Profil Ikan Belida Sungai Yang Unik!!

Share

 

Ikan belida mempunyai tarikan yang unik. Bentuk badannya yang seakan-akan bilah sabit menjadikannya antara faktor yang menarik untuk dilihat. Walaupun mempunyai bentuk yang pipih, namun kekuatan dari sudut pertarungan di mata pancing tidak boleh sesekali dipandang remeh.

 

 

Juga dikenali sebagai giant featherback, ikan belida merupakan antara spesies ikan air tawar yang licik. Malah di negara kita sendiri pun, ikan ini boleh dikategorikan antara spesies yang agak sukar  diperoleh terutamanya yang bersaiz besar.

Jika dalam pertarungan dengan kaki pancing pula, ikan belida mempunyai karisma yang tersendiri.

 

Lompatan akrobatik dengan lenturan badannya kelihatan cukup berkarisma menyerupai pertarungan dengan ikan siakap, bezanya lokasi memancing spesies ini lebih sukar berbanding siakap lantas menaikkan nilai ikan ini.

Selain itu, walaupun mempunyai tulang yang banyak, jika kena caranya, spesies belida cukup enak untuk dijadikan hidangan makan.

 

 

Giant featherback atau belida mempunyai morfologi luaran yang cukup menarik. Memiliki badan yang nipis dan memanjang memberikan bentuk seakan sabit atau pisau kepada ikan belida.

 

Tambahan pula warna perak pada badannya terutama pada perut yang semakin menggelap apabila menuju ke bahagian ekor menambahkan lagi karisma kepada bentuk badan ikan belida.

 

Ekor atau sirip kaudal ikan belida bersaiz kecil dan bergabung dengan sirip anal yang menjadikannya hampir keseluruhan badannya. Sirip dorsal ikan belida kecil dan tirus ke atas yang memberikannya gelaran ‘featherback’.

 

 

 

Selain itu, alunan ekornya mampu memegang ikan ini supaya kekal statik di dalam air selain mampu membuat renangan ke belakang. Spesies daripada keluarga Notopteridae mempunyai pelampung renangan (swim bladder) yang istimewa.

 

Walaupun tidak bersifat terlalu vaskular, organ ini mampu menyerap oksigen daripada udara dan boleh berfungsi untuk menghasilkan bunyi dengan menekan udara melalui rongga sempit ke dalam pharynx.

 

TABURAN, BIOLOGI DAN HABITAT

Taburan spesies ikan belida boleh ditemui di lembangan Sungai Mekong, Laos, Kemboja, aliran Sungai Chao Phraya dan Mae Klong di Thailand, Sumatera dan Borneo. Di semenanjung Malaysia pula, ikan belida boleh ditemui di sungai-sungai serta tasik-tasik utama di Malaysia.

Selalunya, pada sungai-sungai utama, ikan belida gemar bermain di lembangan yang lebih rendah, bermakna pada aliran sungai yang tidak terlalu dalam ke hulu.

 

belida albino

 

Selain itu, sungai-sungai kecil atau sungai pegunungan yang mempunyai substrat yang kompleks dengan batuan serta kayu-kayu yang tenggelam juga menjadi habitat kepada ikan belida.

 

Ketika persenyawaan pula, ikan belida akan mengawal telurnya hingga menetas. Selalunya ikan belida akan melepaskan telurnya di kawasan tersorok di sebalik kayu atau reba yang tenggelam dalam keadaan kawasan air yang tenang.

 

DIET

Ikan belida boleh dikategorikan sebagai spesies nokturnal kerana lebih aktif memburu mangsanya pada waktu malam. Pemangsa ini selalu menjadikan ikan kecil sebagai mangsanya. Selain daripada ikan kecil, belida juga menjadikan krustasea dan invertebrata lain sebagai makanannya.

Dalam keadaan lain, ikan belida juga menjadikan mangsa yang telah mati sebagai diet alternatif.

 

 

Bagi spesies belida yang dijadikan ikan hiasan, diet seperti bloodworm, cacing, udang mati atau udang hidup serta hirisan ikan juga boleh digunakan sebagi sumber makanan ikan belida. Walaupun pellet boleh digunakan, namun disarankan agar tidak dijadikan sebagai sumber diet utama.

 

Published by
Amang