Semakin kerap dilihat pertelagahan yang berlaku sesama pemancing terutamanya di media sosial ataupun di dalam pertandingan memancing. Medan yang dahulunya mengukuhkan tali persaudaraan kini berubah menjadi medan peperangan dan pertelingkahan sesama sendiri. Persoalannya kenapa?
Setelah puas dikaji dan diteliti dapat dilihat pattern mengapa terjadinya perkara seperti ini. Antara yang menguatkan pemerhatian penulis adalah kewujudan ‘puak-puak’ di kalangan kaki pancing.
Apa yang cuba penulis maksudkan di sini ialah semakin banyak wujudnya pihak-pihak yang gemar melakukan provokasi sesama kaki pancing lain dan menggalakkan pergaduhan. Semuanya terjadi bila puak yang mempunyai ramai pengikut cuba memperlekehkan ahli dari grup lain dan kemudiannya berlakulah perang mulut.
Dari perang solo, ia kemudiannya disertai pula lebih ramai pengikut yang menyokong provokasi itu dan kemudiannya pihak yang diprovok memanggil pula geng-geng mereka dan begitulah seterusnya.
Disebabkan ini, pertelingkahan yang sepatutnya kecil menjadi lebih parah dan seterusnya ada pula yang berkecil hati, maka terjadilah kes-kes bermasam muka dan cakap-cakap belakang yang kemudiannya menjadi barah kepada kaki pancing itu sendiri.
Konsep provokasi yang dapat penulis lihat di kalangan kaki pancing ini bukanlah mengenai isu-isu besar seperti bagaimana untuk membawa industri memancing ke arah yang lebih tinggi.
Sebaliknya ia lebih kepada isu-isu kecil dan remeh-temeh seperti, `SIAPA LEBIH POWER’, `SIAPA LAGI OTAI, `MEMPERTIKAI SETUP PANCING PEMANCING LAIN’, `TEKNIK SIAPA YANG LEBIH BAGUS’, ‘GENG TAPAU TERLAMPAU’ dan sebagainya.
Kalau nak bercerita siapa lagi hebat, lihat dahulu apakah pencapaian anda sendiri. Adakah anda pernah memberi sumbangan di dalam industri memancing Malaysia? Atau adakah nama anda telah tercatat di dalam rekod tangkapan ikan dunia International Game Fish Association (IGFA)?
Persoalannya mengapa perlunya wujud puak-puak daripada industri memancing kita? Tak bolehkah kalau semuanya bersatu dan bersama-sama menaikkan nama industri memancing ini?
“Salah tanggapan tu, yang sebetulnya ‘berkumpulan’ bukan ‘berpuak’. Ini terjadi disebabkan oleh minat oleh kaki pancing itu sendiri. Tak semua orang suka main laut dalam, tak semua orang main kolam, tak semua orang main lombong.
Tetapi untuk menyatukan kaki pancing yang sama tempat pancingan, satu kumpulan ditubuhkan untuk bertukar-bertukar pendapat dan ilmu dalam dunia pancingan.
Tak ada kumpulan yang melarang untuk mengambil ahli baru. Percayalah, kalau mereka semua duduk semeja pun, tak kira kaki pancing laut dalam, kaki pancing lombong , kaki pancing kolam mereka pasti ada yang nak diborakkan. Kalau berpuak, mereka saling membenci. Itu bukan seorang kaki pancing yang sejati.”
– Mael JG
“Memang wujud golongan pemancing yang berpuak-puak ni. Contohnya, walaupun geng dalam group FB, golongan ni ada group dia sendiri seperti group chat whatsapp dan lain-lain. Diorang akan turun memancing dengan geng dia jer. Mungkin tak nak berkongsi lubuk dan sebagainya. Bagi saya, memancing dengan siapa-siapa pun tak kisah. Janji enjoy dan make friends.”
– Dryel FishOn
“Yang berpuak-puak tu selalunya libatkan pertandingan atau peminat-peminat tegar sesuatu produk pancing. Masing-masing nak tunjuk merekalah hebat dengan produk mereka, tanpa produk itu maka tak akan menang kata mereka. Dari provok suka-suka terus melarat sehingga ke group-group di dalam FB.
Ape pun tak boleh la berpuak-puak ni. Dunia pancing kita tak besar mana, esok lusa pusing-pusing jumpa balik dengan orang sama jugak. Akhir kata “Mancing je pun, why so serious?”
