RM165,000 Menanti Di Igloo Surfcasting Challenge 2018

Share

 

Hadiah bernilai RM165,000 menanti peserta pertandingan memancing Igloo Surfcasting Challenge 2018 di Pantai Remis, Ahad ini.

 

Pertandingan memancing itu anjuran bersama Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL-Igloo), pengedar barangan Igloo di negara ini dan Wakjali Event Management. Pertandingan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.

 

Hadiah wang tunai yang ditawarkan berjumlah RM146,500 manakala selebihnya ialah barangan Igloo yang bakal menjadi hadiah iringan dan hadiah cabutan bonanza kepada peserta yang mengambil bahagian.

 

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM80,000 naib juara RM13,000 dan ketiga RM5,000.

 

Pemenang keempat dan kelima akan menerima RM1,000 setiap seorang, keenam hingga ke-40 menerima RM500 setiap satu manakala pemenang ke-41 hingga ke-99, masing-masing menerima RM400.

 

Bagi peserta yang menduduki ranking ke-100 hingga ke-150, penganjur menawarkan hadiah saguhati wang tunai RM100 setiap satu.

 

Selain hadiah wang tunai, penganjur turut menawarkan 20 hadiah cabutan bonanza barangan Igloo kepada peserta bertuah.

 

Setiap pendaftaran dikenakan bayaran RM100.00 untuk satu joran dan peserta boleh mendaftar dua joran atau lebih. Setiap peserta boleh menang lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.

 

Penganjur turut menyediakan 1,000 kemeja-T kepada peserta yang mendaftar awal. Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 12.00 tengahari, Sabtu ini.

 

Sempena dengan pertandingan ini juga, UFL-Igloo menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada peserta pertandingan untuk pembelian barangan terpilih. Peserta boleh membuat pembelian sama ada di lokasi pertandingan atau membuat pembelian secara atas talian.

 

Bagi peserta yang membuat pembelian atas talian, pihak UFL-Igloo akan membuat penghantaran terus ke rumah peserta dengan kos penghantaran ditanggung syarikat.

 

Pantai Remis adalah lokasi terbaik bagi penganjuran pertandingan memancing kategori pantai di Lembah Klang Lokasi ini sangat kaya dengan spesis ikan khususnya semilang, duri, belukang, gelama dan juga pari.

 

Lokasi ini dilengkapi dengan kawasan parkir yang luas, tandas awam yang sempurna, surau dan gerai makanan serta homestay dan hotel.

 

Pengarah Urusan UFL-Igloo, Datuk Radha Krishnan (kiri) dan Pengerusinya, Datuk Malek Noor (tengah) dan Pengurus wakjali Event, Md Zali Kasran, mempamerkan poster Igloo Surfcasting Tournament 2018 ketika sidang media baru-baru ini.

 

Gimik pelancaran Igloo Surfcasting Tournament 2018 disempurnakan Pengarah Urusan UFL-Igloo, Datuk Radha Krishnan (kiri) dan Pengerusinya, Datuk Malek Noor.
Published by
Amang