Rezeki Jelawat Sungai!!

Share

 

(Oleh : Mohd Fadzil Bin Adenan)

 

Perancangan awal kami ingin menduga Hulu Tembeling, Pahang tetapi disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan maka kami menukar perancangan ke utara tanah air.

Saya terpaksa menjadi ‘backpacker’ menaiki bas dari Selatan menuju ke Klang sebelum bertemu dengan sahabat-sahabat dan meneruskan perjalanan ke Utara dengan pacuan

empat roda bagi memudahkan kami memasuki kawasan yang sukar dilalui dengan kenderaan biasa.

 

Tempoh trip yang sama dengan perancangan awal di buat selama 4 hari agar nafsu memancing dapat dipuaskan memandangkan Cuti Hari Malaysia jatuh pada pertengahan minggu.

Bagi Negeri Johor kesempatan cuti bagi hari Jumaat dan Sabtu hanya perlu tambahan pada hari Khamis memandangkan 16 September jatuh pada hari Rabu.

 

Hari Pertama

 

Kami tiba awal di kawasan tempat yang dituju sekitar pukul 5.00 pagi dan mengisi perut di kedai mamak sebelum terus ke tepi sungai.

Seawal pukul 6.30 pagi kami telah berada di gigi air mempersiapkan senjata sementara menunggu remang matahari muncul.

 

Spesies sasaran sebarau kebiasaannya galak mencari makan pada sebelah pagi. Kelihatan air agak keruh dan dalam menandakan hujan di sebelah hulu sebelum kedatangan kami ke sini.

Apabila bias cahaya matahari menerangi sungai kami terus melontarkan gewang ke lubuk yang diberi nama Lubuk Putus.

 

Sejarahnya sebelum trip ini berlangsung, Amin telah meneroka lebih awal kawasan ini dan satu larian yang diyakini sang sebarau telah melarikan gewang dan berjaya memutuskan tali.

Tapi pada pagi ini kami lebih banyak menggunakan popper untuk menarik perhatian sebarau kerana imaginasi kami merasakan mungkin sebarau menyangka popper seperti anak ikan yang bermain di atas permukaan air sekali gus akan menghentamnya.

 

Hampir setengah jam mencuba menggunakan teknik popper langsung tiada sambaran dan saya menukar kepada gewang sinking hot tiger.

Balingan di celah kayu membuahkan hasil namun akibat terlupa sistem drag kekili di kunci maksima dan ketika itu sang sebarau membuat pecutan membuatkan ia rabut dari mata kail.

 

Amin yang memancing dalam jarak 200 meter daripada saya juga menukar kepada gewang Senses warna oren mendapat sambaran spesies sang baung.

Kelihatan selain dari spesies sebarau, spesies baung juga mendominasi sungai ini.

 

Apabila matahari semakin meninggi, tiada lagi sambaran yang kami terima dan mata mula pedih akibat mengantuk kerana perjalanan dari ibu kota yang mengambil masa empat jam.

Kami memilih untuk menyewa homestay yang berdekatan kerana trip selama 4 hari memerlukan tidur yang cukup dan kemudahan yang baik seperti dapur dan mesin basuh untuk membasuh pakaian.

 

Pada sebelah petang kami mencuba di hulu lubuk kerana di kawasan hulu terdapat lebih banyak tunggul kayu dan pokok mati di dalam sungai.

Hafiz Omar yang lebih mesra dipanggil Apek segera bergegas ke tepi sungai melontarkan gewang ke tebing seberang dan menarik di alur sebatang kayu yang tumbang melintang merentasi air sungai.

Dengan sekali balingan apek berjaya mengawal larian ikan sasaran dan terus mendaratkan spesies ini dengan jayanya.

 

Pada sebelah malam kami mengambil keputusan untuk memasak hasil yang diperolehi. Kami hanya membeli keperluan asas di kedai yang berhampiran dan selepas itu kami lena akibat kepenatan dan kesejukan aircond homestay.

 

Hari Kedua

 

Air kelihatan mula jernih dan paras sedikit menyusut. Kami terus menuju lubuk-lubuk pada hari pertama.

