Kampung Kebeng merupakan sebuah kampung dalam gugusan kampung Belum Lama yang telah ditinggalkan setelah penduduknya diarah pindah oleh pihak kerajaan Malaya pada tahun 1947.
Setelah hutan Royal Belum ini diwartakan di bawah enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak pada tahun 2003, Kampung Kebeng ini bertukar wajah menjadi destinasi memancing khususnya bagi penggemar spesies ikan sungai pergunungan, kelah dan kejor.
Namun untuk ke Kampung Kebeng tidaklah semudah yang disangka kerana tiada sebarang pengangkutan melainkan perlu meredah denai hutan berbukit dan anak sungai berjeram sekitar 15 kilometer lengkap dengan permit dan juru pandu yang diiktiraf.
Aktiviti memancing di hulu Sungai Kejar ini telah lama diketahui oleh tiga orang ahli kelab perikanan rekreasi Aluminium Boat Casting atau Alucast.
Hanya setelah didorong oleh seorang lagi rakan ahli kelab yang akan menyertai trip bersama grup lain, barulah mereka bertiga berpeluang untuk turut serta.
Menyedari perihal laluan dan rintangan yang bakal dihadapi, sedikit sebanyak persiapan khususnya fizikal dilakukan sebelum menjayakan ekspedisi meredah hutan memburu kelah.
Ekspedisi selama lima hari empat malam hampir 30 orang peserta termasuk juru pandu dan porter bermula apabila berakhirnya perjalanan air di hilir Sungai Kejar.
Setelah menyelesaikan urusan permit di kem Sungai Kejar, perjalanan merentas kanopi hutan bermula dengan jalan berbatu tepi sungai yang mudah mencederakan otot jika tersilap langkah.
Begitu juga ketika meredah arus di sungai berbatu. Setelah melepas Sungai Ketir dan beberapa kawasan perkhemahan, ahli ekspedisi berehat dan bermalam dahulu di kawasan perkhemahan Kampung Kajang.
Mana-mana ahli ekspedisi yang masih bertenaga akan memulakan aktiviti memancing malam namun kebanyakannya melayan kepenatan dan mengumpul tenaga.
Keesokan paginya barulah kembali menyambung perjalanan sehingga tiba di Kampung Kebeng dengan trek perjalanan yang mampu membuatkan lidah terjelir hingga ke lutut.
Apa yang menarik, trek perjalanan yang digunakan merupakan trek yang sama digunakan oleh binatang liar dan kesan tapak-tapak kakinya boleh dilihat dengan jelas.
Di tapak perkhemahan Kampung Kebeng ini ahli-ahli ekspedisi akan berpecah menjadi kumpulan kecil bagi melakukan aktiviti memancing khususnya mencari spesies sasaran utama iaitu kelah merah.
Ada kumpulan yang mencuba di kawasan berhampiran tapak perkhemahan, ada yang mudik ke hulu dan juga yang turun ke hilir sungai.
Walaupun tidak banyak spesies kelah merah yang berjaya dijinakkan, namun pengalaman meredah hutan ini sangat berharga khususnya bagi tiga orang ahli Alucast dan sejurus selamat pulang dari ekspedisi sudah mula berkira-kira untuk melangkah lebih jauh lagi hingga ke hulu Sungai Merah.