Ikan tongsan ini tidak suka kehadiran ikan-ikan air tawar yang lain seperti ikan patin, rohu, pacu dan lain-lain lagi. Sekiranya sarang dan koloninya diganggu, ia akan lari dan akan membina koloni yang baru selepas itu.
Di setiap kawasan atau lubuk tongsan ini akan ada seekor ikan tongsan sisik halus yang bersaiz besar disitu, kadang-kadang terdapat 1-6 ekor ikan tongsan di setiap lubuk termasuk yang saiz besar mencapai saiz 20kg ke atas.
Walaupun ia telah terkena mata pancing ia seperti biasa 2 hingga 3 hari kemudian ia akan kembali tinggal di lubuk lamanya. Bagi pemancing yang sudah tahu lokasi ikan ini tinggal maka beruntunglah ia, kemungkinan besar ia akan berkali-kali menaikkan ikan besar seberat 20kg.
Namun, bancuhan umpan mestilah berbeza-beza. Ikan tongsan bersaiz besar dapat mengenal pasti umpan yang telah dimakannya dahulu selama 6 bulan lamanya, percaya atau tidak?
Pengalaman saya memburu ikan tongsan bersaiz besar banyak kali melihat ikan yang bersaiz besar ini banyak kali telah didaratkan di tempat yang sama atau di lubuk yang sama. Ikan yang telah terkena mata pancing ini akan kembali lagi menyedut umpan setelah mulut atau tubuhnya kembali sihat dan lukanya kembali pulih.
Sekiranya di dalam sesebuah kolam itu hanya terdapat seekor sahaja ikan tongsan sisik halus bersaiz 20kg (contoh sahaja), lazimnya ia akan akan dijadikan ikan jakpot atau tangkapan bonus.
Sekiranya kita pernah menaikkan ikan ini maka bancuhan umpan tongsan jakpot ini perlulah ditukar. Jika tidak, peluang ikan tongsan didaratkan oleh si Pemancing lain amat cerah. Sedangkan kita tahu di mana lubuk ikan tongsan ini jadi perlulah tukar bancuhan bau umpan kita ini.
Ikan tongsan ini seakan-akan mempunyai seekor ketua di setiap lubuknya, namun begitu ia akan mencari makan di setiap sudut kolam dan kembali semula ke sarang atau lubuknya. Begitulah perangai ikan tongsan ini di saban hari.
Ikan tongsan amat suka tinggal di kawasan air yang tenang dan sunyi jauh dari gangguan ikan-ikan. Sesiapa yang mahir, ia pasti akan dapat melihat ikan-ikan ini keluar dari sarangnya melalui olak air di kawasan itu maka di situlah sarang ikan-ikan ini boleh dikenal pasti.