– Pjoy Rwg
“Biasalah, arena pancing itu sendiri pon ada pelbagai kaedah dan teknik…. So, tak mustahil la kaki-kaki pancing pon berpuak-puak. Kaki rendam, kaki ngilat, kaki kolam, kaki udang, salt water, fresh water, laut dalam, pantai, kaki sungai pegunungan, dan lain-lain. Belum masuk kaki fly lagi… banyak lahh!!!!
– Mat Lie SW
“Biasa la… geng-geng OTAI mana nak bercampur dengan FRESHMEN… geng-geng BRANDED mane ngam ngan geng-geng MAMPU MILIK… Geng-geng FAMOUS segan nak bergaul dengan geng PICISAN… Even dalam group sendiri pun ade geng ORG LAMA dan BUDAK BARU NK UP… Sekian.”
– Nubis Kubis
“Kebiasaannya isu berpuak-puak ni muncul di dalam satu group yang besar. Selaku ahli di dalam group-group mengilat, saya banyak dapati ianya lebih kepada faktor individu itu sendiri yang mana apabila berlaku perbalahan sesama ahli maka fenomena berpuak-puak makin menjadi.
Perbezaan fahaman memancing juga menyumbang kepada masalah ini sebagai contoh, caster yang mengamalkan CNR adakalanya bertegang dengan caster yang tapau hasil tangkapan.”
– Kobi Kaha
“Dalam memancing ni biasanya berpecah daripada segi teknik sama ada bottom, casting, jigging, popping dan sebagainya. Dan seterusnya berpecah mengikut platform media sosial mahu pun forum. Tapi satu je yang pasti, takde lah sampai bermasam-masam muka, insyaallah.
Bahan membahan tu adatlah lelebih lagi kalo burung bangau tu asyik ngeko gi mancing. Janji mancing. Pedehal?”
– BoiPancing
“Jika tengok dalam dunia bottom, caster, jigger, surfer, flyer ni memang ada unsur berpuak-puak. Ini wujud sebab banyak benda, contohnya pendapat, port rahsia, barang-barang mahal, kelengkapan dan berbeza ideologi.
Yang pasti kita kena kikis dulu sifat dengki dan ego yang menebal dalam diri kita. Semuanya berkaitan dengan MENTALITI kita.. Jika mentaliti kita sihat, maka sihatlah apa-apa jua yang kita usahakan.”
Pengalaman disengat ikan menjadi lumrah dalam kalangan kaki pancing. Sakit sengatan tak sedikit pun menghalang untuk terus memancing, apa yang penting keselamatan diutamakan.
“Zaman kanak-kanak saya belum kenal banyak speisis ikan, yang saya tahu janji ngail jika ada peluang. Masa itu saya darjah 6 dan tinggal dengan bapa di Kuching. Bapa selalu kirim barang kepada keluarga di Sibu dengan kapal laut. Sementara tunggu kapal berlayar saya cuba-cuba pancing.
Selalu juga dapat udang galah, tapi hari tu saya dapat ikan sembilang api (ekor berwarna merah). Sangka saya keli. Masa buka mata kail, ikan mengelepur dan terkena durinya pada hujung jari. Tak sakit mulanya cuma darah berciciran keluar. Masa nak basuh ayah nampak. Kenapa? Kena petik (sengat) keli…. “Mana ada keli kat air payau, itu semilang api!!!
Malamnya saya tak tahan bisa… kena bawa hospital untuk suntikan. Tak dapat tidur sampai pagi kerana bisa berdenyut-denyut. Kepada yang baru mula nak berjinak-jinak dengan dunia pancing, sila berhati-hati.”
“Kena sengat baung, nasib baik ada batang keladi, kurang denyutannya, petua orang kampung. “
“Pernah kena sengat ikan kitang… panas bisa ikan ni buat hilang mood mancing. Pemancing tegar je yang dapat pengalaman cenggini. “
“Pernah kena sengat obor-obor ketika sedang casting dalam air. Sakit hingga sesak nafas. Nak minta tolong kami ada di pulau terpencil dari orang. Last-last aku teringat petua orang tua. Jika terkena sengat obor-obor lumur tempat kena sengat dengan air kencing. Apa lagi tanpa berfikir panjang aku terus buat… tau apa yg jadi??? Jenggg!!! Alhamdulilah betul-betul jadi… kesakitan beransur kurang. Kadang-kadang kita tak perasan yang penawar ada pada kita.”
