Obor-obor atau jellyfish merupakan sejenis haiwan yang cantik tetapi memiliki organ yang amat berbisa. Obor-obor berenang dengan kuasa denyutan yang dikawal oleh otot-otot dan sarafnya. Alat pengimbang udara yang terdapat pada tubuhnya membolehkan obor-obor terus terapung atau tenggelam.
Sementara sesungut yang terdapat pada obor-obor digunakan sebagai senjata dengan menyengat mangsanya. Ikan dan juga manusia boleh menjadi lumpuh jika terkena sengatan obor-obor ini. Kadangkala bisanya boleh membawa maut kepada yang tersentuh badan haiwan ini.
Untuk keselamatan mereka yang terkena bisa obor-obor ini, perlulah dibawa ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Walau bagaimana pun rawatan awal boleh diberikan untuk mengelak kecederaan atau kematian.
Sengatan yang paling kerap adalah semasa obor-obor terapung di permukaan air ketika mangsa memasuki atau berenang di dalam air.
Serpihan sesungut yang terpisah dari badan obor-obor akibat dari laut bergelora seperti semasa ribut. Sesungut ini walaupun telah terpisah dari badan berupaya mengeluarkan bisa apabila serpihan sesungut bersentuhan dengan manusia.
Serpihan sesungut yang terdampar di persisiran pantai juga berupaya membebaskan bisa apabila dipijak.
Sengatan obot-obor lebih kerap terjadi apabila bilangannya di dalam laut bertambah.
Tip rawatan
Antara bahan yang lazimnya digunakan untuk rawatan awal sengatan obor-obor adalah seperti sodium bikarbonat (serbuk penaik yang digunakan untuk kek), asik borik, alkohol, larutan cucian amonia dan jus limau nipis. Bahan-bahan ini dapat bertindak menukarkan tahap keasidan (pH) di bahagian tubuh yang tersengat dan meredakan rasa sakit.
Langkah bantuan kecemasan yang disyorkan selepas itu adalah seperti berikut :-
Basuh kawasan sengatan dengan air laut.
Jika sesungut obor-obor terdapat di atas kulit, gunakan alatan yang bersesuaian seperti garpu atau memakai sarung tangan bagi membuang sesungut tersebut.
Kawasan sengatan kemudiannya direndam dalam larutan cuka (50 peratus) selama 30 minit.
Selepas itu, tuangkan bancuhan tepung atau serbuk penaik (baking powder) ke atas tempat sengatan dan gunakan pisau untuk mengikis keluar nematosit yang tertanam dalam kulit kita.
Ulangi basuhan cuka ke atas tempat tersebut dan sapukan krim yang mengandungi antihistamin, analgesik dan steroid (seperti betnovat) pada kawasan sengatan. Jika perlu, gunakan air untuk menghilangkan rasa sakit.
Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segera.