Ikan air masin boleh dibahagi kepada dua spesies iaitu ikan bersisik dan tidak bersisik. Sisik pada ikan bolehlah dianggap sebagai agen keselamatan. Bagi spesies yang tidak memiliki sisik, kebanyakannya dibekalkan set pertahanan diri yang lebih berbahaya seperti duri yang menyengat.
Ikan Depu
Nama saintifik: Synanceia spp
Nama umum: Stonefish
Ikan depu mempunyai warna coklat dan mempunyai kulit yang agak kasar. Gemar bersembunyi di dalam lumpur, karang dan batu-batuan, merupakan spesies ikan laut yang beracun tergolong dalam jenis Pterois, Parapterois, Brachypterois, Ebosia atau Dendrochirus dari keluarga Scorpaenidae.
Depu dikenali kerana senjatanya iaitu duri yang tajam dan memiliki warna merah, coklat, kuning, hitam atau putih yang amat berbisa yang terdapat di bahagian sirip belakang, jika terkena boleh menyebabkan seseorang itu pengsan dan boleh membawa maut.
Ikan Sembilang / Gemang
Nama saintifik: Plotosus canius
Nama umum: Gray-eel catfish
Ikan sembilang terkenal bagi kebanyakan kaki pancing yang gemar memancing pesisir pantai. Bentuknya badannya tidak bersisik dan licin. Selain itu, ikan sembilang juga mempunyai rasa yang agak sedap.
Ketika mengendalikan spesies ini, kita perlu berhati-hati dengan sengat atau duri pada bahagian dorsal dan juga sepasang duri pektoralnya. Sengatan sembilang agak berbisa dan mampu mendatangkan rasa berdenyut dan sakit berterusan jika tidak dirawat segera.
Sembilang Karang / Usat-Usat
Nama saintifik: Plotosus lineatus
Nama umum: Striped eel catfish
Usat atau ikan sembilang karang juga mendiami kawasan yang mempunyai karang. Warna badannya berbeza berbanding sembilang biasa. Ikan sembilang karang mempunyai warna yang lebih cerah dan mempunyai jalur pada badannya. Seperti ikan sembilang, ikan sembilang karang juga mempunyai duri yang berbisa dan mendatangkan kesan buruk jika disengat.
Ikan Duri
Nama saintifik: Arius sp
Nama umum: Sea catfish
Spesies daripada genus Arius ini merupakan antara spesies yang sering dinaikkan. Ikan duri mempunyai tiga duri yang tajam dan keras. Duri yang digunakan untuk mempertahankan dirinya ini terletak pada sepasang sirip pektoralnya serta sebatang duri yang mampu menegak pada bahagian sirip dorsal di atas badannya.
Ikan Pari
Nama saintifik: Dasyatidae
Nama umum: Thorntail stingray
Ikan pari merupakan ikan yang berbentuk leper dan sering berada pada dasar badan air. Ketika mengendalikan ikan pari, perhatian harus diberikan kepada bahagian ekornya. Duri sengatan ikan pari yang terletak di sebalik ekornya sangat berbisa dan mampu memberikan kecederaan teruk. Sesetengah kes sengatan pari mampu membawa kepada kematian.
Aruan Tasik
Nama saintifik: Rachycentron canadum
Nama lain: Cobia
Aruan tasik mempunyai daya larian yang begitu kuat. Spesies ini juga mampu membesar mencapai saiz gergasi. Dalam mengendalikan ikan ini terutama di atas bot yang bergerak, perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang risiko terkena sengatan durinya. Sebaris duri keras dan tajam aruan tasik yang terletak pada bahagian sirip dorsalnya boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
Belukang
Nama saintifik: Hexanematichthys sagor
Nama umum: Sagor catfish
Ikan belukang hampir menyerupai ikan duri. Ikan ini selalunya menjadi pengacau umpan dan sering dinaikkan ketika memancing di kawasan berair payau. Begitu pun, seperti ikan duri, ikan belukang juga mempunyai duri sengat yang berbisa. Duri ini terletak di bahagian sirip dorsalnya serta pada sirip pektoralnya.
