Tanggal 18-19 Disember 2021 pasti terpahat dalam lipatan sejarah apabila Lembah Kelang dilanda musibah banjir besar selepas 50 tahun. Kawasan Klang, Shah Alam, Puchong dan Hulu Langat paling terkesan dengan musibah ini.
Banjir merupakan satu fenomena yang sering menjadi igauan ngeri untuk diulang kenang khususnya bagi para mangsa. Kemusnahan harta benda, keselamatan yang tergugat malah ada yang ditimpa musibah kehilangan nyawa.
Namun disebaliknya pula, ada hikmah tersembunyi khusus buat segelintir golongan boleh mencari rezeki. Sebagai contoh ramai yang mampu mencari lauk juadah sekeluarga di sungai. Maka tidak hairan apabila air banjir kembali surut dan sungai tidak lagi melimpah, ramai kaki pancing hadir di sepanjang sungai untuk memancing ataupun menjala demi kelangsungan hidup.
Sebagaimana kejadian yang berlaku di Hulu Langat… banjir ini mengakibatkan ramai pengusaha kolam menternak ikan dan kolam memancing mengeluh, kolam mereka dilimpah air banjir.
Maka secara tidak langsung ikan yang diternak di dalam kolam berenang keluar mengikut arus banjir masuk ke sungai. Ini menyebabkan sungai di sepanjang laluan Sungai Langat dipenuhi ikan pelbagai spesies. Patin, tilapia, baung, jelawat, tongsan sisik kasar, baung, puyu dan lain-lain lagi ditemui termasuk sungai yang bersambung dengan Sungai Langat.
Meskipun bersedih dan bersimpati dengan musibah yang menimpa mangsa-mangsa banjir, bagi para pemancing ini satu rahmat dan peluang ini tidak harus dilepaskan. Ia amat menggembirakan bagi mereka kerana hasil yang dipancing atau ditangkap begitu memberangsangkan dari kebiasaan.
Maka tidak hairan dari pagi sampai ke malam ada sahaja kelibat pemancing yang menebing atau menjadi penghuni tebing sungai. Saya sendiri dan rakan-rakan juga tidak berkecuali mencuba, dan ternyata hasilnya cukup memuaskan.
Walau bagaimana pun bagi kaki tebing diharap tidak terlalu ghairah dengan situasi memancing yang di luar kebiasaan ini hingga mengabaikan aspek keselamatan. Dan sekiranya terpancing ikan pendatang seperti peacock bass atau baung ekor merah diharap tidak dilepaskan kembali ke sungai kerana spesies pemangsa ini boleh menyebabkan kemusnahan ikan spesies asal yang sedia terkesan akibat dari pencerobohan spesies pendatang.
Oleh: KD Negri