Dengan jarak lubuk yang terletak begitu jauh dari jeti iaitu jarak sekitar 80-90 batu nautika yang memakan masa 16-20 jam menjadikan waktu memancing kami agak singkat iaitu 3 hari sahaja. Sepanjang perjalanan ke lubuk, kami sempat melintasi dan menjamu mata melihat beberapa buah pelantar minyak di sekitar Terengganu.
Hari pertama hasil yang kami perolehi agak kurang kerana lubuk yang kami singgahi menjadi sarang bot pukat tunda Vietnam lalu-lalang. Hanya 4 ekor ikan merah dan beberapa spesies lain seperti kerapu, aruan tasik dan ibu kerisi yang berjaya diperolehi dengan mengaplikasikan teknik memancing secara berhanyut di siang hari.
Di sebelah malamnya tekong hanya melabuhkan bot di kawasan karang untuk memburu spesis ikan karang. Hasil hari pertama hanya setengah tong sahaja ikan pelbagai jenis kami perolehi.
Hari pertama telah berlalu dan kami tidak berputus asa mencuba nasib hari kedua ini. Tanpa diduga, kami diserang segerombolan ikan cermin yang begitu banyak sekali. Hampir seharian kami tidak putus-putus menerima asakan sang cermin. Mujurlah ke semua ahli komplot menggunakan kekili elektrik. Kalau manual, mau ada yang lenguh tangan melayan. Boleh dikatakan lubuk kali ini sebagai “lubuk taruk makan taruk makan..”
Jatuh sahaja umpan di dasar pasti ikan cermin yang makan. Pakai 2 mata, dua-dua mata akan lekat ikan cermin ini. Dari pagi sampai ke petang kami melayan ikan cermin sampai 1 tong 200L penuh dan 1 tong 400L hampir penuh dengan ikan ini sahaja.
Ads
Tekong beritahu kami, bulan lepas beliau dapat menaikkan hasil ikan cermin sebanyak ini dengan hasil jualan cecah RM17,000 hanya untuk 2 hari saja. Memang lumayan! Tetapi harus diingat rezeki di lautan sukar diduga. Bukannya setiap masa hasil akan dapat seperti ini. Untungnya kami mendapat ‘jackport’ ikan cermin pada hari itu.
Setelah puas melayan ikan cermin, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertukar ke lubuk ikan merah yang sepatutnya menjadi target kami. Untuk ke lubuk baru ini perjalanan memakan masa lebih kurang 2 jam dan oleh yang demikian kebanyakan daripada kami mengambil kesempatan untuk merehatkan badan bagi mengumpul tenaga keesokan harinya.
Ads
Hari ketiga pula, barulah hasil bot kami meriah dengan ikan-ikan gred A yang menjadi target trip kali ini seperti merah, kerapu, kerapu bara dan ibu kerisi. Setiap lubuk yang kami singgah di hari ketiga ini mesti ada penghuninya. Tak menang tangan kami menaikkan spesis target yang semamangnya menjadi idaman. Azli menjadi ‘champion’ trip kali ini apabila menaikkan ikan merah terberat trip kali ini iaitu seberat 8kg.
Rata-rata ahli komplot tersenyum puas apabila berhasil menaikkan spesis idaman. Hasil hari ketiga boleh dikatakan tong 200L penuh dengan hasil-hasil ikan gred A.
Menjelang petang, kami meminta tekong untuk singgah di pelantar terdekat untuk melayan ikan cupak. Walaubagaimanapun, di pelantar ini kami hanya dapat singgah sekejap sahaja memandangkan bekalan ais telah hampir habis. Makanya, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti untuk mengelakkan ikan busuk.
Ads
Sewaktu bertolak balik kami terpaksa menempuh ribut barat laut yang agak kuat dengan ombak setinggi 3-4 meter. Berderau jugak kami melihat keadaan laut yang bergelora pada waktu itu. Hanya disebabkan pengalaman tekong dan bot yang besar membuatkan kami rasa agak selamat.
Masing-masing hanya berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa agar dijauhi sebarang malapetaka. Alhamdulillah, kami selamat tiba di jeti keesokan harinya. Kesimpulan dari trip ini boleh dikatakan hasilnya agak baik dan hampir pecah tong.
Servis oleh tekong juga boleh dikatakan memuaskan kami. Awakawaknya yang rajin dan tekong yang berpengalaman dan ada banyak lubuk simpanan menjadikan trip kali ini sukses dengan jayanya. Keadaan bot dengan keluasan 16 kaki lebar dan panjang 58 kaki juga amat bersih dan selesa untuk kami.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh dikatakan setiap 26 Disember pada setiap tahun saya akan berada di laut. Banyak perancangan trip berlaku tanpa menyedari tarikh tersebut dan saya tidak begitu taksub dengan perkaitan masa yang telah lepas.
