Pancingan ikan tilapia di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Malah, ia merupakan satu perkara yang pelik pula jika seorang pemancing berpengalaman mendakwa tidak pernah memancing tilapia sepanjang hayatnya.
Meskipun berstatus ikan pendatang, populasi ikan tilapia hari ini begitu berkembang biak sehingga hampir menguasai semua sumber perairan air tawar.
Sekaligus menjadikan tilapia antara ikan yang paling banyak ditangkap termasuklah dengan penggunaan joran dan kekili.
Berikutan spesies tilapia dibawa masuk ke Malaysia sebagai ikan ternakan dan kebanyakkannya diternak di bekas lombong, tasik dan kolam, ini menjadikan lokasi-lokasi tersebut sebagai wadah utama bagi pancingan tilapia.
Pergilah ke mana-mana bekas lombong atau tasik-tasik kecil khususnya, pasti kelihatan kelibat pemancing sedang memancing tilapia.
Malah, jangan terkejut apabila melihat ada pemancing yang memancing tilapia di longkang-longkang besar dan kolam tadahan kawasan perumahan.
Selaku ikan yang tidak dikategorikan sebagai ikan sukan, bukan juga ikan bersaiz besar, sebaliknya dipancing untuk dijadikan hidangan, pancingan tilapia lebih menjurus kepada pancingan santai.
Justeru itu untuk memancing tilapia tidak memerlukan peralatan pancing yang khusus. Hanya dengan peralatan asas anda sudah boleh memancing tilapia.
Tetapi jika inginkan sedikit keseronokan, bolehlah menggunakan set peralatan ultra ringan.
Tilapia adalah ikan omnivor dan tidak cerewet memilih umpan. Cacing, anak udang atau dedak ayam merupakan antara umpan popular untuk memancingnya.
Namun tabiat makan tilapia yang gemar mengutis umpan sehingga mengosongkan mata sedikit sebanyak menghadirkan cabaran kepada pemancing.
Walaupun mata kail kecil digunakan, ia masih mampu menghabiskan umpan dengan jayanya.
Perbuatan tersebut juga menjadi `kebencian’ kepada sesetengah pemancing terutamanya pemancing kolam berbayar yang menyasarkan spesies seperti patin, sebaliknya umpan power yang disediakan habis dikerjakan ikan yang dianggap pengacau ini.
Kepandaian tilapia mencuri umpan ini secara tidak langsung membuka minda pemancing untuk memerangkapnya dengan kaedah pancingan alternatif.
Bagi pemancing yang benar-benar memancing tilapia sebagai sumber makanan, mereka akan menggunakan jaring mini yang disambungkan pada peralatan pancing.
Jaring mini yang dilengkapi dengan alat atau dawai spring bagi mendakap umpan seperti dedak ayam atau roti, akan memerangkap tilapia yang datang mengerumuni umpan.
Satu lagi teknik memancing tilapia yang agak popular suatu ketika dahulu dan masih diguna pakai sehingga kini ialah sembat.
Sama ada menggunakan mata tiga yang dilengkapi pemberat atau mata kail cakar ayam, bancuhan dedak ayam dikepalkan kili bersaiz besar sebagai umpan.
Helah caranya, apabila tali pancing bergedik menandakan ada tilapia sedang mengutis umpan, joran akan disentap dengan kuat dengan harapan mata tiga atau perambut cakar ayam tersebut akan melanggar badan tilapia sekaligus memerangkapnya.