Profil Ringkas & Cara Mudah Memancing Ikan Pecah Periuk

Pecah periuk yang terdapat di seluruh perairan Asia Pasifik dan laut Tropika ini gemar menjadikan ‘sampah sarap’ atau sebarang objek/ pokok yang hanyut dibawa arus sebagai tempat perlindungan daripada ikan pemangsa yang lebih besar.

 

Sejenis ikan yang agak unik kerana gemar berlindung di bawah timbunan tunggul kayu, reba pokok, sampah serta objek yang terapung dan hanyut.

Antara objek yang paling digemari ialah reba nipah kerana reba ini terapung lama dan dahan-dahan yang terendam memberi ruang untuk berlindung dari musuh. Ia juga dikesan mendiami kawasan tiang konkrit atau rumah api.

 

Apa yang menarik sekali, bilangan dan saiz ikan tersebut selalunya bergantung mengikut berapa besar saiz apungan yang telah hanyut.

Kebiasaannya semakin besar apungan yang ditemui bermakna semakin besar dan banyak ikan pecah periuk yang menghuni apungan tersebut.

 

 

Ikan yang mampu membesar sepanjang 90 cm atau sehingga seberat 18 kg ini mempunyai bentuk rupa seakan-akan ikan tilapia hitam dan amat banyak ditemui terutamanya di perairan kawasan ini.

 

Kebiasaannya ramai pemancing di sebelah pantai barat terutama sekitar Sungai Besar, Hutan Melintang, Perak membuat `operasi sampah hanyut’ sewaktu air mati. Kumpulan pemancing ini berlegar mencari pangkal nipah atau objek hanyut.

 

Apabila berjumpa, bot akan mendekati sampah kemudian hanyut bersama dan pada masa yang sama pemancing mula menghulurkan hirisan ikan.

Memancing ikan ini amat mudah sekali. Dengan menggunakan umpan hirisan sotong atau isi ikan, ikan ini akan mudah terperdaya.

 

Padanan set pancing berkelas ringan seperti rod 10-18Lb dan kekili siri 2000 atau 3000 sesuai digunakan untuk memberi kepuasan maksimum.

Semakin jauh kami bergerak, semakin banyak apungan yang besar ditemui. Semakin banyak ikan pecah periuk berjaya diperoleh.

Kadang kala terdapat juga apungan yang kosong. Berkemungkinan apungan yang kosong ini telah ditemui oleh orang lain terlebih dahulu.

 

Profil Ikan Pecah Periuk

 

Nama saintifik: Lobotes Surinamensis

Famili: Lobotidae

Nama lain: Sung-sung, pelayak, sekusong, tidur, kakap batu, patipok

Nama Inggeris: Tripetail fish

Ciri fizikal: Keseluruhan warna gelap terutama bahagian ekor dan sirip.

Taburan: Bahagian tropika Lautan Atlantik, Selatan Jepun serta Indo Pasifik

Tempatan: Hampir serata perairan pantai Semenanjung terutama kawasan muara

Habitat: Di bawah longgokan sampah hanyut, tiang, kapal berlabuh, unjam buluh

Diet: Ikan-ikan kecil dan krustasea