Mungkin disebabkan ikan begahak hanya terdapat di Sungai Pahang maka resepi-resepi melibatkan ikan begahak susah untuk ditemui di internet. Namun, ketika berjaya memperoleh ikan begahak dulu admin sempat meminta penduduk tempatan di Pekan memasaknya dan berikut merupakan resepinya.
Bahan-Bahan:
1 ekor ikan begahak
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji cili merah
3 biji cili api merah (kalau nak pedas)
2 cm kunyit hidup
3 hiris lengkuas
2 keping asam keping
1 batang serai
Sedikit belacan (kalau suka)
Sedikit garam
Sedikit gula
Ads
Cara-Cara Penyediaan:
Ads
Kisar bawang merah, bawang putih, cili merah, cili api, kunyit hidup dan belacan.
Masukkan bahan kisar ke dalam periuk dan masukkan air secukupnya.
Ads
Masukkan juga asam keping, lengkuas dan serai.
Masaklah hingga kuah mendidih dan masukkan ikan begahak.
Tunggu sehingga kuah mendidih barulah diperisakan (tambah garam dan gula).
Masakkan sekejap lagi baru la dipadamkan api dan sedia untuk dihidangkan (lagi sedap kalau sebahagian ikan digoreng kunyit garam sahaja).
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bagi aku mabuk laut ni tak kiralah sama ada ambil ubat ke tak, kalau dia nak jadi dia akan jadi jugak. Ubat tahan mabuk tu gunanya untuk mencegah saja. Yang lain-lain adalah faktor ketahanan diri dan mental seseorang tu juga.
Bagi aku, antara petua yang penting sebelum seseorang tu turun ke laut adalah mesti mendapatkan rehat yang mencukupi, alas perut sebelum dan semasa turun ke laut, dan apa yang paling penting adalah mind set kita. Kalau kita dah set minda cakap kita akan mabuk, maka mabuklah jadinya nanti. Jadi kita kena lawan perasaan mabuk tu.
MOHAMMAD ZAM
Cerita fasal tak nak mabuk ni saya dengar macam-macam petua. Paling pelik yang pernah saya dengar makan kangkung mentah…makan sirih pun taklah seteruk ni. Pendapat saya la kan kalau kita tak biasa turun kelaut buat la ape cara sekalipun, tetap akan mabuk.
Orang yang biasa turun ke laut pun kalau situasi badan yang kurang sihat pun tetap akan mabuk walaupun ada banyak pengalaman di laut. Jadi telan pil tahan mabuk yang terdapat di farmasi adalah cara yang paling moden dan bagus.
MUHAMMAD ADDIN
Nak cerita pasal mabuk laut tu susah nak komen. Sebab saya belum pernah lagi diberi peluang memancing di laut dalam. Keinginan tu memang ada, apatah lagi bila lihat di TV dan baca majalah pengalaman pemancing mendaratkan ikan yang besar-besar.
Saya bayangkan satu hari nanti saya akan berjaya menaikkan ikan layaran. Saya akan menjerit bagi tahu yahooo!!! Aku berjaya. Insyaallah jika diberi kesempatan pasti saya akan dapat mengalami sendiri pengalaman memancing di laut.
FADLI AZRIN
Masa mula-mula aku turun ke laut dulu memang sentiasa akan mabuk. Pernah sekali tu mabuk sampai keluar air dari malam sampai ke pagi. Tapi, aku ni jenis yang hati kering. Mabuk macam mana pun, aku tetap tak pernah serik. Pernah sekali tu masa mancing dalam keadaan mabuk, aku gulung reel guna kaki je. Tapi tu semua dulu, sekarang dah ok dan aku dah boleh biasakan diri.
Apapun, satu tip untuk para pemancing, kalau dah rasa pening-pening tu kalau boleh pergilah rehat dan jangan lah memancing buat semenctara waktu. Bila da lega baru sambung balik. Dan satu lagi, kalau boleh, masa mabuk tu kurangkan membuat kerja yang memerlukan fokus yang tinggi. Contoh macam ikat mata kail atau betulkan tali yang serabut. Biasanya kerja-kerja fokus ni yang buat seseorang tu bertambah mabuk.
MIE NGAIL
Mabuk ni ada banyak faktor. Antara faktor utamanya ialah baru pertama kali turun ke laut. Bagi orang yang baru-baru nak menjinakkan diri ni memang akan ada masalah mabuk ni, tambahan bila time angin kencang dan laut bergelora. Selain tu, tak cukup rehat, perut terlalu kosong atau terlalu penuh juga antara faktor mabuk ni.
Antara yang biasa saya praktikkan semasa memancing di laut dalam ialah jika perjalanan bot ke lubuk ambil masa yang panjang 2-3 jam perjalanan, biasanya saya akan rehat dan tidur di dalam kabin untuk kembalikan tenaga.
Apa pun, satu prinsip yang boleh saya kongsikan ialah kalau mabuk macam mana pun, cuba untuk kuatkan semangat. Terus pegang joran dan jangan sesekali mudah mengalah atau patah semangat. Sedikit sebanyak dengan cara ini dapat mengembalikan keyakinan anda untuk memancing dan pada masa yang sama dapat membiasakan diri anda untuk menangani masalah mabuk laut ini.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Memancing bukanlah satu hobi asing bagiku. Seawal umur tujuh tahun lagi aku sudah mula memancing bersama rakan-rakan sebaya.
Lokasi yang kami pilih biasanya sungai kecil di belakang rumah, terusan sawah atau lombong terbiar.
Joran yang kami pakai biasanya buluh kecil yang panjang melentur atau pelepah sawit yang diraut kemas.