“Pernah gak kena sengat dengan ikan keli. Masa tu berkubang dalam paya untuk menangkap ikan-ikan darat. Dengar cerita sengat ikan laut lagi dasyat. Tak pernah lagi kena. Apa-apa pun sentiasa berhati-hati semasa mengendalikan ikan yang bersengat.”
“Petua ayah saya bila terkena sengat ikan tu, ludah di tempat kena sengat tu dan ambik segumpal tanah gosok kat tempat tu. Bila saya mancing jauh dari darat ayah selalu pesan jangan lupa bawa tanah dalam balang. Yelah takut apa-apa jadi jauh nak dapatkan pertolongan.”
“Kena dah sekali spesieis ikan duri kat Pulau Ketam. Ikan tengah melompat… kite nak ambil playar. Sekali zaappss!! Tercucuk duri tepi insang. 2 jam menahan bisa atas bot. Rasa macam nak nangis oo!
“Pernah rasa penangan ikan kitang… tercucuk kat jari hantu, betul-betul celah kuku… rapat sampai tulang pulak tu. Time tu tak tau apa-apa, kebetulan ada minyak cap kapak dalam poket. Sapu je… hahaha sakit bisa ikan melebihi pedih minyak cap kapak.”
“Banyak kali dah kena sengat ikan, dari kecik main kubang pedap ikan, keli, sembilang… lepas tu start main laut main pegang je ikan depu dengan kitang. Memang betul-betul tak tau mana spesies ikan bisa kat laut ni, tau-tau rasa kebas-kebas tangan, selawat baca 3 Qul dalam 15 minit liang roma keluar cam peluh lepas tu hilang sakit. Pegang ekor pari walau tak kena sengat pun boleh rasa kebas tangan… lepas tu dapat ikan main cabut pakai playar je dah.”
“Saya pernah kena sengat ikan tuka, walauuon terkena duri dia yang dah dipotong tapi kesannya dari air mula nak pasang sampai air kembali surut masih terasa. Serik dah mancing dalam gelap. “
“Pancing parit jer… kena ikan temekung saja pun dah boleh jadi kebas jari-jari. “
“Kitang… sangat berbisa walaupun besar duit lima sen. Pernah kena.. bengkak. Guna petua tekong… selawat tiga kali, celup tangan yang bengkak di dalam lumpur. Alhamdulillah… Lima minit lega sikit.”
“Saya pernah kena sengat iting utik, aduhh sakit bah. Langsung tidak dapat tarik keluar pasal terlampau dalam masuk isi, apa lagi darah banyak keluar. Last-last paksa bawa hospital, ikan utik pun ikut skali. Kena ketawa kan lagi tu oleh nurse… mau marah pun, sudah salah sendiri. Sendiri yang cuai. Cerita pancing udang, utik yang naik. Pesan untuk kawan-kawan kaki pancing, kalau strike ikan yang pandai sengat atau ada iting, jangan lupa buang dulu duri ikan, jangan nak tera sangat… hehehe.”
Bila sampai di rumah atok di kampung, saya terfikir akan kawasan paya yang terletak hanya 500 meter sahaja. Petang itu juga saya mengajak Bad dan Khalid untuk meninjau lokasi kawasan. Bad dan Khalid merupakan anak buah isteri yang baru berusia 16 dan 17 tahun.
“Bagaimana bang? Kita nak pancing ke… menjala, tahan lukah, pasang bubu atau memukat aje?” Tanya Khalid sambil memandang tepat ke arah saya.
“Kita pancing dengan menjalalah,” jawab saya pendek. Sebenarnya dalam bonet kereta saya dah lengkap semuanya!
Budak-budak kampung ini memang dah biasa memancing ikan puyu dan sepat di sini. Sekarang kerja kami tinggal mencari umpan sahaja.
Dengan menggunakan parang, saya mendapatkan hampir satu tempurung cacing pisang khusus untuk memikat sepat siam di batang pokok pisang yang telah ditebang bersebelahan rumah atuk serta tidak dilupakan cacing tanah yang dikorek di kawasan agak lembap. Sekarang misi boleh bermula!
Apabila ternampak muncung kecil ikan ini berhampiran pokok kiambang, saya menghulurkan tali pancing ke situ. Saya duduk mendiamkan diri kerana saya tahu ikan sepat siam sensitif dengan bunyi bising.
