Ikan Haruan
Ikan haruan sangat popular untuk dijadikan pilihan sajian sepanjang tempoh berpantang. Malah, ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat dan zat dalam membantu menyembuh luka dalaman serta luaran.
Rasa isinya sedap seperti lemak-lemak manis. Antara menu yang boleh dimasak adalah sup ikan haruan atau ikan haruan bakar. Jangan sesekali menggoreng!
Jenahak
Ikan Jenahak hidup di paya bakau, muara dan laut lepas. Ikan ini agak sukar untuk didapati jadi, ia agak mahal berbanding ikan yang lain.
Ikan bergred tinggi ini memiliki struktur daging yang putih, pejal dan manis. Antara menu hidangan ketika berpantang adalah sup ikan.
Ikan Tenggiri
Ikan Tenggiri memiliki kalori yang agak tinggi dan khasiatnya adalah untuk memberi tenaga dan memberi zat kepada ibu yang menyusukan si manja.
Ikan ini juga mengandungi Omega 3 yang baik untuk kecerdasan dan menghindarkan kecacatan pada bayi. Antara menu untuk hidangan ini adalah singgang ikan tenggiri.
Resepi singgang tenggiri
Ikan tenggiri dipotong 3 keping besar
2 cm lengkuas – dihiris nipis
2 cm kunyit hidup – dihiris nipis
3 keping asam gelugur
4 cawan air
garam secukup rasa
Cara-cara
- Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
- Masakkan hingga kuah mendidih.
- Sedia untuk dihidang.
Ikan Kerisi
Ikan kerisi khasiatnya adalah untuk menyembuhkan luka dalaman tetapi, tidaklah sehebat ikan haruan di mana kesannya hanya sekejap saja.
Tapi, kalau makan ikan haruan hari-hari pun boleh jemu kan? Anda boleh tukar menu hidangan kepada ikan kerisi pula. Ikan kerisi dipanggang kosong atau disapu garam kunyit sudah memadai.
Ikan Selar
Isi ikan selar rasanya manis, ia sangat sesuai untuk ibu berpantang. Harganya juga berpadanan dan lebih mudah dicari.
Walau bagaimanapun, ikan selar beberapa jenis dan cuba elak dari memakan ikan selar kuning. Ikan selar kuning tak boleh makan kerana akan memberi bisa pada badan yang mempunyai luka dalaman. Antara menu yang boleh dimasak adalah ikan selar bakar.
Ikan Merah
Ikan merah dan ikan jenahak adalah dari keluarga yang sama iaitu snapper. Oleh yang demikian, ia memiliki struktur daging dan khasiat yang hampir sama.
Antara menu yang boleh dimasak adalah stim atau sup ikan merah. Dalam hidangan, anda perlulah masukkan halia lebih sedikit untuk zat lebih dalam badan.
Senangin
Ikan senangin pula hampir sama saja seperti ikan selar dari segi khasiat. Namun harganya jauh pula berbeza.
Para ibu boleh meminta suami membakar ikan senangin untuk dimakan ketika berpantang. Kalau nak berkuah, mungkin boleh masak singgang.
** Perlu diingatkan di sini, lain orang lain penerimaannya. Sebaiknya, makan dulu sikit. Kalau okey tak ada gatal-gatal pada luka atau tiada alahan, teruskan makan.