Rahsia Kejayaan Strike Tanpa Henti

Share

 

Memang sakit jiwa dan raga kalau tengok asyik orang sebelah je yang naik ikan. Orang sebelah je yang gasak, tapi kita membangau macam bangau panjang leher. Kalau dapat ikan pun ada je masalah yang menyebabkan ikan gagal didaratkan. Bagi mengatasi masalah ini, ada baiknya kita buat homework sikit sebelum membuat lontaran pertama.

 

Buat pemeriksaan pada tali utama sama ada ia masih utuh atau sudah reput. Jika perlu buang beberapa kaki tali hadapan sebagai langkah keselamatan. Jika nak lebih selamat, buang tali lama dan beli tali baru.

 

 

Jika menggunakan tali sulam dan perlu disambung dengan shock leader, pastikan ikatan sambungan itu kukuh dan kuat. Pastikan tiada sebarang kecacatan atau kelemahan pada ikatan tersebut.

 

Jika menggunakan mata kail yang pernah digunakan, uji tahap ketajamannya dulu. Kalau dah kurang tajam, elok tukar yang baru. Buang sikap masih boleh guna kerana kita tidak tahu sebesar mana tangkapan yang bakal berlaku.

 

 

Saiz dan jenis mata kail jugak perlu diperhatikan. Sebaiknya guna saiz mata kail yang sepadan dan elakkan guna mata kail kurang berkualiti. Walaupun ada pemancing berkata dia guna mata kail murah pun boleh dapat ikan, itu mungkin faktor nasib saja.

 

Set pancing yang digunakan juga perlu sepadan dengan ikan target. Banyak kejadian ikan gagal didaratkan kerana joran atau kekili gagal menakluk ikan. Amalkan jangan memandang rendah pada ikan sasaran.

 

 

Umpan yang akan digunakan perlu dipastikan keberkesanannya. Sama sebagaimana pemancing lain gunakan. Melainkan anda cukup yakin dengan umpan pilihan anda tersebut. Jika umpan sudah bagus, pastikan teknik yang digunakan juga adalah sesuai. Sama ada teknik apung, gantung atau dasar.

 

 

Teknik strike atau menyentap ikan juga penting begitu juga dengan cara melayan ikan harus betul agar ikan berjaya didaratkan. Jangan strike ikan macam pondan!

Published by
Amang