Resepi Pemancing: Ikan Tapah Stim Ala Cina

Share

 

Ikan tapah merupakan antara ikan air tawar yang bernilai tinggi kerana kelazatan dagingnya. Sebagaimana ikan patin, ikan tapah juga merupakan jenis ikan yang tak bersisik. Justeru tekstur daging ikan tapah adalah lembut malah lebih lembut berbanding ikan patin. Oleh yang demikian, ikan tapah perlu dimasak dengan betul agar dagingnya tidak hancur. Kaedah terbaik adalah stim atau kukus.

 

Bahan-Bahan:

 

  • Isi ikan tapah (anggaran sekilogram)
  • 1 cawan stok ayam
  • 1 sudu besar jus lemon
  • 3 biji bawang besar
  • 5 cm halia (dikupas)
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 2 sudu besar minyak bijan
  • Sedikit garam

 

Cara Penyediaan:

 

Simbahkan isi ikan dengan stok ayam dan jus lemon. Kemudian taburkan sedikit garam dan ketepikan buat seketika.

 

Hiris nipis 2 biji bawang dan potong setengah halia secara memanjang. Kemudian cincang bawang dan halia selebihnya.

 

Letakkan bawang dan halia yang dicincang ke atas pinggan kosong. Kemudian letakkan isi ikan ke atasnya. Tambahkan sesudu kicap ke atasnya.

 

Masukkan pinggan ke dalam periuk pengukus dan kukus sekitar 5-7 minit.

 

Angkat ikan dan hidangkan ke atas pinggan yang lain. Kemudian tambahkan bawang dan halia telah dihiris ke atasnya.

 

Panaskan sekejap minyak bijan di dalam kuali dan kemudian tuangkan ke atas ikan bersama sesudu kicap. Siap!

Published by
Amang