Disebabkan saya masih belum mempunyai lesen sebarang tangkapan, Amin menunjukkan lubuk yang pasti ada ikan.

 

Cuma lontaran gewang perlu tepat ke sasaran dan karauan mestilah mampu melintasi dua tunggul untuk mendaratkan sebarang spesies di lubuk ini.

Dengan sekali balingan dan karau sahaja akhirnya gewang saya tersangkut Amin dengan lesen sebarau di lubuk pasti dapat.

 

Akibat tidak mahu ikan culas dan menyedari kehadiran kami maka giliran Amin pula membuat balingan.

Dengan sekali balingan kelihatan ada sesuatu melekat pada mata kail. Memang benar kata Amin lubuk ini sentiasa didiami spesies sebarau cuma saya yang pertama kali bertandang masih belum mendapat rentak dan cara karauan mengikut lubuk.

 

Azrul yang turun ke hulu secara bersendirian juga berjaya membawa pulang lesen pertamanya sambil tersenyum.

Saya bersama Amin meneruskan aktiviti memancing naik ke kawasan hulu. Beberapa kali kes rabut berlaku ikan menghentam gewang tetapi tidak lekat.

Mungkin saiz atau culas dengan  kehadiran kami.

 

Saya yang keletihan dan hampir putus asa hanya memerhati gelagat sahabat lain yang tidak jemu melontar gewang.

Bosan menunggu mereka bergerak menukar lubuk saya menuju 100 meter dari jarak Amin memancing.

 

Tiga kali lontaran dibuat, tiba-tiba gewang Senses disambut dengan kasar dan terus mengenjut ke hilir sungai.

Keadaan yang cukup kelam kabut mengawal larian daripada memasuki reba dan saya mengetatkan drag dan membuat karauan menentang larian ikan.

 

Amin datang membantu memegang joran dan saya terpaksa terjun keranasaiznya agak mustahil untuk didaratkan menggunakan rod terus ke darat kerana tebing yang cukup tinggi.

Semasa ikan masih di dalam air kami sempat berteka-teki spesies yang hanya menampakkan sirip belakang.

 

Kelihatan seperti sebarau tetapi tiada belang, ada juga seperti kelah tetapi warna silvernya amat terang.

Setelah saya terjun memegang ikan barulah spesies ini dapat dikenal pasti seekor jelawat sungai berjaya didaratkan.

Apabila ditimbang beratnya 2 kilogram sepanjang 52cm dan ukur lilit perutnya 30cm menandakan ia membesar dengan cukup makanan di sungai ini.

 

Daripada hasil pemerhatian spesies ini semakin sukar diperoleh. Spesies jelawat sungai Pahang mampu mencecah RM250 hingga ke RM350 sekilogram mengatasi harga ikan kelah.

Spesies ini tidak sepopular ikan kelah kerana ia semakin kurang lalu menjadi spesies minoriti dan terpaksa bersaing dengan spesies pemangsa lain untuk hidup.

Anggaran harga spesies yang berjaya saya daratkan sekitar RM500 dan ia berakhir dengan menjadi santapan malam jelawat pais bakar tempoyak.

Memang meleleh air liur dibuatnya ditambah lagi dengan pucuk paku masak lemak yang dipetik di tepi sungai.

 

 

 

Hari ketiga dan keempat kami meneruskan aktiviti memancing. Air sungai masih lagi berwarna kekeruhan meskipun tidak hujan dan semakin surut.

Pada hari keempat, sebelum kami berangkat pulang, pada sebelah paginya kelihatan sebarau menghentam anak ikan dan gelombangnya membuatkan kami terkejut.

Puas memujuk namun sebarau yang bersaiz kasar tidak sudi menjamah umpan.

 

Rezeki kami setakat 8 ekor sebarau, 3 ekor baung, 3 ekor lampam dan seekor jelawat sungai sudah cukup memuaskan hati walaupun perjalanan ke sini bagi saya amat jauh dan memerlukan belanja yang cukup besar.

Kenangan sepanjang trip 4 hari akan sentiasa dalam ingatan kami.

 

 

 

Published by
Amang