohanan memancing ikan berparuh (billfish) berstatus antarabangsa.

Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui agensinya Kementerian Pelancongan Malaysia (Motac) Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), dengan sokongan penuh Tourism Pahang Malaysia dan Pejabat Parlimen Rompin.

Acara yang berkolaborasi dengan Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) serta dibantu oleh Persatuan Memancing Rompin selama tiga hari bermula dari 15 hingga 17 September 2017 bertempat di Lanjut Golden Beach & Golf Resort.

 

Antara barisan dif kehormat yang hadir pada majlis pelancaran dan penyerahan tajaan RPBIC.

Menurut anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, siri pertandingan ini yang merupakan acara tahunan sejak 2004, berjaya meletakkan Rompin sebagai antara destinasi pelancongan khususnya untuk kaki pancing.

 

“Edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM44,000 dan melibatkan 13 buah negara termasuklah Malaysia sebagai tuan rumah.

Sementara penyertaan kali sedikit merosot apabila 14  pasukan daripada Indonesia dan Filipina menarik diri pada saat-saat akhir.

Hanya 78 orang peserta dan 26 buah bot memancing terlibat dalam acara ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran RPBIC 2017.

 

Hasan Arifin (tengah) ketika sesi sidang media.

 

Turut hadir dalam acara perasmian dan pelancaran peserta RPBIC 2017 ialah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Datuk Edros Yahya, anggota

Dewan Undangan Negeri  Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Pegawai Daerah Rompin Datuk Mohd Zulkifli Hashim

 

Menurut Edros Yahya, acara yang dianjurkan bagi mempromosikan Rompin sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti memancing spesies berparuh kepada pemancing tempatan, serantau dan antarabangsa.

 

Antara bot memancing yang bersedia untuk memulakan kejohanan.

 

“Penyertaan bagi acara RPBIC tahun ini tampak sedikit suram berikutan 14 pasukan menarik diri pada saat akhir.

Sekiranya kejadian itu tidak berlaku, ia sebenarnya satu pencapaian memberangsangkan sebagaimana acara pada tahun lalu yang berjaya mengumpul 40 pasukan terdiri daripada 120 orang peserta.

 

“Biarpun kami hanya mampu mengumpulkan 78 orang pemancing dari 13 buah negara namun 40 orang peserta sekali menjadi peserta paling ramai yang menyertai acara ini adalah peserta dari luar negara berbanding hanya 38 orang sahaja peserta tempatan.

 

“Selain Malaysia, negara lain yang menyertai acara ini terdiri daripada negara Austria, Singapura, Thailand, Taiwan, China, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei, Filipina, Afrika Selatan, India dan Norway.”

 

Para dif kehormat membunyikan siren pelepasan para peserta.

 

Memandangkan aktiviti memancing spesies berparuh ini mampu menjana pertumbuhan yang baik, beliau amat berharap konsep ‘tangkap dan lepas’ perlu diterapkan bukan sahaja

oleh peserta RPBIC malah kepada semua pemancing dan bukan hanya di Rompin sahaja malah di mana jua spesies layaran ini dipancing.

Dan Edros Yahya turut mengumumkan di media sosial Isnin lalu tarikh 14-16 September 2018 telah dipilih bagi melangsungkan RPBIC kali ke-15.

Published by
Amang