Ikan tilapia merah pernah dianggap sebagai ikan yang menyakitkan hati pemancing kerana kelicikannya mengelak mata pancing.
Malah, pada sesetengah orang beranggapan ikan ini memang tak makan pancing atau tidak boleh dipancing.
Berbanding spesies tilapia yang lain, tilapia merah jarang ditemui hidup liar di lombong atau tasik-tasik kecil.
Sebaliknya ia lebih mudah ditemui di kolam atau sangkar ternakan ikan. Oleh kerana itulah teknik memancingnya tidak meluas berbanding tilapia lain.
Namun ia masih boleh dipancing dan hari ini masih ada kolam pancing yang menempatkan ikan-ikan tilapia merah sebagai ikan sasaran untuk dipancing.
Tidak dinafikan ikan tilapia merah ini boleh dianggap ikan yang licik. Untuk memperdaya ikan tilapia kita haruslah lebih licik daripadanya.
Apa yang penting untuk memancing tilapia merah, kita perlu melakukan sedikit homework. Boleh dikatakan kesemua ikan tilapia yang ditempatkan di kolam pancing berbayar ialah ikan yang diternak.
Jadi, kita perlu tahu apa jenis makanan ikan yang diberikan kepada ikan-ikan tersebut. Lazimnya, ia diberikan pelet makanan ikan.
Maka, umpan yang bakal digunakan haruslah berasaskan pelet atau dedak.
Selain umpan, teknik persembahan umpan juga penting. Tilapia merah boleh dipancing sama ada melalui teknik apung atau dasar.
Kedua-dua teknik ini perlu diaplikasi bagi mengesan kaedah yang paling praktikal. Umpan pula perlu dipersembahkan dalam keadaan semula jadi.
Atau dalam erti kata lainnya, mata kail dan tali pancing perlu dihalimunankan. Caranya, gunalah mata kail yang kecil, halus dan tajam.
Tali pancing dan perambut pula sebaiknya paling halus diameter tetapi berdaya tahan.
Tilapia merah gemar mengutis sebelum menyedut umpan. Apabila merasakan ada beban, ia akan memuntahkan kembali umpan tersebut.
Oleh kerana itu pemancing perlu peka terhadap setiap getuan dan tidak boleh membiarkan mata kail tercangkup dengan sendirinya.
Ia perlu dibantu dengan cara menyentap joran.
Teknik memancing tilapia merah ini sebenarnya ada seni yang tersendiri. Ia bukan gabungan umpan dan peralatan sahaja, tetapi juga kemahiran.
Sekiranya anda berjaya menguasai ketiga-tiga perkara ini, barulah anda layak bergelar otai tilapia.