Singgang ikan aya set kelauk? Apa tu? Ayat mudahnya, singgang ikan tongkol versi nelayan Terengganu.
Menu ini korang hanya boleh rasa sekiranya mengadakan trip memancing di pelantar minyak atau bernasib baik ketika mencandat sotong.
Lazimnya ikan ayam hitam dipilih untuk dijadikan lauk kerana isinya lebih lembut berbanding aya kurik.
Dan juadah yang disediakan oleh awak-awak atau tekong sendiri ini adalah cara masak singgang yang paling asas dan pelengkapnya mestilah ada budu sebagai pencicah.
Bahan-bahan:
1/2 ekor ikan tongkol yang dipotong (bahagian kepala paling sedap disinggang)
5-6 hirisan kunyit hidup
3 hirisan lengkuas
2-3 keping asam gelugur (sebaiknya guna asam gelugur dan bukannya asam kandis yang lebar tu)
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
garam & perasa secukupnya
1 liter air (pastikan ikan terendam semuanya)
Cara-cara penyediaan:
Campurkan ikan, kunyit hidup, lengkuas dan asam gelugur di dalam periuk. Masukkan air sehingga ikan terendam semuanya dan hidupkan api.
Apabila kuah mula menggelegak, masukkan garam, serbuk perasa dan serbuk kunyit. Serbuk kunyit sekadar untuk memberikan warna sahaja. Kalau terlebih rasa pahit pula.
Kecilkan api dan biarkan mendidih kira-kira 10 minit lagi dan sedia untuk dihidangkan.