Rakit Paling Mantap Perairan Johor

Share

 

Rakit Yo’Yo merupakan salah sebuah rumah rakit terbesar yang ada di negeri Johor terletak di jajaran Sungai Layang, Pasir Gudang. Yo’Yo Rakit mempunyai 3 buah rakit dengan saiz yang berbeza dan dinamakan Rakit A, B dan C.

 

Rakit A yang kami kunjungi, sudah beberapa tahun beroperasi dan boleh dikatakan lengkap dengan fasiliti yang sesuai untuk kunjungan kaki pancing yang ingin membawa keluarga.

 

 

Dengan besar 200 x 500 kaki dan mampu memuatkan maksima 300 orang pada satu-satu masa, rakit ini boleh dikatakan cukup lengkap dengan kemudahan seperti tandas, surau, kedai makan, karaoke, air bersih yang disalurkan terus dari darat dan pelbagai lagi kemudahan lain.

 

Di Rakit A, terdapat 21 buah bilik penginapan dengan harga dari RM50 dan RM100 untuk kaki pancing yang membawa keluarga. Harga ini bolehlah dikatakan amat berbaloi terutama dengan kemudahan serba lengkap yang ditawarkan.

 

 

Kesempatan menemubual pemilik rakit penulis sempatlah bertanyakan bagaimana tercetusnya idea untuk membina rumah rakit ini. Menurut pemiliknya, Encik Hassan Talib, idea tertubuhnya rumah rakit ini pada asalnya sekadar suka-suka untuk hak milik persendirian.

 

“Namun, apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada pemancing yang menginginkan rakit ini dibuka kepada umum, saya mula membesarkan rakit dan dari situlah bermulanya sambutan yang hangat daripada kaki pancing seluruh Malaysia”, katanya.

 

 

Ungkapnya lagi, selain daripada memancing sambil bersantai di rakit, Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat ‘river cruise’ bagi mereka yang ingin menyusuri pemandangan dan keindahan Sungai Johor.

 

Selain itu, bagi pemancing yang ingin merasai kelainan, pihak Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat sewa bot untuk memancing di kawasan sekitar Sungai Johor. Bot dengan enjin 15 hingga 250 kuasa kuda telah disiap-sediakan jika ada yang berminat untuk menjengah lubuk-lubuk yang ada di kawasan sekitar.

 

 

Rakit B & C

 

Selain Rakit A, anda juga boleh memilih untuk memancing di Rakit B dan C yang terletak berhampiran dengan rakit utama. Di Rakit B yang baru dibuka pada tahun 2014, saiznya jauh lebih kecil berbanding Rakit A. Rakit ini hanya mampu memuatkan sekitar 25 orang pada satu-satu masa.

 

Rakit ini juga kurang sesuai bagi mereka yang membawa keluarga kerana tiada bilik penginapan yang disediakan. Namun, untuk kaki pancing tegar, rakit ini sering menjadi pilihan kerana kawasannya yang berhampiran dengan pulau dan dikelilingi batu karang.

 

 

Di Rakit yang terbaru iaitu Rakit C ianya sesuai untuk pemancing yang membawa keluarga atau kumpulan kecil. Selain mampu memuatkan maksima sehingga 60 orang, terdapat juga 9 buah bilik penginapan dan pelbagai lagi kemudahan lain turut tersedia di sini.

 

Lubuk Laluan Ikan

 

Boleh dikatakan ketiga-tiga rakit yang ada di sini memang menjadi laluan pelbagai jenis ikan. Antara ikan yang sering menjadi habuan kaki pancing ialah siakap, kerapu, senangin, tanda, semilang, pari, pecah periuk dan bermacam-macam lagi. Rekod di rakit ini, ada pemancing yang pernah menaikkan siakap seberat 7 kg!

 

 

Malah, sewaktu kunjungan penulis boleh dikatakan pemancing yang memancing di sini mewah menaikkan pelbagai jenis ikan. Kena dengan kunjungan kami yang jatuh waktu air menyusur bani, memang tak menang tangan masing-masing menaikkan hasil tangkapan. Dari ikan sekecil-kecil gelama hinggalah sebesar siakap semuanya ada dinaikkan sewaktu kunjungan kami.

 

Published by
Amang