Baru sejam duduk di tepi paya, hampir 20 ekor ikan sepat siam ini tumpas di tangan saya. Gembira rasanya. Saya memandang Khalid dan Bad yang duduk tidak jauh dari situ. Mereka juga sedang khusyuk melayan aksi ikan-ikan ni berentap. Bukan ikan sepat siam sahaja yang menjadi mangsa umpan saya, haruan, keli dan belut juga turut memakan umpan. Wah, macam pesta pula rasanya di tepi paya besar ini.
Disebabkan seronok mendapat ikan, saya tidak perasan hari sudah pun remang-remang senja. Burung pun sudah mula terbang pulang ke sarang. Saya, Bad dan Khalid seperti ‘sayang’ mahu meninggalkan kawasan paya itu. Tidak seorang pun daripada kami bertiga yang mahu mengajak pulang.
Masing-masing asyik melayan joran yang dimakan umpan selang tidak sampai sepuluh minit. Sayup-sayup saya terdengar bunyi beduk dipalu dari surau berdekatan menandakan waktu Maghrib sudah tiba.
Serentak saya memandang ke arah tempat Bad dan Khalid duduk. Bagai terhenti denyutan jantung saya apabila melihat mereka berdua tiada. Baldi berisi ikan dan joran terletak elok di atas tanah. Saya cuba memanggil nama mereka berdua namun tiada sahutan.
Pelik bin ajaib, baru seminit dua tadi saya nampak mereka berdua ada di situ tetapi sekarang sudah ghaib entah ke mana.
Hati saya mula rasa cemas. Mungkin mereka berdua sudah pulang ke rumah sebaik sahaja terdengar bunyi beduk diketuk tadi? Tapi tak mungkin mereka tinggalkan saya begitu saja tanpa memberitahu. Ah, pening saya dibuatnya. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
Sampai sahaja di rumah, terus saya bertanya kepada isteri tentang Khalid dan Bad. Puas kami berdua mencari, bayang mereka berdua memang langsung tiada.
Saya berwuduk dan terus mengerjakan solat Maghrib. Selepas solat, barulah saya menceritakan apa yang berlaku kepada ayah mertua saya, Haji Mat Zain.
Kami mengumpulkan jiran saudara yang terdekat dan gerakan mencari mula dilakukan. Kawasan paya itu agak gelap pada waktu malam. Kami memanggil nama Khalid dan Bad berulang-ulang kali namun kelibat bayangnya pun langsung tidak kelihatan.
Sebelum itu, saya berpesan kepada isteri untuk cuba mencarinya di rumah kawan-kawan rapatnya namun hampa. Bad dan Khalid tiada di situ. Ikhtiar terakhir kami lakukan ialah memanggil Haji Harun dari kampung sebelah.
Haji Harun merupakan guru tahfiz di sebuah madrasah di situ. Lama Haji Harun duduk bertafakur sambil bibirnya membaca ayat-ayat suci Al Quran dengan suara yang perlahan. Tiba-tiba saya lihat air di permukaan paya mula berombak kecil, seolah-olah ada orang yang sedang meranduk atau berenang di dalamnya. Hati saya bergetar.
Antara rasa takut dan seram serta rasa ingin tahu yang amat sangat apakah yang akan berlaku seterusnya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti suara ungka yang saling bersahutan. Tingkah meningkah dalam keadaan yang sungguh bising. Haji Harun bangun lalu berjalan ke tebing paya.
Dia berdiri menghadap kiblat dan saya seperti terdengar dia berbual-bual dengan seseorang. Namun tiada kelihatan kelibat yang diajak berbual. Haji Harun menggamit saya. Dia meminta saya melepaskan semua ikan sepat siam yang ditangkap petang tadi. Saya akur dengan permintaannya. Semua ikan tadi saya buang kembali ke dalam paya.
Selepas itu, suasana kembali hening. Tiba-tiba saya terdengar bunyi orang batuk di sebelah saya. Sebaik sahaja saya menoleh, kelihatan Bad dan Khalid sedang duduk mencangkung dalam keadaan lemah. Menjerit saya memberitahu semua orang tentang keadaan itu. Biarpun kejadian ini sudah dua tahun berlalu, ia tetap terpahat kukuh di dalam ingatan saya.
Semenjak hari itu saya tidak lagi menjejakkan kaki ke paya tersebut. Kejadian ini membuatkan saya terfikir tentang kewujudan makhluk ALLAH yang sama-sama berkongsi tinggal di dunia ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...