Rahsia Mancing Ikan Tamok Besar Oleh Netizen!!

Share

 

Ada beberapa teknik yang sesuai untuk dicuba. Salah satu cara yang biasa dilakukan oleh pemancing ialah dengan menggunakan amboh atau koyan. Sememangnya penggunaan koyan lebih berkesan untuk mendapatkan tamok mega pada waktu malam.

 

Sambil tidur ayam menanti joran yang lain yang ditarik ikan, koyan yang berumpankan roti dilabuhkan bersebelahan dengan bunjut roti. Bagi yang belum mengetahui, bunjut roti ialah ramasan roti yang diletakkan di dalam bunjut.

 

Ia berperanan sebagai rasuah untuk memanggil tamok. Apabila tamok datang, ia akan mengambil roti yang dicucuk mata kail kerana tidak dapat memakan roti di dalam bunjut.

 

Adalah penting tali koyan tidak diikat pada objek pegun sebaliknya dipegang dengan jari. Ini membolehkan jari dapat mengesan sebarang getuan. Andai lewat menyentap, tamok akan membawa lari tali ke bawah tiang atau tong pelampung yang berteritip tajam. Maka berputih matalah jawabnya. Ruginya kalau yang mengena itu tamok mega.

 

Satu lagi teknik yang paling berkesan ialah memancing di rumah rakit. Caranya ialah mencari lantai papan yang berlubang. Saiz lubang sekitar 1 kaki x 1 kaki atau sekurang-kurangnya yang boleh menaikkan ikan tanpa banyak masalah. Cara ini adalah untuk mengelirukan tamok yang terlalu sensitif kepada bunyi dan cahaya lampu.

 

Tangkapan tamok efektif pada waktu malam hari dalam keadaan yang senyap dan penggunaan lampu yang terhad. Teknik yang digunakan ialah mata kail diikat terus pada tali utama tanpa penggunaan pemberat atau batu ladung dan pelampung. Umpan roti pula dilepaskan sekadar mencecah permukaan air dan kelihatan terampai-ampai seperti keadaan roti hanyut.

 

 

Harapan untuk menipu tamok mega yang berlegar di bawah permukaan air dengan kaedah ini amat tinggi. Sekiranya anda berminat untuk mencari tamok mega, carilah pada waktu malam ketika air bani dengan teknik yang saya praktikkan ini. Semoga berjaya!

 

Published by
Amang