Ada udang galah ke kat Tasik Chenderoh? Persoalan itulah yang cuba dirungkaikan oleh Tourism Malaysia Perak apabila membawa sekumpulan media menjejaki spesies sepit biru di tasik berkenaan menerusi program XPDC Sepit Biru.
Program selama 3 hari 2 malam berkenaan memfokuskan kepada pencarian udang galah selain juga acara teknik pancingan lain.
Menurut pengarah, tujuan program berkenaan diadakan adalah untuk mempelbagaikan lagi lokasi angling tourism di seluruh negeri Perak sebagai tarikan kunjungan lebih ramai lagi kaki pancing dan juga para pelancong untuk datang ke tempat tersebut.
“Seperti mana kita ketahui, Tasik Chenderoh merupakan tasik yang cukup menarik untuk dikunjungi, ia juga bersebelahan dengan Tasik Raban dan juga kawasan bersejarah tamadun manusia awal, iaitu Lenggong.
“Untuk itu, kita cuba tambahkan apa lagi yang ada di kawasan ini dan saya mendapat tahu, di tasik ini, boleh memancing udang galah,” katanya.
Tambahnya lagi, daerah Teluk Intan memang sudah sinonim dengan udang galahnya dan semua kaki pancing sudah tahu.
Jadi dengan adanya potensi memancing udang galah di sini, Tourism Malaysia Perak melihat, ia destinasi baru angling tourism yang wajar dihebahkan lagi kepada kaki pancing dan juga orang ramai.
Petang hari pertama, para media dibawa oleh pemilik Tanjung Harapan Chalet, Cikgu Mohamed Zaki ke lubuk udang galah yang sering beliau kunjungi. Tanjung Harapan Chalet merupakan tempat penginapan para media.
Sayangnya, kunjungan kami ke lubuk yang beliau maksudkan gagal memperoleh sebarang tangkapan.
Beberapa kali menukar posisi bot dan lubuk, akhirnya jawapan yang dicari bertemu juga apabila team media berjaya memperoleh lesen jenggo pertama Tasik Chenderoh berumpankan hati ayam dan cacing tanah tidak jauh dari Empangan Jana kuasa Elektrik Tasik Chenderoh.
Hingga ke lewat senja, hanya tangkapan tersebut menjadi sepit biru tunggal pada hari pertama. Selebihnya hanya ikan baung menjadi penghibur.
Bagi kami kebanyakan media, tidak sah sekiranya berkunjung ke tempat sebegini, set casting tidak dibawa. Lagipun kami mendapat green light daripada tuan pengarah yang amat sporting untuk kami pergi casting. Apatah lagi, Tasik Chenderoh ini sendiri menyerlahkan potensi sebagai spot peacock bass (PB).
Keesokannya harinya, dua buah bot awal-awal lagi telah keluar, tujuannya casting PB. Cabaran memancing udang galah hari kedua diteruskan oleh staf dari Tourism Malaysia Perak yang nyata belum puas hati kerana belum ada tangkapan.
Walaupun berhadapan dengan cuaca yang agak terik, agenda dua buah bot mencari PB Tasik Chenderoh berjaya mencapai matlamat.
Beberapa ekor PB bersaiz kepala ‘jendol’ telah berjaya diperolehi. Sedang kami pulang pada lewat petang, geng Tourism Malaysia Perak akhirnya berjaya melunaskan hajat apabila telah berjaya memperoleh tangkapan udang galah lagi.
Disebabkan itu juga, keesokan harinya, sekali lagi geng Tourism Malaysia Perak berserta sebahagian media sekali lagi mencuba mencari jenggo sedang saya meneruskan agenda casting PB.
Lewat tengah hari program XPDC sepit biru Tasik Chenderoh berakhir. Hanya seekor yang berjaya diperolehi pada hari terakhir.
Walaupun tangkapan udang galah Tasik Chenderoh tidak semewah seperti di daerah bahagian hilir Perak, ternyata Tasik Chenderoh tetap ada potensinya.
Yang menarik, jika berhasrat untuk memancing di sini, ada nilai tambah iaitu boleh memancing udang galah selain casting PB, toman selain sang sebarau.
Setinggi penghargaan buat Tourism Malaysia Perak yang begitu bersemangat mempelbagaikan lagi produk pelancongan khususnya menaikkan lokasi yang berpotensi dari sudut angling tourism di negeri Perak.