Sungai Pahang merupakan nadi negeri Pahang Darul Makmur. Ini dapat dibuktikan apabila negeri Pahang itu sendiri terletak di lembangan Sungai Pahang. Sejarah Sungai Pahang itu pula sememangnya unik kerana ia mempunyai kuala (Kuala Pahang) tetapi tidak memiliki hulu. Sungai yang terbentuk dari pertembungan Sungai Tembeling dan Sungai Jelai ini merupakan sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Sungai sepanjang 459 kilometer ini bermula dari pergunungan Banjaran Titiwangsa dan berakhir di Kuala Tahan. Dan banyak lagi cabang sungai yang mengalir masuk ke Sungai Pahang. Sungai yang mengalir secara terus dari hulu ke hilir tanpa kewujudan sistem empangan seperti mana di negeri Perak contohnya, membolehkan spesies ikan asal dan spesies tambahan terus berkembang biak dengan baik.
Malah dari sungai inilah munculnya raja segala ikan air tawar iaitu ikan patin muncung. Ikan-ikan gred tinggi dan berharga seperti temalian (temoleh), jelawat, tapah, patin buah, baung kenerak, kerai, serta tenggalan masih boleh ditemui di Sungai Pahang. Begitu juga dengan ikan yang tidak dapat ditemui di sungai-sungai lain di Malaysia melainkan Sungai Pahang iaitu begahak.
Begahak bukanlah seperti kebanyakan ikan buruan lain yang boleh dipancing sepanjang tahun. Justeru untuk menanti kemunculan spesies unik dan ‘rare’ ini saja sudah merupakan satu cabaran. Lazimnya kehadiran begahak adalah selepas musim tengkujuh melanda negeri Pantai Timur atau ketika air Sungai Pahang mula surut dan sedikit jernih sekitar bulan Februari atau Mac.
Atau waktu yang sama ketika musim udang galah. Kehadiran begahak itu dihubungkaitkan pula dengan kemunculan ikan mungkus (anak-inak ikan seluang dan pelbagai jenis lain) dengan jumlah yang banyak. Bila munculnya ikan mungkus ini, maka dapatlah dilihat kelibat ikan-ikan begahak ini menggasak ikan mungkus.
Namun untuk menetapkan waktu sebenar kemunculan begahak ini adalah sesuatu yang subjektif. Apatah lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan musim tengkujuh itu sendiri tidak dapat dipastikan bila kemunculannya. Bagaimana sekiranya musim tengkujuh tidak muncul atau ikan mungkus juga tidak muncul-muncul.
Apakah ikan begahak juga tidak akan muncul sebagaimana tahun-tahun sebelumnya? Dan itulah yang telah berlaku pada awal tahun yang lalu. Tanpa kehadiran musim tengkujuh yang benar-benar tengkujuh, dan tanpa kemunculan ikan mungkus, gerombolan begahak tiba-tiba saja muncul dan mengganas di Sungai Pahang terutamanya di Paloh Hinai, Pekan, Pahang.
Secara peribadi saya sendiri sudah saban tahun berhasrat untuk mengutip pengalaman memancing begahak. Soal dapat atau itu soal kedua, setidak-tidaknya dapat cuba bercerita pernah memancing begahak. Dan saban tahun jugaklah hasrat itu terpaksa ditunda berikutan sering dikecewakan dengan sifat begahak seperti biskut tersebut.
Menerusi seorang rakan pemancing yang berkampung halaman berhampiran Sungai Pahang, saya bersama beberapa orang rakan lain segera turun apabila mendapat info kemunculan begahak. Untuk mendapat lesen begahak sebenarnya bukan mudah tapi bila sudah terkena seekor, untuk yang berikutnya tidak lagi payah.
Cara paling berkesan untuk mengesan lubuk yang didiami begahak adalah dengan cara teknik menunda gewang atau trolling. Kadar kelajuan trolling perlu dikawal kerana tabiat begahak yang lebih gemar menunggu dan menyerang hendap.
Sementara gewang selaman dalam pula adalah lebih efektif berbanding gewang selaman cetek. Namun di Sungai Pahang yang mana aktiviti memukat oleh nelayan-nelayan sungai amat aktif, potensi gewang tersangkut pada jaring lama di dasar sungai adalah lebih tinggi berbanding gewang tersangkut pada begahak itu sendiri.
Dalam masa yang sama ketika menunda, mata perlu tajam untuk melihat sebarang aktiviti ikan menyambar di lubuk-lubuk tepi tebing. Besar kemungkinan ia adalah aksi begahak sedang menggasak anak ikan. Justeru lubuk tersebut wajib dilontarkan gewang.
Seharian casting dan menunda dari cabang Sungai Kuala Lepar sehingga ke Kuala Mentiga, apa yang diburu mengena juga. Cuma saya sahaja yang kurang bernasib baik. Sekadar dapat merasai getaran ‘durpp’ yang dipercayai dari hasil tamparan begahak pada gewang minnow yang digunakan ketika casting.
Menurut rakan yang amat arif dengan permainan begahak ini, dipercayai begahak ‘menampar’ mangsa terlebih dahulu sebelum membahamnya. Ini berikutan dari nisbah sepuluh ekor begahak yang beliau daratkan, juang begahak tidaklah sekuat dan seganas toman yang mampu meluruskan mata kail.
Hasil keputusan pemburuan begahak pada hari tersebut ternyata tidak menyebelahi saya. Sementara rakan lain yang turut serta ternyata berbaloi. Geram pulak tengok mereka menjulang ikan trophi tersebut.
Dan meskipun gagal memperolehi lesen begahak dan perlu menunggu setahun lagi untuk mengulanginya, segala penat lelah dan rasa kecewa bagai terubat apabila dihidangkan dengan sajian ikan begahak. Tidak hairanlah harganya mencecah sehingga RM 80 sekilogram kerana dagingnya sememang shedappppp!
GALERI