Rahsia Mancing Bawah Jambatan!!

Share

 

Sejak dibangunkan menjadi sebuah stesen janakuasa tenaga pembakaran arang batu, nama Jimah Power Plant yang terletak di Lukut, Negeri Sembilan semakin menjadi bualan kaki pancing.

Apa tidaknya, dikatakan sejak ia dibangunkan, Jimah Power Plant telah menjadi habitat pelbagai jenis ikan yang menjadikan kawasan ini sebagai habitat dan tempat mencari makan.

 

Salah satu teknik popular yang dimainkan di kawasan ini ialah teknik drifting. Teknik drifting ialah kaedah menghanyutkan umpan (tamban hidup) dengan batu hidup bersaiz kecil.

Kegunaan batu ini adalah untuk memastikan umpan tidak berada terlalu atas dari permukaan air.

 

Ini kerana jika ia berada terlalu atas dari permukaan air, spesies pengacau seperti todak akan membahamnya terlebih dahulu.

Melainkan kalau sememangnya ingin mencari todak maka ia merupakan teknik yang sememangnya perlu dilakukan.

 

Namun tujuan untuk drifting untuk memburu spesies bernilai tinggi seperti senangin dan juga tenggiri. Dikatakan, ada pemancing yang pernah menaikkan tenggiri berskala 10 kg.

 

Di sini, bot pancing tidak boleh melabuhkan sauh kerana keadaan dasar yang kurang sesuai kerana ia dikelilingi karang dan paip-paip yang agak bahaya untuk melabuhkan sauh.

 

Makanya, bahagian depan dan belakang bot perlu diikat pada tiang jeti untuk memastikan ianya tidak tersasar dari lubuk.

Kerja-kerja menambat bot pada tiang jeti ini sangat berisiko. Kerjasama antara pemancing dan tekong amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

Untuk memancing di bawah jeti ini set heavy dan medium heavy adalah digalakkan untuk kaki pancing guna.

Set ringan amat tidak digalakkan kerana di sini pemancing perlu segera menarik ikan naik ke atas.

Dengan set ringan dikhuatiri ikan dengan mudah boleh membenamkan diri masuk ke karang-karang yang banyak terdapat di sini. Jadi potensi untuk berputih mata amatlah tinggi.

 

Set pancing yang disyorkan untuk pancing dasar:

 

  • Joran : Medium heavy @ heavy action
  • Kekili: Saiz 4000-8000
  • Tali utama: Tali sulam 30-50 lb
  • Perambut: 40-80 lb
  • Mata kail: Saiz 3/0, 4/0, 5/0
  • Batu ladung: Saiz 7-12

 

 

Published by
Amang