Ikan yang ditangkap juga merupakan spesies biasa bagi ikan sungai seperti sepat, haruan, keli, puyu atau sesekali apabila bernasib baik, dapatlah kami ikan belida atau udang sungai yang besarnya setakat 100 gram.
Namun itu semua sudah cukup menggembirakan kami, anak-anak kampung yang masih belum lagi pandai menonton televisyen atau bermain ‘games’ pada telefon bimbit yang pintar seperti budak zaman sekarang.
Kalau tidak memancing, kami akan memanjat pokok buah-buahan atau pergi melastik burung punai yang banyak ketika musim menuai tiba.
Aku masih lagi terkenang pada satu kejadian aneh yang berlaku ketika aku, Mie, Faizal dan Zamree pergi memancing di sebuah ‘bonda’ (panggilan pada terusan kecil yang mengalir ke sawah bertujuan untuk mengairi kawasan sawah.
Ia adalah dialek orang Minangkabau di kawasan Kuala Pilah).
Kami pergi memancing sebaik sahaja pulang dari kelas mengaji Tuan Haji Hamdan. Aku rasa waktunya dalam pukul 5.30 petang.
Berbekalkan umpan cacing yang dimasukkan ke dalam tin susu yang kami sediakan sebelum itu, kami meredah semak belukar untuk mencari port memancing yang sesuai.
Kawasan itu memang sunyi. Hanya terdapat sebatang pokok ara yang tumbuh melangit dengan akarnya yang terjuntai.
Nun di kejauhan, terbentang sawah padi sedang menghijau. Kalau diikutkan cerita nenek, kawasan di situ agak keras.
Banyak peristiwa aneh dan misteri yang berlaku di situ terutamanya pada waktu senja dan tengah malam.
Namun pada kami, budak-budak lasak dan nakal yang baru berusia sembilan tahun, hanya keseronokan yang tergambar di fikiran.
Apatah lagi apabila mengenangkan ikan keli masak lemak kuning yang dimasak kuahnya pekat-pekat atau ikan puyu gemuk goreng berlada.
Itu semua menambahkan lagi semangat kami untuk meneruskan aktiviti memancing pada petang itu.
Memang rezeki kami agak murah pada petang itu. Selain port yang strategik, aku tidak tahu mengapa setiap kali kami melabuhkan joran batang buluh dengan berumpankan
cacing tanah, ikan-ikan darat seperti keli, sepat dan haruan galak memakan umpan kami seolah-olah tidak memilih bulu.
Setiap 2-3 minit pasti kami akan menaikkan ikan yang agak besar. Ini membuatkan semangat kami tambah membara sehingga kami berempat seakan-akan berlumba untuk menaikkan ikan terbanyak.
Dalam keasyikan memancing itu, aku dan kawan-kawan seakan terleka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Hari sudah remang senja.
Kawasan sekitar mula di terpa dengan kegelapan malam namun keasyikan menaikkan ikan membuatkan kami berempat meneruskan aktiviti memancing tanpa rasa takut atau curiga.
Di dalam kepala hanya satu yang kami fikirkan, mahu memancing seberapa banyak ikan untuk dibawa pulang.
Kami berempat bagaikan dirasuk tentang ikan yang dikail. Kami tidak kisah dengan baju yang sudah lencun dek peluh atau kawasan sekitar yang sudah semakin gelap.
Kepenatan langsung tidak terasa hinggakan apabila telingaku mendengar laungan azan bertalu-talu dan tiba-tiba aku dan kawan-kawan bagaikan tersedar daripada mimpi panjang yang menakutkan.
Ketika itulah baru kami terpinga-pinga serta saling berpandangan sesama sendiri. Ikan yang ditangkap bagaikan tiada erti apabila kami dapati di sekitar kami adalah satu kawasan gelap yang sungguh asing pada pandangan mata.
Ketika itu, aku rasa bagai mahu menangis. Terkenang akan ibu, abah dan adik-adik di rumah. Aku tidak dapat mengagak waktu ketika itu.
Mungkin pada firasatku baru pukul 7.30 malam.
Suara azan berlaung lagi. Zamree dan Mie menjerit sekuat hati memanggil ‘Mak’. Aku pula perlahan-lahan membaca surah An Nas bersama ayat Qursi.
Aku cuba menenangkan diri dan membaca ayat-ayat itu di dalam hati. Tidak sampai sepuluh minit, kami ternampak suluhan lampu bersimpang siur di hadapan kami.
Rupa-rupanya suluhan lampu-lampu itu datangnya dari sekumpulan pemuda kampung yang datang mencari kami berempat. Kami dipeluk dan dicium dalam keadaan kami terpinga-pinga kehairanan.
Tiba di rumah, barulah aku tahu kisah sebenar yang berlaku. Apabila kami tidak pulang sehingga jam 7.45 malam, abah mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Empat Kampung tentang hal ini.
Apatah lagi bila bapa Mie, Zamree dan Faizal memberitahu perkara yang sama. Operasi mencari bermula pada jam 8.00 malam. Dan kami hanya dijumpai pada jam satu pagi!
Semenjak hari itu, aku dan kawan-kawan tidak lagi berani keluar memancing di kawasan ‘bonda’ berkenaan.
Aku tidak tahu mengapakah aku tidak terasa sudah duduk memancing sambil bertinggung di kawasan itu hampir tujuh jam lamanya. Namun, aku bersyukur, aku dan kawan-kawan selamat.
Memori ini walaupun sudah hampir 15 tahun berlalu, namun ia segar dalam ingatan kerana itulah kali terakhir aku memancing bersama rakan-rakan baik di kampung.
Sesungguhnya, benarlah kata orang-orang tua dahulu, selain kita sebagai penghuni dunia, ada lagi makhluk Allah yang berkongsi bumi yang sama.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...