Puaka Hutan Simpan Bergayutan Atas Lubuk!!

Share

 

Suasananya sejuk dan nyaman. Pokok hutan sebesar dua pemeluk seolah-olah memayungi kawasan ini agar redup. Sesekali saya dapat melihat kocakan ikan di dalam lubuk seolah-olah menyambut mesra kedatangan kami ke situ. Tanpa membuang masa, saya dan Tapa terus mendirikan khemah ringkas berbentuk A. Baha dan Nawi pula sudah bersiap dengan joran dan umpan masing-masing. Misi kami untuk mencari lauk yang bakal dijadikan hidangan makan tengah hari.

 

Maklumlah perut sudah berkeroncong untuk diisi. Dengan berbekalkan umpan yang dibuat daripada isi kelapa sawit dan beberapa ramuan rahsia, Baha terus melabuhkan jorannya di tengah lubuk yang airnya sangat tenang dengan riak kecil di atas permukaannya. Tidak sampai dua minit, seekor ikan baung sebesar lengan budak dua tahun melontar lemah di hujung kail.

 

Nawi pula berjaya memperolehi ikan tengas seberat hampir setengah kilogram dan dua ekor ikan baung. Saya terus membakar ikan-ikan itu setelah dibersihkan isi perutnya manakala Tapa pula membuat bahan cicah yang berupa kicap yang dicampur dengan hirisan bawang besar dan cili api.

 

Setelah menikmati makan tengah hari, kami berempat berlumba-lumba melabuhkan joran. Menjelang jam 6 petang, ikan seperti beransur kurang dan saya mendapat ikan sebarau seberat setengah kilogram sebagai mangsa terakhir. Sedang asyik menaikkan ikan, Tapa memberi isyarat dengan tangannya menunjuk ke satu arah.

 

 

Jelas pada pandangan saya seperti satu barisan panjang pelbagai jenis bunga-bungaan seperti mawar merah, kenanga, cempaka, melur dan beberapa jenis lagi hanyut dengan tenang di hadapan kami. Terdapat juga limau purut yang dipotong dua.

 

Haruman limau segar jelas menusuk hidung. Sebaik sahaja kami terlihat bunga-bungaan ini (seperti ada orang yang mandi bunga di hulu sungai) saya dan kawan-kawan melompat naik ke darat. Malam itu, perasaan kami sedikit berdebar.

 

Kami berempat seperti terkelu. Berlaku lagi satu peristiwa yang agak menyeramkan pada malam itu. Pada jam 11 malam, saya terdengar sekumpulan anak kecil sedang riuh bermain di tepi khemah yang saya diami bersama Tapa. Saya menyuluh keluar, namun tiada satu apa pun yang kelihatan.

 

Entah mengapa tergerak hati saya untuk menyuluh ke atas pokok dan ketika itu terasa jantung mahu gugur apabila melihat beberapa kepala tergantung tanpa badan dan kaki, mata merah merenung saya dalam keadaan marah. Walaupun merasa gementar dan takut, saya tidak pula memberitahu kawan-kawan tentang perkara itu saya hanya mendiamkan diri dan tidur sehingga pagi.

 

Keesokan harinya, saya mengajak kawan-kawan pulang kerana tidak sedap hati dengan situasi yang dialami. Nasya meminta rancangan pulang ditangguhkan ke tengah hari supaya kami dapat memancing lagi. Namun, sebaik sahaja kami melihat seekor biawak sebesar anak buaya keluar daripada belukar berhampiran merangkak perlahan, menuju ke gigi air hasrat Nasya itu kami tolak mentah-mentah.

 

Kami mengemas segala peralatan khemah dan joran lalu bergerak keluar meninggalkan kawasan itu pada jam 8.30 pagi. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Tok Batin orang asli yang dikenali dengan nama Tok Rawi. Kami terus menceritakan kejadian aneh yang kami alami kepada Tok Rawi.

 

Orang tua itu hanya tersenyum dan berkata kami bernasib baik kerana tidak diganggu oleh puaka hutan yang memang biasa mengganggu pemancing yang baru berkunjung ke situ. Tok Rawi juga telah menunjukkan kami satu lokasi terbaik untuk memancing ikan. Di sini kami telah berjaya memperolehi lapan ekor sebarau yang sederhana saiznya, baung, lampam, tengas dan juga temperas.

 

Walaupun telah menempuh pengalaman aneh dan misteri namun saya dan kawan-kawan tidak merasa serik untuk berkunjung ke sini lagi. Saya percaya walau di bumi mana kita berada kita tetap berkongsi dunia dengan makhluk Allah yang lain.

 

Published by
Amang