Jika anda ingin menguji kecekapan mengendalikan peralatan sederhana (aksi ringan dan sederhana) dengan kekuatan maksimun 15lb, cubalah memancing ikan berkuasa torpedo ini.

Henjutan dan rembatan yang dibuat ke atas set pancing membuatkan otot-otot lengan kejang seketika menahan asakan ikan yang cukup padu.

 

Bertarung dengan spesies pelagik berlainan dengan bukan demersal kerana spesies pelagik mampu memberi tentangan di permukaan. Kadang-kadang ia turut melakukan aksi akrobatik ke udara.

 

Bertarung dengan ikan berbadan tegap dan sasa, anda perlu sabar melayan kehendak dan arah renangan ikan. Berikan sedikit tekanan dan henjut pada kekuatan satu pertiga daripada kekuatan tali yang digunakan.

 

Ikan tongkol cepat letih walaupun kuat pada permulaan dan biasanya kurang dari 10 minit ia mula mengikut arah tali masuk ke gelendung kekili.

Masa itu anda tidak perlu gopoh memujuknya ke arah bot, layan dengan sabar sehingga ia benar-benar keletihan ke sisi bot.

 

 

Perambut sepanjang pangkal lengan (2-3 kaki) dengan kekuatan 30Ib hingga 50lb disyorkan. Jangan terlalu panjang perambut kerana ia menyukarkan anda membuat balingan kekawasan ikan bermain.

 

Tidak perlu dawai, tanduk, ladung maupun pemberat. Ikat mata kail bersaing 1/0, 2/0, 3/0, 4/0 hingga 5/0 samada jenis mata kail octopus (untuk umpan hidup) dan mata kail o’shounessey (umpan mati).

 

Umpan mengikut susunan bilis segar, anak tamban, selar, kembung, selayang dan tamban baru. Saiz ikan umpan itu jangan terlalu besar, paling baik 1 hingga 2 jari dewasa. Tidak kisah sama ada umpan hidup mahu pun mati dengan syarat ia segar.

 

 

Teknik Memancing Ketika Bot Bersauh

Cucukkan mata kail pada umpan anak ikan di bawah perut, atas lateral line, pangkal ekor atau mulut sekiranya menggunakan umpan hidup. Jika menggunakan umpan ikan segar, cangkukkandalam mulut, mata dan dekat insang.

 

Jika menggunakan bilis, masukkan mata kail melalui mata bilis sama ada seekor atau berangkai. Bilis juga digunakan sebagai bahan ‘rasuah’ untuk mengundang kehadiran tongkol dekat dengan lokasi bot.

 

Labuhkan umpan mengikut arus tanpa pemberat. Biarkan ia hanyut ke arah unjam atau kawasan yang dikenal pasti adanya kumpulan tongkol sedang bermain.

Untuk hasil yang lebih efektif, umpan yang dilabuhkan (hanyut) hendaklah sesekali dihenjut perlahan untuk menarik perhatian mangsa.

 

Jika mampu membuat balingan (bait casting), pastikan lontaran tidak mencederakan ikan hidup yang digunakan.

Sentiasa memeriksa keadaan umpan jika anda memancing berdekatan dengan unjam (umpan sering dikacau sotong dan anak ikan).

 

Hanyutkan umpan pada kedalaman 10meter bawah permukaan hingga ke permukaan air. Lihat kesannya samada umpan dirembat di bawah permukaan atau di pertengahan air.

 

 

 

Teknik memancing ketika bot berhanyut

Teknik ini lebih mudah dan berkesan. Ia lebih produktif di mana hasil melebihi seekor setiap kali dinaikkan. Ia dipanggil menunda atau mengolok aya istilah Pantai Timur.

Mata apollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol.

 

Aya juga boleh dipancing dengan teknik moden iaitu mengilat dan jigging. Untuk mengetahui gewang atau jig yang sesuai bolehlah bertanya secara terus kepada tekong kerana tekong lebih mengetahui dan berpengalaman berbanding pemancing.