Sudah beberapa tahun selepas tragedi bersejarah tsunami melanda Acheh, seolah-olah memanggil saya untuk sentiasa berada di laut pada tarikh tersebut.
Apa-apa pun yang pasti ia kebetulan dan bukanlah kemestian untuk melarikan diri dari tanah besar setiap 26 Disember.
Ketika kejadian tsunami 2006 dulu, saya memancing di laut sebelah Selat Melaka.
26 Disember tahun lalu, seawal sinar pagi masih samar di pangkalan, saya bersama rakan-rakan sudah berlepas keluar dari jeti. Sampan fiber sepanjang 30 kaki dengan enjin 4 lejang kembar memecut dalam keadaan laut beralun. Tekong Abang Lan dengan selamba memecut sampan untuk tiba ke destinasi dalam tempoh sejam.
Kali ini kami berenam mengadakan trip jigging seharian di kawasan perairan Pulau Jarak. Tekong pilihan kami dipanggil Abang Lan berpangkalan di jeti Kampung Manjung, Setiawan, Perak. Beliau sebelum ini merupakan tekong bot memancing dasar dan kini beralih angin menumpukan sepenuhnya teknik jigging setelah terasa bahang apabila berjaya mencubanya buat kali pertama. Sudah masuk 4 tahun beliau membawa kaki jigging menduga kawasan perairan Pulau Sembilan hingga ke Pulau Jarak.
PULAU REBUTAN
Pulau Jarak sememangnya menjadi rebutan lubuk di kalangan tekong memancing dengan bot-bot pukat tunda. Pantang terdengar apabila satu lubuk dijumpai oleh tekong memancing, pasti bot tunda akan mula datang mencari dan menggondolkan karang sedikit demi sedikit. Kuasa bot tunda dengan pukat berantai boleh ‘berjalan’ di atas permukaan karang sambil menghakis sedikit demi sedikit sehingga ikan sekitar turut sama disapu dek pukat.
Kawasan ikan baru pastinya tidak berminat lagi untuk mendiami kawasan tersebut memandangkan alga dan bunga karang sudah tidak berseri lagi. Tiada alga, tiada plankton, tiada anak ikan dan akhir tiada ikan pemangsa. Banyak tekong memancing terpaksa gulung tikar kerana pemancing sudah tidak menunjukkan minat untuk bertandang.
Hal ini bakal berterusan kerana permintaan tinggi terhadap sumber protein ini. Malah undang-undang kawal selia kegiatan pukat secara tidak telus ini hanya sekadar sebuah buku yang tidak menjadi ikutan pengusaha bot yang sudah melabur jutaan ringgit untuk membina sebuah bot pukat yang berkuasa tinggi.
TEBING, PUNCAK DAN LEMBAH KARANG
Kami bertandang ke spot yang masih ada lagi tompokan karang tinggi yang berpotensi dan dihuni banyak spesies ikan di dasarnya. Kedalaman lopak ialah 280 kaki dan menaik sehingga 180 kaki. Sesetengah kawasan karangnya mempunyai jerumun mencanak, menjadi tempat ikan jenahak dan kerapu mengintai mangsa dari celah karang. Ia menjadi kawasan sesuai untuk teknik jigging.
Sebaik sahaja penanda pelampung diturunkan, kami dapati kawasan berdekatan dibanjiri burung mengikuti kawanan ikan tongkol. Menurut tekong, elok berhanyut sambil menunggu percikan air sampai ke arah kami. Kalau dikejar atau dihampiri ia pasti hilang dengan cepat. Perkara yang biasa dialami apabila berhadapan dengan fenomena sebegini.
Kami mempersiapkan peralatan sambil menunggu ‘boiling’ tersebut rapat ke arah sampan. Dalam keriuhan burung camar, terdapat juga kocakan air cukup besar yang tidak mampu dijanakan oleh ikan tongkol. Apabila ia semakin rapat, barulah jelas kelihatan badan silinder memanjang dengan gigi tajam.
Sasaran utama jigging ialah jenahak dan kerapu. Joran jig yang sudah sedia mula diturunkan termasuk tekong sekali. Dengan 6 ketul jig yang menggeleng kiri dan kanan menuruni air berkedalaman 250 kaki. Ia mula dihenjut dengan pelbagai rentak mengikut kesesuaian si pemancing itu sendiri. Awalnya kami menumpukan jig pada kawasan permukaan dasar mencari sasaran utama terlebih dahulu sebagai lesen aktiviti pagi.
