Orang kata tak perlu susah-susah buat umpan ikan keli… beli je cacing. Betul memang la betul tapi kalau ada makan lebih baik pasti keli akan cari yang lebih baik. Lebih-lebih lagi kalau umpan tinggi protein macam telur ayam muda.
Tentu ramai yang keliru dengan istilah telur ayam muda. Telur ayam muda bukanlah bermaksud telur yang ditelurkan oleh ayam muda, sebaliknya telur yang masih berada dalam ovari ayam yang belum sempurna. Lazimnya ia diperoleh jika menyembelih ayam yang belum habis bertelur atau akan bertelur.
Telur ini biasanya terdiri dari gugusan telur kuning tanpa cengkerang kulit telur. Selain enak dijadikan makanan, ia juga boleh dijadikan umpan memancing. Ia boleh digunakan secara terus atau diproses bersama bahan-bahan lain untuk dijadikan umpan memancing ikan bermisai terutamanya ikan keli.
Barang keperluan:
1 kg telur muda
3 paket Nestum segera
1/2 keping ragi tapai (boleh juga guna yis)
2 bungkus roti bun
Minyak JS
Tepung jagung
Cara menghasilkannya:
Hancurkan setengah keping ragi tapai, kemudian masukkan ia bersama telur muda ke dalam bekas pengisar.
Kisar seketika, kemudian campurkan 3 paket Nestum dan 3 penutup botol Minyak JS. Kisar sehingga adunan menjadi sebati.
Koyakkan carik-carikkan roti bun (2 bungkus) menjadi cebisan kecil di dalam bekas kedap udara.
Curahkan adunan bahan yang dikisar ke atas cebisan roti dan gaul sehingga ia sekata sepenuhnya.
Tutup bekas kedap udara dan simpan atau peram selama 4 hari.
Cara menggunakannya:
Jika adunan umpan agak lembik, tambahkan sedikit tepung gandum sehingga ia boleh dikepal atau dicangkukkan pada mata kail.