Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang. Dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.

 

Ketika pembinaan pelabuhan barat banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalam untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondolkan dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda “Kawasan Larangan Memancing”. Itu juga satu revolusi!!! Dalam erti yang menyakitkan hati.

 

Pecah Tabung

 

Sampai bila nak sewa sampan, kalau diikutkan jumlah sewa yang dileburkan selama ini sudah tentu dapat bayar deposit bot dan enjin baru. Kalau nak keluar seketul duit bukan senang, wang simpanan masih sedikit. Sambil buat perancangan mencari sampan dan enjin sendiri. Aktiviti memancing tebing dilebihkan sambil mengurangkan sewa sampan.

 

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

 

Setidak-tidaknya ada sedikit wang untuk merealisasikan impian kemudian hari. Masa berlalu begitu pantas walaupun kadang kala bosan menghantui ketika menunggu sentapan ikan yang tak kunjung tiba.

 

Memancing adalah kepuasan minda, bukan kepuasan mata, soal dapat ikan atau tidak bukan perkara pokok, yang penting dapat melapangkan fikiran di hujung minggu setelah otak penat bekerja.

 

Maki hamun, tekanan, perasaan marah dan kejengkelan terhadap boss dari Isnin hingga Jumaat dapat dilepaskan selepas jam 1800 Jumaat. Minda dah ‘free’ sebaik sahaja minggu kerja berakhir. Persiapan dan perancangan dibuat sehari dua sebelum masuk hujung minggu. Contact dengan rakan sekaki dalam dunia pancing turut dibuat bagi merencana perancangan yang telah dibuat.

 

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

Ads

 

Sambil memancing, kepala dok asyik fikir bila nak merasa sampan sendiri pula. Pasal lubuk, selok-belok dah tahu serba sedikit Kemahiran mendayung, menjala dan mengemudi enjin sampan juga dipertingkatkan. Tunggu masa sahaja sementara guna sampan sewa.

 

Pasang Telinga

 

Memandangkan tabung tak cukup penuh, pasang telinga di sekitar pangkalan mana tahu ada yang hendak jual sampan dengan enjin. Puas menunggu akhir terungkai apabila ada kaki pancing ingin menjual sampan kayu 17 kaki bersalut fiber dengan enjin 15hp.

 

Harga agak murah ketika itu. Bila dah kemaruk melanda tanpa usul periksa sambar sahaja. Bila selesai urusan jual beli, tak sabar menunggu saat dan waktu pertama kali untuk menggunakan sampan sendiri. Hari pertama menggunakan sampan sendiri cukup mengujakan. Buat permulaan hanya kawasan berdekatan dengan pangkalan sahaja yang dikunjungi sementara mengilap kemahiran.

 

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

 

Semakin lama semakin memberanikan diri bertandang ke lokasi lebih jauh kononnya. Enjin kecil setakat sekitar Pulau Ketam sahaja yang mampu di kecapi. Lapuk dek panas, kuyup dek hujan sudah lumrah apabila bersampan tiada bumbung berlapik petak kayu lantai usang sehingga kematu bontot.

Ads

 

Tapi sudah cukup baik memancing bersama teman. Biasalah bila menggunakan enjin berserta sampan kecil selalu kena potong, lebih marah bila kena potong tang selekoh anak sungai. Ini tidak boleh jadi suatu hari pasti nak cari sampan yang gadang sikit. Langit tidak selalu cerah apabila lepas satu persatu enjin buat hal.

 

Ini belum masuk kes sampan hampir tenggelam akibat hujan lebat semalaman. Paling bengang ialah apabila semua barang siap dipunggah ke dalam sampan bersedia untuk keluar memancing, start enjin tak nak hidup.

 

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

 

Berpeluh satu badan hingga terpaksa buka baju di tengah panas mengerjakan enjin meragam. Sampai habis separuh tenaga barulah enjin berkepuk-kepuk hidup. Dalam perjalanan sekali lagi ia mati di tengah laluan bot.

 

Habis kudrat enjin terus diam sehingga terpaksa ditunda balik ke pangkalan oleh kenalan yang kebetulan baru balik memancing. Kopak lagi duit asyik dok membela enjin yang sudah layak masuk muzium.

 

Ads

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

Sampan akhirnya reput begitu sahaja apabila menanti spare part enjin yang tidak kunjung tiba. Kos baik pulih pula lebih baik dapatkan yang baru. Pecah tabung lagi apabila mangsa seterusnya ialah sampan gentian kaca berukuran 19 kaki dengan injin 25hp berusia lebih dari 4 tahun. Baru ada semangat sikit, enjin baik sampan dah boleh muat bertiga.

 

Bumbung berlipat mudah alih juga dipasang bagi memutihkan sedikit kulit yang sudah gelap terbakar oleh sinaran cahaya terik. Kata orang dari tetanda dapat pula jenahak, dari sembilang mengintai gemang, selalu gelama sesekali mengintai temerih. Banyak sikit barang termasuk peti ikan, dapur ketika bermalam boleh dimuatkan dalam sampan.

 

Kalau setakat Pulau Ketam tu mainan sahaja, minyak satu tong pergi balik pun tidak habis. Lepas ini berani meneroka lubuk-lubuk baru hingga ke Pulau Angsa. Pantang dengar sahaja kawasan ada potensi terus diterjah dengan hati kering. Malah rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) juga dilawati dengan enjin 25hp tanpa ada perasaan takut.

 

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

 

Ketika itu berpandukan kompas dan Rumah Api Bukit Jugra sebagai pedoman sahaja. Nak dijadikan rezeki ada kenalan bagi pinjam terus GPS miliknya kerana beliau langsung tak tahu pakai, tahu beli sahaja katanya. Pantang dapat ikan di satu-satu lokasi, kedudukan kordinat berkenaan terus dilog dalam GPS.

 

Ada GPS tidak akan lengkap kalau tiada sonar. Terpaksalah labur sedikit duit beli sonar hitam putih terpakai asalkan dapat lihat struktur dasar sudah memadai. Ketika itu dah rasa cukup sempurna aktiviti memancing. Pantang ada cuti kawasan Delta Klang dijelajahi bagi memenuhi masa lapang. Sehinggalah enjin 25hp dimamah usia beroperasi, ada tanda-tanda semput.

 

Revolusi Pemancing Muara (Bahagian 2 – Akhir)

 

Beberapa kali turun naik ke bengkel akhirnya tiba waktunya ia terus melekat. Nak baiki mahal, akhirnya timbang kati. Sekali lagi terpaksa menebing sambil memendam rasa sementara mengumpul duit menggantikan enjin yang baru.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI