Perkara yang penting untuk casting toman, korang kena ingat bahawa toman ni pemalas. Jadi kenalah cast dengan tepat dan cepat ke tempat yang dia timbul ambil udara tu. Kalau lambat, dia dah berenang jauh dan buat tak kisah je kat gewang tu korang baling.
Korang kena praktis banyak-banyak untuk dapat ketepatan ni. Senang cakap, kita kena target gewang berenang dekat dengan dia baru la dia nak makan.
Kalau kita nampak toman tu datang dari kiri naik ambil udara, kemungkinan besar dia akan turun ke kanan. Jadi cast di belakang kanan toman rising tu dan try untuk pastikan gewang tu berenang depan muka dia time dia nak tenggelam tu… tinggi harapan dia nak makan.
Ads
Andainya casting 3 orang, seorang baling kiri, seorang tengah, seorang lagi kanan… memang peluang tinggi salah seorang akan dapat strike.
Kalau di spot sesuatu lubuk tu, sudah dua kali toman makan gewang contohnya pensil, boleh dikatakan mood toman hari tu dia nak gewang yang profile macam tu. Lagi baik kalau semua orang dalam bot guna pensil jugak. Kalau nak variasikan pun, pakai la top water macam popper atau lain-lain.
Ads
Bila gewang dibaham toman, biasanya toman akan selam dan cari kayu-kayu supaya dia boleh gesel mulut dia kat kayu tu nak buang apa yang melekat. Jadi drag reel kenalah ketat sikit. Janganlah ketat sangat sampai tali nak putus pulak. Time inilah kelebihan dan best pakai BC reel.
Kalau dah set drag ketat pun tali masih laju keluar, kita masih boleh tekan ibu jari pada spool untuk perlahankan tali keluar.
Ads
Kalau memancing guna anak keli dari atas bot, sebaiknya jangan guna pelampung. Pastikan ada leader besi jadi tak la putus bila kena gigi makan.
Idea tak bagus kalau blind cast pakai keli hidup sebab senang terlucut dari mata kail. Keli hidup ni bagus bila kita nampak toman boiling atau rising terus baling kat dia. Kalau nak guna keli mati pun boleh asalkan keli ni tak busuk lagi.
Untuk keli hidup, pakai 1 mata saja saiz 3/0 brand apa pun tak kisah. Kalau keli mati, pakai 2 mata. Satu cangkuk kat mulut, 1 lagi 3/4 badan dia menghampiri ke ekor. Kena kasi action sikit keli mati tu… barulah senang nak perdaya toman dan membahamnya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing ikan memang perkara normal, tetapi memancing belut (fluta alba) satu perkara baru buat saya.
Memang saya akui, begitu naif untuk memancing spesies berbadan licin ini. Macamana menangkapnya, apa tekniknya, bila masa sesuainya.
Semasa kecil dahulu, pernahlah belut yang disangka ular ini terpancing dengan tidak sengaja.
Bila bapa saudara saya mengajak untuk mencuba memancing belut sawah, lantas ajakan beliau dipersetujui.
Jelasnya, musim menuai di kawasan ‘Jelapang Padi Selangor’ telah siap dan inilah masa yang terbaik untuk memancing belut di tepi-tepi parit kecil yang airnya sedang mula mengering.
Beberapa orang teman sekerja yang kaki pancing juga turut serta. Masing-masing teruja untuk melihat bagaimana caranya memancing belut.
Macam-macam persediaan yang kami bawa, termasuklah set pancing yang kasar untuk jigging ke laut dan juga set casting (kononnya untuk feel).
Memang agak lawak, memandangkan masing-masing belum pernah cuba memancingnya.
Umpan jantung ayam
Nak dijadikan cerita, kami bertolak awal-awal pagi lagi dari Shah Alam menuju Sungai Besar.
Kerana menurut bapa saudara saya, memancing belut sebaiknya awal pagi dan juga lewat petang.
Selain aktif masa makannya, ia juga bagus kerana pada waktu itu, tidaklah terasa sangat bahang mentari.
Sebelum bertolak, kami terlebih dahulu singgah ke pasar awam Seksyen 16 untuk mendapatkan jantung ayam bagi dijadikan umpan.
Untuk memancing belut, sebenarnya tidak perlu risau pasal umpan sebab apa sahaja yang jatuh ke dalam lubangnya pasti akan dibedal, termasuklah katak, cacing, hirisan daging atau jantung ayam, udang busuk.
Kami memilih hati ayam kerana ia lebih kenyal, murah dan senang didapati.
Sedang dalam perjalanan, bapa saudara memberitahu agak lewat sedikit kerana ada kematian di kariah tempatnya, jadi dia terpaksa terlibat sama.
Jadi untuk menunggunya, kami lewatkan sampai dengan singgah dahulu di pinggir jalan selepas melewati pekan Sekinchan untuk pekena mentarang bakar (sejenis siput laut) dan air kelapa muda. Habis dua pinggan mentarang bakar kami kerjakan. Fuhh memang sedap.
Hampir tengahari jugalah kami sampai di Sungai Besar dan sebaik tiba terus sahaja peralatan memancing disiapkan. Pelik dia melihat yang geng set memancing lembut terutama set casting untuk memancing.
Jelasnya, sebaik belut menggetu umpan dan membawanya masuk ke dalam lubangnya, bukan satu perkara mudah untuk memaksanya keluar.
Tapi bila kami mengatakan untuk feel, lantas pakcik saya menggelengkan kepala melihat gelagat kami. (mungkin dalam hatinya berkata… ikut koranglah).
Selesai sahaja menyiapkan set memancing, lantas kami terus sahaja meniti batas-batas sawah untuk mencari lubang-lubang belut.
Sebelum itu, beberapa orang kanak-kanak termasuklah anak saudara saya menjadi jurupandu untuk kami mencari lubang-lubang belut dan juga mengajar teknik sebenar macamana untuk memancing belut.
Kedatangan saya rupa-rupanya diketahui oleh dua orang anak saudara saya yang sememangnya rajin mencari belut bersama rakan-rakannya.
Terus sahaja mereka menjadi ringan mulut dan ringan tulang membantu dan mengajar kami.
Teknik Dan Cara
Memang tanpa bantuan dari mereka ini, kami sendiri entah berjaya atau tidak memancing belut. Caranya adalah cari lubang kecil yang berair di tepi parit utama.
Gunakan batang padi, kocakkan air di permukaan dan tunggu ada pergerakan naik turun air atau tidak.
Jika ada, maknanya lubang tersebut dihuni oleh belut. Kadang-kadang kami langsung tidak mengenali mana satu lubang belut atau bukan.
Tetapi budak-budak ni dengan selamba jer berkata “Eh, itu bukan lubang belut pakcik, yang ini…itu lubang ular air, sini lubangnya…”
Alamak!
Bila lubang belut telah dikenalpasti, hulur mata kail yang telah dicangkukkan dengan hirisan jantung ayam tadi ke dalam lubang dan goyang-goyangkannya.
Jika ada, biasanya dalam jangka masa singkat huluran anda pasti akan disambut. Apabila ia mula memakan umpan dan mula membawa masuk ke dalam sarangnya, tunggu beberapa saat dan lakukan sentapan supaya mata kail tertacap kukuh di mulutnya.
Bila belut telah memakan umpan, saat inilah betapa ‘feelnya’ terpaksa lawan tarik tali dengannya.
Sungguhpun ia hanyalah ikan, tetapi kuasa tarikannya yang kuat, hujung rod melentur kuat, boleh diibarat seperti memancing ikan di laut.
Ini disebabkan belut akan menahan dirinya melalui sarangnya yang dalam dan berbelit-belit.
Apa yang kita perlukan adalah lakukan ‘sorong-tarik’ tali bagi melemahkan belut berkenaan.
Jika terlalu sukar untuk memaksanya keluar, jalan terakhir adalah terpaksa mengorek lubang belut berkenaan. Di sinilah sebabnya mengapa, set pancing, ringan tidak sesuai.
Pendek kata, kalau nak guna set untuk memancing belut, lupakan ajelah, Risau hujung rod sepatutnya mahal yang mahal harganya tu patah dan membuatkan menangis tak berlagu la jawabnya.
Jika berlaku ‘miss’ beberapa kali di sesebuah lubang, belut akan culas untuk memakan umpan dan perlu cari lubang lain dulu. Kemudian barulah bolehlah kembali ke lubang berkenaan.
Apa Yang Terbaik
Ketika kami semua menggunakan set pancing, saya sebenarnya cukup tertarik dengan pancing buatan sendiri yang digunakan oleh kanak-kanak ini, iaitu menggunakan rim basikal yang dibentukkan seperti mata kail.
Ia diikat menggunakan tali pengikat guni padi dan batang jorannya hanyalah menggunakan batang buluh pendek. Ringkas… tetapi cukup mudah untuk mendapatkan belut.
Set inilah juga yang digunakan oleh kebanyakan pencari-pencari belut untuk dijual. Mudah dan cepat.
Untuk umpan, bebas nak guna apa pun boleh. Tetapi menurut kanak-kanak ini, umpan yang paling mujarab untuk memikat belut adalah katak sawah, kerana ia lebih cepat digetu.
Bila difikirkan semula, memanglah logik kerana di persekitaran semulajadinya, katak dan juga ikan-ikan kecil memang diet utama belut.
Tetapi bagi mereka yang geli menggunakan katak, bolehlah menggunakan umpan seperti yang dinyatakan di atas tadi.
Lewat petang, kira-kira 15 ekor belut berjaya dipancing oleh kami. Beberapa ekor belut, diambil oleh bapa saudara saya untuk disiang dan digoreng.
Bila siap dan dihidangkan kepada kami… Sedap rupanya belut ini, rasa macam ikan keli goreng.
Selesai menjamu selera, kami bertolak semula ke Shah Alam dan sewaktu dalam kereta, masing-masing mengeluarkan persepsi…
“Seronok rupanya memancing belut ni!”
“Bila nak mancing belut lagi?”
“Alamak… aku tak lalu la nak makan belut sebab bentuk dia macam!“
Apabila Pulau Sembilan kembali menjadi tumpuan kaki-kaki casting dan jigging untuk mencuba nasib di sana. Kami juga tidak ketinggalan untuk merasai tarikan ikan di sana.
Tarikh yang dipilih adalah agak berarus airnya walaupun masih lagi belum tahap ‘air besar’. Sudah semestinya kami memilih teknik casting dan juga jigging. Walaupun begitu, kami tetap menyediakan satu set pancing dasar untuk mencari anak-anak ikan sebagai hasil tambahan, jika ada.
Tepat 7.30 pagi, kami telah pun bersedia di jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, Perak. Segala makanan dan air telah dibeli secukupnya sebagai bekalan hingga ke petang.
Bot meluncur laju ke destinasi pertama iaitu sebuah pulau kecil yang berbatu. Agak kuat juga alunnya pada waktu itu. Casting dimulakan tanpa henti namun setelah 20 minit, tiada hasil.
Berpindah ke pulau berdekatan dan masih lagi sama keputusannya. Tekong mengajak ke Batu Putih pula. Sauh dilabuhkan sambil jigging dan casting. Seekor todak mengena. Kami juga mencuba memancing dasar di situ dan hasilnya mendapat 5 ekor ‘kerapu manis’ setelah sejam setengah di situ.
Hari telah mula panas terik pada waktu ini. Kami ke pulau lain pula dan ketika ini, arus masih belum pasang lagi. Lubuk ini masih lagi tiada hasil kecuali rabut sebanyak dua kali ketika beraksi.
Kami membuat keputusan untuk berehat di salah sebuah pulau di mana terdapat air tawar. Setelah mandi, dan berehat sehingga tertidur, kami teruskan lagi sesi memancing untuk ‘separuh masa kedua’.
Lubuk ini nampak tenang. Balingan bulu ayam kedua Elmi disambar kasar dan bermulalah aksi yang ditunggu. Setelah membuat loncatan dan berpusing separuh bot, ikan talang tersebut akhirnya tumpas.
Saya yang menyambung casting mendapat tarikan serta merta selepas itu. Namun ketika tekong bersedia untuk menangguk, ia terlucut. Hanya mampu melihat kelibat sahaja. Kami berpindah lagi. Nampaknya pada awal petang ini, ikan agak galak pula.
Tak sampai 10 minit casting, Tompok yang menggunakan popper mendapat sentapan. Beliau yang berada di belakang bot terkial-kial menahan asakan. Tumpas alu-alu tersebut.
Memandangkan keadaan tenang, tekong pun ingin mencuba nasib. Baling kelima beliau disambut kasar.
Tergesa-gesa kami menggulung pancing kerana agak liar pula lariannya kali ini. Seekor talang besar berjaya ditawan. Kami berpindah setelah hampir 2 jam dan menuju ke lubuk-lubuk lain pula tetapi tiada ikan yang menyambut balingan kami.
Kata putus dicapai lalu kami pulang ke jeti dengan ceria walaupun hasilnya tidaklah banyak seperti yang diidam-idamkan. Kami akan kembali nanti.
Paloh Hinai merupakan sebuah bandar kecil di Pekan, Pahang yang terletak di tepi sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia, sungai Pahang. Sebagaimana sungai Pahang yang kaya dengan pelbagai jenis ikan bernilai tinggi, begitu juga dengan kawasan daratan di Paloh Hinai. Antara spesies `ikan darat’ bernilai yang masih boleh dipancing dan peratusan untuk memperoleh adalah tinggi ialah ikan bujuk.
Paloh hinai yang berlatar-belakangkan ladang kelapa sawit dan pinggir hutan menjadikan parit-parit serta paya yang tidak tercemar dengan sisa industri sebagai habitat yang sempurna untuk keluarga ikan berkepala ular khususnya haruan dan bujuk.
Dan ketika sungai Pahang kurang menghiburkan bagi anak-anak muda Paloh Hinai yang menggemari aktiviti memancing dengan kaedah mengilat atau casting, maka sungai kecil, tasik, parit atau kolam di pinggir hutan akan menjadi padang pancing mereka pula.
Malah tidak kurang juga pemancing dari luar termasuk dari Lembah Kelang turut bertandang ke Paloh Hinai demi merasai sambaran si bujuk yang bersifat pemalu ini. Semuanya gara-gara terkena getah atau karan snakehead Paloh Hinai.
Berbekalkan umpan tiruan seperti jump frog, soft frog atau soft plactic lure, anak-anak muda Paloh Hinai yang menggemari teknik pancingan gaya moden ini akan meronda dengan motosikal bagi mencari lokasi berpotensi untuk memancing bujuk. Memandangkan mereka lebih gemar menggunakan umpan tiruan maka padang pancing yang lebih terbuka (tidak banyak dilitupi tumbuhan akuatik atau samai) menjadi pilihan.
Menurut Haekal Nasaruddin, anak jati Paloh Hinai yang menggemari teknik casting walaupun penggunaan katak hidup sebagai umpan lebih berkesan memancing bujuk namun beliau lebih berpuas hati jika memperoleh hasil dengan menggunakan gewang atau umpan tiruan.
Seperkara lain, beliau ada cerita tersendiri yang menyebabkan beliau fobia untuk memegang katak. Yang pasti, penggunaan umpan tiruan lebih mudah dan lebih digemari khususnya kepada anak-anak muda berbanding menggunakan katak hidup. Tambah pula Haekal dan rakan-rakannya memancing bujuk sekadar untuk mengisi masa ruang dan kebanyakan hasil yang diperoleh dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...