Aktiviti memancing merupakan aktiviti luar yang sangat mudah dilakukan. Boleh dikatakan hampir semua golongan peringkat usia, taraf hidup dan kesihatan boleh melakukan aktiviti memancing. Malah, bukan sahaja lelaki, golongan wanita turut berkemampuan untuk mencuba hobi ini. Tahukah anda, mereka yang memancing lebih terdedah kepada cara hidup yang lebih sihat?
Lebih sihat
Walaupun memancing kelihatan tidak memerlukan anda mengeluarkan banyak peluh, namun pencarian spot atau lubuk pancing yang baik memerlukan sedikit kerja keras untuk mendapatkan lokasi yang berbaloi sama ada mengayuh sampan atau bot, berbasikal ke lokasi pancing mahu pun trekking jauh ke dalam hutan. Aktiviti ini sebenarnya secara tidak langsung memberi kesan baik kepada kardiovaskular anda.
Selain itu, pancingan layang atau flyfishing; salah satu cabang atau teknik pancingan, juga sebenarnya membantu wanita untuk melawan penyakit kanser payudara.
Terdapat sebuah pertubuhan yang diberi nama Casting for Recovery, telah menggabung pendidikan kesedaran kanser payudara dengan sukan memancing sebagai satu langkah sokongan, terapi dan senaman.
Pertubuhan ini menyatakan, pergerakan lembut dalam flyfishing menyerupai senaman yang diperlukan oleh golongan yang baru melakukan pembedahan atau rawatan radiasi untuk menggalakkan tisu lembut meregang. Kumpulan ini ditubuhkan untuk wanita pelbagai peringkat usia, rawatan dan fasa penyembuhan.
Sumber nutrisi yang baik
Ikan merupakan sumber terbaik bagi mendapatkan asid lemak omega-3. Omega-3 amat bagus untuk menurunkan tekanan darah selain menurunkan risiko strok dan kegagalan fungsi hati. Menurut Mayo Clinic, omega-3 juga sangat baik untuk mengurangkan ketidakseimbangan kadar degupan jantung selain meningkatkan fungsi otak berkembang bagi kanak-kanak.
Selain kepentingan nutrisi di atas ke atas kesihatan, kajian juga menunjukkan memakan ikan mampu menyelamatkan daya penglihatan, mengurangkan risiko asma, melindungi kulit anda daripada sinaran UV dan mengurangkan risiko rheumatoid arthritis.
Hilangkan stress
Tanyalah kepada pemancing di luar sana, merasai tentangan ikan di hujung tali pancing cukup untuk membuang segala tekanan dan keserabutan dalam kepala.
Menurut Frank Peterson, presiden dan CEO kepada Recreational Boating and Fishing Foundation, “Memancing merupakan satu aktiviti yang mengurangkan tekanan dan dalam masa yang sama menimbulkan rasa keseronokan”.
Menurut data Recreational Boating and Fishing Foundation dan Outdoor Foundation, 9% warga Amerika berkira-kira untuk mencuba sukan memancing di mana 38% daripada jumlah itu berminat oleh kerana mahu mengurangkan tekanan atau stress sama ada tekanan daripada segi mental atau fizikal.
Kombinasi melakukan aktiviti yang santai dan senaman ringkas juga membantu kepada mereka yang mengalami PTSD (post traumatic stress disorder). Satu kajian pada tahun 2009 menunjukkan aktiviti memancing dapat mengurangkan simptom PTSD dan meningkatkan mood bagi mereka yang mengalami kecelaruan.
Selepas tiga hari melakukan aktiviti flyfishing, laporan menunjukkan pengurangan sebanyak 32% rasa bersalah dan 43% rasa kemarahan. Perasaan takut juga menurun sebanyak 30% dan 36% perasaan kesedihan menurun. Kesan positif ini kekal sehingga lebih sebulan selepas mereka menjalani terapi memancing ini.
Seringkali kita terdengar; ‘mengurus perikanan rekreasi’ adalah dengan melepaskan ikan ke dalam sungai atau tasik, yang kemudiannya boleh dipancing oleh pemancing.
Ya! Memang betul. Melepaskan ikan adalah salah satu strategi dalam mengurus perikanan rekreasi. Akan tetapi, melepaskan ikan bukanlah segala-galanya.
Ada banyak lagi elemen lain yang perlu diambil kira dalam mengurus perikanan rekreasi.
