Rahsia Kejayaan Trip Casting

Share

 

Tiada seorang pun pemancing yang inginkan kegagalan atau kumpau ketika memancing. Begitu jugalah bagi kaki mengilat atau casting. Sekiranya korang ingin berjaya memperoleh hasil mengilat di muara atau sungai hingga ke hutan pergunungan, sila ambil berat panduan yang kami sediakan ini.

 

Ketahui Informasi Padang Pancing

 

Cari dulu maklumat selengkapnya tentang padang pancing yang bakal anda kunjungi. Terutama bentuk geografi, lubuk-lubuk yang berpotensi dan jenis gewang yang sesuai untuk menjerat spesies yang terdapat di padang pancing berkenaan.

 

 

Semak Status Bot

 

Sekiranya akan casting dengan menggunakan sampan atau bot fiber, pastikan dulu saiz dan kondisinya dalam keadaan baik agar terhindar dari kejadian yang tak diinginkan.

 

 

Elak Memancing Seorang Diri

 

Soal lubuk merupakan rahsia besar oleh mana-mana caster. Walaupun takut lubuk diketahui orang lain sekali pun, berusahalah dari memancing secara berseorangan. Paling tidak pun ajaklah seseorang walaupun dia langsung tidak minat memancing.

 

 

Ketahui Maklumat cuaca

 

Perubahan cuaca kadang kala tidak dapat diduga. Apabila kondisi cuaca tiba-tiba bertukar mendung dan hujan turun dengan lebat disertai kilat dan petir, segeralah cari tempat berlindung yang selamat. Sebaiknya juga dapatkan maklumat cuaca sebelum ke lokasi.

 

 

Persiapan peralatan

 

Alatan pancing dan gewang merupakan senjata utama dalam teknik casting. Oleh yang demikian persiapan alatan perlu diambil berat sebelum pergi memancing. Elakkan dari terbawa alatan yang tidak menepati untuk bertarung dengan sasaran dan tertinggal gewang yang sepatutnnya dibawa bersama.

 

 

Ketepatan dan keselamatan

 

Ketepatan balingan gewang ke sasaran merupakan perkara paling asas untuk kejayaan casting. Dalam pada masa yang pastikan juga ketika membuat lontaran, gewang tersebut tepat ke sasaran dan bukannya tepat mengenai badan rakan yang berhampiran.

 

 

Jaket Keselamatan

 

Walaupun sekadar meranduk sungai, tiada salahnya jika anda ingin memakai life jacket atau jaket keselamatan. Manalah tahu anda terjatuh ke dalam air atau dihanyutkan arus. Setidak-tidaknya ia membantu ketika kecemasan. Sebaiknya gunalah jaket keselamatan dari jenis foam yang selesa.

 

Keselamatan Kenderaan

 

Pastikan kenderaan ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan selamat dari sebarang kejadian yang tidak diingini. Kegagalan berbuat sedemikian sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan atau hilang fokus sepanjang tempoh memancing. Jangan tidak percaya, perkara ini juga menjadi salah faktor berlakunya kumpau.

 

 

Pakaian

 

Gunakan pakaian yang bukan sahaja selesa ketika memancing bahkan bagus untuk perlindungan diri khususnya terhadap terik matahari. Sekiranya anda memiliki pakaian yang dianggap ‘tuah’ pada korang, maka pakailah. Setidak-tidaknya ia akan mendorong keyakinan diri.

Published by
Amang