Anehnya tiada sambutan tidak seperti kebiasaannya menurut tekong Abang Lan. Kemudian baru kami perasan kemungkinan kumpulan yu yang berada di lubuk sekitar menakutkan ikan sasaran untuk menghentam jig yang dihulurkan. “Kita layan yu dulu”, Nizam mencelah setelah banyak kelibat yu semakin jelas dan tidak ada rasa takut dengan sampan kami.
SEDEKAH JIG LAGI
Kalau jigging spesies bergigi tajam, hilang jig dan putus tali utama adalah perkara biasa. Yang tak sanggup ialah jig hilang ketika diturunkan ke air, sedar-sedar tali dah kendur dan tak sampai-sampai ke dasar. Jumlah keseluruhan jig terkubur dalam trip ini lebih dari 30 ketul, malah jig-jig yang lama sukar untuk diperolehi di pasaran juga turut sama berkubur.
Walaupun ada di kalangan kami menggandakan kekuatan tali kevlar sehingga 180lb, namun tali utama pula yang menjadi sasaran yu. Tiada cara untuk menghalau yu dari kawasan tersebut kecuali layan je dengan jig. Amran menjadi pemancing pertama berjaya menangani kerenah yu setelah beberapa ketul jig dibaham dengan mudah sebelumnya.
Jig jenis madai aka sotong tengkorak nampaknya berkesan mengatasi masalah perambut putus dek penangan gigi yu. Ketika Amran bertarung dengan yu, seorang daripada kami tidak sempat mengarau tali pancing. Nahas apabila yu timbul di permukaan ia biasanya membuat satu pusingan mengelilingi sampan dan ketika itu mana-mana tali yang berada pada laluannya pasti menjadi mangsa.
Hilang tali sulam 40lb sepanjang 250 kaki sekelip mata. Dalam hal ini masing-masing ada ‘back-up’ sama ada guna ‘spare spool’ atau mesin kedua menjadi pertaruhan. Kami seolah-olah tidak serik dengan permulaan dengan seketul dua jig beliau ketika disentap ikan yang rata-ratanya yu sirip putih. Kami memperlahankan rentak apabila melihat keputusan banyak berpihak kepada sang ikan. Letih juga asyik dok mengikat FG knot dalam keadaan laut yang tak tenang.
TUKAR TARGET
Sebelah petang kelibat burung camar dan kumpulan tongkol sudah tidak kelihatan. Abg lan kemudiannya membawa kami ke arah spot kegemaran beliau. Sampan akan berhanyut dari kedalaman 270 kaki hingga puncak karang pada kedalaman 170 kaki dan kemudiannya turun semula pada kedalaman purata 250 kaki.
Tekong akan memantau pergerakan dan naik semula untuk membuat jigging ulang pada titik permulaan bersebelahan. Apabila yu sudah tidak kelihatan, baru kami mendapat beberapa sentapan dari dasar. Tekong Abang Lan yang rajin melakukan jigging terus sebaik sahaja jig mencecah dasar, mendapat strike permulaan petang di pertengahan air.
Jig Gomoku Storm seberat 100 gram menjadi pertaruhan. Saiz yang sesuai pada kelajuan arus ketika itu dengan tali sulam 30lb di padankan dengan perambut 40lb. Kekili Shimano Stella 6000PG dipadankan dengan joran PE 1-3 milik beliau melentur dengan tahap maksima. Beliau yang biasa jigging di kawasan ini dari awal-awal lagi dapat meneka spesies yang menerkam jig yang sebelum ini tak mengena beberapa kali sambaran.
GT pertama awal petang membakar semangat kami untuk kembali beraksi. Nizam akhirnya dapat sambaran setelah berulang kali menghenjut jig di kawasan dasar. Namun kekuatan ikan tak terdaya untuk beliau menampung larian berterusan lalu terkubur satu lagi jig miliknya.
Sedang Abang Lan mendapat sambaran kedua, Amran turut sama menerima strike. Satu dari dasar dan satu di pertengahan air. Seekor lagi GT dan kerapu meniupkan lagi deruan angin petang. Bukan itu sahaja banyak juga sambar kami terlepas dan putus kerana masing-masing hanya menggunakan tali kekuatan 30 dan 40 lb sahaja.
Di kalangan yang gemar melakukan jig pada kawasan dasar terpaksa membayar harga lebih kerana kes tersangkut pada karang adalah tinggi. Ini kerana apabila tiba di bahagian cetek tetapi jig masih lagi dihenjut di kawasan cerun karang, banyak berakhir dengan titik noktah. Ikan lebih pantas mencari perlindungan walaupun ditarik berulang kali.
