Resepi Pemancing – Patin Tempoyak Panggang

Share

POPULARITI ikan patin sebagai ikan hidangan memang tidak dapat dinafikan. Negeri Pahang amnya memang cukup terkenal dengan patin masak tempoyak, sehinggakan jika berkunjung ke restoran @ kedai-kedai makan di negeri berkenaan, ikan berkenaan pasti ada sebagai salah satu menu.

Selain hidangan popular tersebut, patin sebenarnya boleh dimasak dengan pelbagai jenis menu lagi. Antara yang boleh anda dan patut cuba adalah patin masak tempoyak panggang.

 

BAHAN-BAHAN:

 

  • 1 ekor ikan patin segar | dibersihkan dan direndam dalam air beras selama 10 – 15 minit
  • 5 sudu makan tempoyak
  • 10 biji cili padi | dikisar
  • 1 sudu makan serbuk kunyit
  • 1 kuntum bunga kantan | dibelah dua
  • 1 helai daun limau purut
  • 1 helai daun kunyit | dihiris
  • 1 helai daun pisang | dibersihkan
  • Kertas aluminium (aluminium foil) secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa

 

Cara-Cara Penyediaan:

 

  1. Sapukan ikan patin yang telah dibersihkan dengan garam dan serbuk kunyit sehingga rata. Perapkan selama lima hingga 10 minit.
  2. Kemudian letakkan ikan patin di atas daun pisang yang dialas dengan kertas aluminium.
  3. Seterusnya masukkan tempoyak ke dalam bancuhan serbuk kunyit dan garam tadi.
  4. Setelah itu masukkan gula dan cili kisar. Kacau sebati.
  5. Setelah itu lumurkan pada ikan. Sapu rata.
  6. Kemudian letakkan bunga kantan, daun limau purut dan hirisan daun kunyit.
  7. Akhir sekali, bungkus ikan dengan kemas dan panggang menggunakan kuali kalis lekat sehingga masak.

 

Published by
Amang