Ranking Bisa Sengat Ikan Laut

Share

 

Nama ikan pari lazimnya akan disebut terlebih dahulu bila berbicara soal bisa sengat. Sebenarnya, ikan laut yang paling berbisa bukanlah datang dari pari. Kita letak skala 1-5 untuk mengukur sengat mana yang paling sakit. Skala satu untuk yang kurang sakit dan skala lima untuk sengatan yang paling padu bisanya!

 

IKAN DURI

 

Bisa ikan ini tidak sekuat ikan sembilang. Sengatan ikan duri akan menyebabkan rasa pedih dan aliran darah yang banyak kerana durinya yang besar. Jika terkena sengatan ikan duri, bersihkan bahagian itu. Kemudian, letakkan minyak angin ataupun minyak gamat. Seandainya ada pil paracetamol, boleh dimakan untuk mengurangkan rasa sakit. Jika sakit berlanjutan, segeralah ke klinik.

 

Level Padu Bisa : Skala 2

 

KITANG

 

Biasanya seseorang akan terkena sengatan ikan ini ketika menjala. Sakitnya ‘mencucuk’ dan terasa berdenyut. Sakitnya tidak lama, lebih kurang satu jam sebelum ia bernasur-ansur hilang. Jika disengat pada jari, secara automatik tangan akan menjadi lenguh. Namun duri ikan kitang tidak mempunyai toksin yang tinggi sehingga boleh menyebabkan sesiapa yang terkena sengatnya terancam nyawanya.

 

Level Padu Bisa: Skala 2.5

 

DENGKIS

Ikan ini turut dikenali sebagai kitang lada. Sakitnya lebih daripada kitang biasa. Bisanya terletak pada duri di sirip ikan ini. Apabila terkena sengatan ini, pandangan mata akan menjadi sedikit kabur. Dikatakan, hampir setengah hari lamanya anggota badan yang terkena sengat akan kebas dan hampir hilang upaya untuk digunakan.

 

Level Padu Bisa: Skala 3

 

SEMBILANG / USAT

Sengatan ini masih boleh ditahan. Mampu membuatkan seorang lelaki ‘macho’ mengalirkan air mata tetapi sengatnya jika dirawat segera tidak mendatangkan kesan serius. Jika dibawa ke klinik atau hospital, biasanya akan diberi suntikan untuk mengurangkan sakit sengatan. Petua orang dulu-dulu, kononnya jika disengat sembilang, seseorang itu dinasihatkan untuk gigit dan makan ekor ikan ini. Bolehkah petua ini dipercayai?

 

Level Padu Bisa: Skala 4

 

PARI

Biasanya menyengat dan boleh membunuh. Apabila terkena sengatan ikan pari, segeralah dapatkan rawatan doktor. Suatu ketika dahulu kita pernah dikejutkan dengan kematian Steve Irwin yang popular menerusi programnya; The Crocodile Hunter kerana disengat ikan pari tepat pada jantungnya. Sekiranya terkena pada anggota badan lain mungkin masih sempat diselamatkan.

 

Level Padu Bisa: Skala 4.5

 

IKAN KETUKA

Terkena bisa ikan ini ada masanya menyebabkan lumpuh pada bahagian disengat. Kesan lumpuh hanya sementara tetapi perlu dirawat segera. Duri ketuka sangat tajam dan mempunyai toksin di dalamnya. Bisanya menyengat. Lebih menyengat daripada sembilang yang bukan main gah lagi namanya sebagai ikan bersengat.

 

Level Padu Bisa: Skala 4.5

 

DEPU/LEPU

Depu dikenali kerana senjatanya iaitu duri yang tajam dan memiliki warna merah, coklat, kuning, hitam atau putih yang amat berbisa yang terdapat di bahagian sirip belakang, jika terkena boleh menyebabkan seseorang itu pengsan dan boleh membawa maut. Jadi kepada para pemancing perlulah berhati-hati ketika mengendalikan ikan ini, atau dengan kata mudah tak payah sentuh lansung ikan ini kerana boleh dikatakan seluruh tubuh spesis ini mempunyai bisa yang amat beracun.

 

Level Padu Bisa: Skala 5

Published by
Amang