Sambaran pada joran berkekuatan PE1 hingga PE3 lebih cepat menawan mangsa kerana aksi hujung joran yang lembut dapat mengolah tarian jig dengan lebih menggiurkan. Hujan renyai serta tiupan angin bertambah laju tidak dihiraukan tekong kerana waktu tersebut ikan kian galak. Kami terus berjigging sehingga lewat petang dengan 2 ‘double strike’ jenahak menutup tirai bagi mengejar wajah siang sebelum tiba di gugusan Pulau Sembilan.
Saya sering perhatikan mata kail dan apollo yang tidak digunakan selalunya disangkut di merata-rata tempat sama ada pagar kelong, tiang, dinding mahupun tempat duduk di kelong. Perbuatan kurang bertanggungjawab ini mampu mengundang kecederaan terutamanya jika ada kanak-kanak di atas kelong.
Sampah sarap pula dibiar bertaburan yang kemudiannya akan jatuh ke laut di tiup angin. Sampah ini akan hanyut ke pesisir pantai atau pintu muara dan mengotori pemandangan di sana. Walaupun pihak kelong ada menyediakan plastik sampah namun tidak ramai pemancing yang mahu menggunakannya.
Perairan Lukut sebagai contoh merupakan kawasan laluan dan cari makan bagi penyu dari spesies karah. Sekiranya bernasib baik, kita akan dapat melihat sang penyu berenang di sekitar kelong. Jadi plastik sampah yang dihanyutkan tadi mungkin boleh mengundang bahaya kepada spesies ini.
Plastik yang hanyut akan kelihatan seperti obor-obor, antara makanan utama penyu dan sekiranya termakan, sang penyu akan mati tercekik. Jadi sedar atau tidak kita menjadi penyumbang kepada pembunuhan penyu.
Sebagaimana yang diduga, Apex Kecik cukup mudah berkompromi dengan kehendak pelanggannya. Malah itulah keistimewaan Apex Kecik sebenarnya.
Berbanding tekong-tekong (tekong jigging) lainnya, Apex Kecik tidak terlalu taksub kepada sesatu konsep memancing.
Apa yang penting baginya adalah kepuasan pelanggan. Yang penting pelanggan dapat ikan!
Dalam perjalanan ke Vikram (lubuk kapal karam), Apek Kecik singgah dahulu untuk mencuba nasib di salah satu lubuknya yang berpotensi untuk memancing tenggiri.
Berikutan arus lemah dan waktu pula adalah tempoh air banir, saya menggunakan set spinning dan jig perlahan 80 gm sahaja.
Setelah agak lama mengunjun jig di dasar dan mengarau naik jig dengan agak laju, hanya tinggal beberapa meter untuk tiba ke permukaan, jig leper seperti badan sotong katak saya itu disambar sesuatu dan dibawa pergi dengan agak deras.
Berdasarkan corak tekanan dan pecutan, saya beranggapan ia adalah penangan tenggiri bersaiz kecil. Apabila mangsa memperlihatkan identitinya di permukaan air, ternyata betul ia adalah tenggiri.
Namun bukanlah tenggiri batang sebaliknya spesies buruan utama trip ini iaitu tenggiri bunga.
Memandangkan misi utama sudah terlaksana pada tangkapan pertama lagi dan persekitaran lubuk berkenaan kelihatan berpotensi untuk diteruskan aktiviti maka spesies sasaran beralih kepada tenggiri batang pula.
Dalam misi memburu tenggiri ini Shahrul Nizam muncul sebagai pembuka tirai apabila jig Papang Diamond Skyfall 200 gm Silver yang digunakan oleh Shahrul Nizam di permukaan dasar menjaya mendaratkan seekor tenggiri batang saiz sederhana.
Setelah berpindah lubuk dan beberapa kali kejadian kevlar dan perambut putus dikerjakan predator bergigi tajam ini, giliran Hafizuliz pula berjaya mendaratkan seekor lagi tenggiri batang dengan selamat.
Menjelang tengah hari, Apex Kecik membuktikan gelarannya sebagai tekong buntat terbukti benar apabila mendaratkan tenggiri batang anggaran berat empat kilogram.
Dan sebelum kami menamatkan sesi memburu tenggiri dan mencari spesies bersisik pula, Parman tidak mahu ketinggalan mencetak nama apabila berjaya juga mendaratkan seekor tenggiri batang.
Sekali gus menjadi pelengkap sesi setengah hari memburu tenggiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...