Pujuk Puyu Liar Ladang Sawit

Share

 

Sudah agak lama juga saya tidak menyertai aktiviti memancing bersama geng otai haruan yang saya gelarkan Geng Temoh.

Mereka bukanlah orang-orang Temoh, sebaliknya geng pemancing Lembah Kelang tetapi kami bertemu dan memancing bersama di Temoh.

Kerap kali juga kami memancing bersama di Temoh dan memancing di kolam ternakan bagi mengeluarkan haruan dan puyu.

 

Setelah lebih setahun setengah yang tidak memancing bersama, saya berkesempatan juga memancing bersama mereka.

Spesies sasaran masih lagi sama iaitu haruan dan puyu tetapi lokasi berbeza. Kali ini kami memancing di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya, Selangor.

Sementara padang pancing pula ialah sebuah lombong atau mungkin kolam saliran ladang yang sudah terbiar.

 

Apa yang menarik minat saya untuk sertai trip mereka bukanlah untuk memancing haruan, sebaliknya puyu-puyu liar yang bukan saja banyak tetapi juga mudah dipancing.

Menurut kata Anhar, pada trip sebelum ini mereka ada melihat seorang pak cik memancing di situ dengan begitu mudah memunggah puyu hanya sekadar menggunakan joran teleskopik.

 

Abang Lan menabur dedak sambil diperhatikan oleh `Coach’ haruan, Abang Kamal

 

Sesampainya di lokasi, Abang Lan segera menabur dedak ayam di spot untuk memancing puyu.

Ia bertujuan memanggil puyu datang berkumpul di situ. Saya dan Anhar segera menyiapkan kelengkapan untuk memancing puyu.

Sementara ahli trip lain yang memburu haruan, terus saja ke mengelilingi lombong yang boleh tahan juga luasnya.

 

Melihat pada keadaan lombong yang dipenuhi tumbuhan akuatik seperti teratai dan rumput panjang itu menyedarkan saya kesukaran yang bakal dihadapi.

Tambah pula dengan cuaca berangin. Bukan satu perkara yang mudah untuk memancing dengan santai. Keadaannya jauh berbeza dengan kolam ternak di Temoh.

 

Setelah lebih satu jam kami berdua memancing puyu dengan pelbagai umpan dan tidak membuahkan sebarang hasil , akhirnya Abang Lan kita sama memancing dengan kami.

Saya sendiri sudah hampir berputus asa kerana tiupan angin menyebabkan tali pancing dan mata kail tersangkut pada pokok teratai.

 

Anhar berusaha keras mencari strike

 

Dengan menggunakan teknik yang sesuai, tidak sampai setengah jam kemudian Abang Lan mempamerkan hasil tangkapannya kepada kami berdua.

Tidak sangka pula Abang Lan ada menyediakan peralatan lengkap untuk memancing puyu.

Nak meminjam peralatan seperti pelampung kecil dan batu kepit yang dibawanya itu terasa segan pula.

 

Abang Lan memperlihatkan skilnya

 

Setelah beberapa ekor puyu berjaya dinaikkan oleh Abang Lan termasuklah seekor dengan saiz monster (sepanjang tapak tangan), barulah kami meniru teknik yang digunakan oleh Abang Lan.

Namun waktu sudah sedikit terlewat. Hari dah nak senja barulah kami nak bertukar teknik. Walaupun agak terlewat namun kami berjaya jugalah memperoleh lesen.

Walaupun cuma seekor dan bersaiz kecil, ia begitu bermakna sekali.

 

saiz puyu yang membuatkan kami ingin datang lagi

 

Published by
Amang