Jika kita lihat dari sudut yang lebih meluas, perikanan rekreasi sebenarnya terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu komponen biologi (ikan dan habitat), komponen ekonomi pemancing (nilai RM), dan komponen sosiologi pemancing (kajian manusia).
Di negara maju, mereka telah lama mengurus perikanan rekreasi, dengan mengambil kira ketiga-tiga komponen ini. Matlamat utama adalah supaya pemancing dapat mencapai ‘kepuasan memancing’ dan akan terus keluar memancing.
Pertama, bagi komponen ‘biologi’, jabatan yang mengurus (contohnya: U.S. Fish and Wildlife Service di Amerika Syarikat) perlu mengambil kira status sumber perikanan dan habitat ikan.
Mereka melakukan pelepasan ikan secara berjadual, membuat inventori ikan (pemantauan ikan) bagi mengganggar jumlah ikan, selain membaiki kawasan tebing sungai atau tasik serta menanam semula tumbuhan akuatik sebagai habitat ikan.
Kedua, bagi komponen ‘ekonomi pemancing’, mereka menilai jumlah wang yang ‘telah’ dibelanjakan oleh pemancing.
Ini bagi mendapatkan anggaran nilai $USD (kalau kita RM) bagi aktiviti memancing tersebut.
Bukan itu sahaja, mereka juga menilai berapakah jumlah wang yang ‘sanggup’ dibayar oleh pemancing bagi mendapatkan nilai ekonomi pemancing dimasa hadapan. Lesen memancing juga boleh dikategorikan dibawah komponen ini.
Ketiga, bagi komponen ‘sosiologi pemancing’, mereka di negara maju sangat mengambil berat tentang ‘kepuasan memancing’.
Mereka ingin mengetahui sama ada pemancing berpuas hati atau tidak semasa memancing. Mereka mendapatkan data ‘kepuasan memancing’ melalui soalan kaji selidik.
Pemancing akan bekerjasama dengan memberikan maklumat latar belakang, pengalaman memancing, kenapa keluar memancing, spesies yang mereka mahukan, serta maklumat lain yang berkaitan dengan aktiviti memancing.
Maklumat dari ketiga-tiga komponen ini (biologi, ekonomi dan sosiologi) akan diambil kira dalam membuat keputusan bagi mengurus perikanan rekreasi.
Mereka akan meneliti setiap komponen serta kombinasi bagi ketiga-tiga komponen tersebut. Sebarang keputusan akan menjurus kearah matlamat utama, iaitu ‘kepuasan memancing’.
Sebagai contoh, melalui kaji selidik pemancing, pengurus perikanan dapat mengetahui kenapa pemancing keluar memancing dan apakah spesies kegemaran mereka?
Maklumat ini dapat membantu pengurus dalam menentukan spesies paling sesuai untuk dilepaskan di sungai atau tasik, serta fasiliti dan kemudahan yang terbaik yang boleh disediakan bagi memenuhi kehendak pemancing.
Pengurus juga dapat memberikan nilai RM yang ‘telah’ dan ‘sanggup’ dibayar oleh pemancing.
Sudah tentu, jumlah RM yang dizahirkan akan membuktikan betapa pentingnya aktiviti memancing kepada masyarakat dan negara.
Dalam situasi sekarang, dengan pelbagai cabaran seperti ancaman pencemaran, kemusnahan habitat, sikap tamak manusia, dan lain-lain lagi, negara perlu mengurus perikanan rekreasi dengan sebaik-baiknya, sebelum semuanya terlambat.
Langkah terbaik adalah dengan mencontohi negara maju dalam mengurus perikanan rekreasi mereka.
Ini boleh dilakukan dengan mengambil kira ketiga-tiga komponen yang dibincangkan (biologi, ekonomi, dan sosiologi).
Ini boleh dilaksanakan sama ada secara terus (copy and paste) ataupun secara modifikasi mengikut kesesuaian di negara kita.
Kerjasama pemancing (pembaca) dalam membantu jabatan yang mengurus (Jabatan Perikanan Malaysia) sudah pasti dapat melancarkan pelaksanaan mengurus perikanan rekreasi di Malaysia, setanding dengan negara maju lain di dunia.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...