Terdapat beberapa cara ikan makan atau mengambil umpan. Ada ikan yang makan umpan secara mengutis, meragut, menyedut dan menyambar.
Dengan memerhati tabiat ikan makan inilah pengusaha mata kail mereka bentuk mata kail yang tepat bagi membolehkan ikan tercangkok dengan sempurna pada mata kail.
Ikan yang makan dengan cara mengutis
Ikan yang memakan umpan secara menggetu atau mengutis memberi makna ikan yang memakan umpan dan kekal berada di tempat umpan dimakan.
Ikan jenis tidak bergerak ketika memakan umpan dan umpan itu sendiri juga tidak bergerak dengan ketara. Oleh yang demikian amatlah susah untuk pemancing mengetahui proses tersebut secara nyata.
Untuk membolehkan isyaratbahawa umpan sedang dimakan ikan, peralatan memancing yang sensitif pada getuan perlu digunakan.
Begitu juga kesukaran mata kail untuk tercangkuk dengan sendiri juga sukar. Bagi menghadapi ikan yang memiliki tabiat makan seperti ini, adalah disarankan mata kail yang jenis lurus atau mempunyai hujung mata yang mendongak ke tepi.
Mata kail yang digunakan juga sebaiknya tidak terlalu besar, halus dan tajam. Dan apabila merasai getuan, pemancing perlulah peka dan segera melakukan sentapan balas.
Antara ikan yang memakan umpan secara mengutis ini antaranya ialah lampam, tilapia, rohu, gelama, duri, anak-anak ikan atau ikan yang bersaiz kecil.
Ikan yang makan secara menghisap
Ikan yang memakan umpan dengan cara menyedut atau menghisap umpan pastinya tidak perlu dihurai dengan lebih meluas kerana tidak menyembunyikan maksud yang lain.
Ikan yang menyedut umpan ini terdiri dari ikan yang bergigi tajam mahupun tidak bergigi. Lazimnya ia memiliki mulut yang luas atau bibir yang boleh dilaraskan.
Kebanyakan ikan jenis kap termasuklah kelah memiliki tabiat makan sebegini. Ikan kerapu dan gerong belang merupakan antara spesies ikan air masin yang tersohor dengan tabiat makan secara menyedut atau menghisap umpan.
Cara menyerang mangsa pula sama ada mengejar atau menunggu mangsa melintas di hadapannya di kawasan persembunyian. Banyak jenis mata kail boleh digunakan namun disyorkan mata kail yang berteras panjang dan sedikit bengkok pada hujungnya.