Terdapat dua jalur biru muda dan dua jalur kekuningan di sepanjang badannya. Warna asas seperti hijau kebiruan dan keperakan pada bahagian bawah badan. Kitaran hidupnya dari 4 hingga 5 tahun menurut catatan saintis. Ia mampu membesar sehingga 180sm atau hampir 6 kaki dengan berat maksimum yang dilaporkan mencecah 46.2kg.
Di perairan negara kita kebanyakan yang diperolehi sebesar paha sahaja dan berat yang dilihat hanyalah sekitar 2kg hingga 10 kg sahaja. Ikan rainbow runner kecil pula amat popular untuk dijadikan umpan pemangsa besar seperti mersuji namun ia jarang diamalkan di negara kita.
Habitat Dan Sifat
Boleh ditemui di laut lepas mahupun kawasan persisiran pantai. Sejenis ikan pelagik yang mudah dikesan pada kedalaman bawah 10 meter dan berkeupayaan meronda hingga 150 meter dari permukaan.
Ads
Namun ia banyak menghabiskan masa mendiami kawasan permukaan sambil memburu anak ikan kecil sebagai diet utama. Ia boleh mendapat jolokan rainbow runner berikutan memiliki corak berwarna-warni pada badannya dan memiliki kuasa pecutan.
Ads
Sama seperti ikan belitong yang terkenal kerana panggilan dorado. Kedua spesies yang boleh ditemui di lokasi yang sama ini sememangnya mendapat tempat di kalangan masyarakat barat dan hotel lima bintang. Cuma rainbow runner tidak memiliki aksi akrobatik seperti mana ditunjukkan oleh sang belitong.
Di Malaysia ia mudah ditemui di kawasan laut membiru airnya seperti di kawasan api boreng, Tukun Perak maupun di Sipadan, Sabah. Tidak pernah dilihat ia meronda di persisiranpantai kurang dari 15 batu nautika.
Ikan corak warna pelangi ini gemar bergerak dalam satu kumpulan besar (schools of fish) Spesies tidak merbahaya pada manusia tetapi pernah dilaporkan mempunyai racun Ciguatera. Namun tahap merbahaya tidak diberikan secara terperinci kerana mungkin hanya sebahagian sahaja yang mempunyai bahan toksid di badannya.
Oleh kerana pecutan dan daya juangnya yang tinggi ikan rainbow runner ini amat popular sebagai gamefish dan hidangan di kalangan pemancing khasnya Florida, Mexico dan Australia. Manakala di Jepun di hidangkan sebagai shasimi. Di pasaran tempatan ia kurang kerana hanya diperolehi di lokasi jauh dari persisiran pantai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan ceramin-ceramin (Sabah) atau ebek bukanlah satu nama spesies ikan yang janggal bagi pemancing di Malaysia.
Tergolong dalam kalangan keluarga Carangidae, ikan ebek atau nama sebenarnya, Alectis indica merupakan ikan jack yang mampu membesar sehingga saiz yang cukup besar, atau lebih sinonim dengan terma kaki pancing iaitu saiz mega.
Ikan ebek merupakan sejenis spesies ikan marin yang mudah ditemui di perairan tropika seperti Lautan Pasifik yang melangkaui Afrika Timur ke India, Asia, Indonesia, Australia dan juga Malaysia.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidaklah sesukar mana, bermula dari kawasan muara hingga ke lautan lepas.
Mungkin disebabkan itu, ebek atau nama lainnya, diamond trevally menjadi antara spesies yang sering menjadi buruan pemancing di Malaysia.
Malah kekuatan pertarungan di hujung kail juga cukup untuk memberikan kepuasan pancingan kerana ebek cukup agresif sebaik sahaja kail tercangkuk kemas di mulutnya.
Walaupun mampu membesar sehingga keberatan 25kg dan panjang sehingga 1.6 meter, kebiasaan spesies ebek yang dipancing di perairan Malaysia bersaiz lebih kecil.
Ebek yang berat sekitar 6-7 kg sudah dianggap saiz yang besar jika dinaikkan menggunakan joran dan kekili.
Sinonim
Ebek atau diamond trevally merupakan salah satu daripada tiga spesies ikan jack daripada genus Alectis di mana kumpulan ikan ini datang daripada 33 genera dalam keluarga Carangidae.
Carangidae pula merupakan ikan jenis perciformes dalam suborder yang digelar Percoidae.
Spesies ini asalnya diterangkan secara saintifik oleh pengkaji naturalis Jerman iaitu Eduard Rüppell pada tahun 1830 di bawah nama binomial Scyris indicus, hasil spesimen yang dikumpul dari Laut Merah.
Selepas penamaan Ruppell itu, beberapa orang pengkaji lain tanpa disedari telah menerangkan semula spesies ini, dengan nama-nama seperti Hynnis insanus
(Valenciennes, 1862), Caranx gallus (Klunzinger, 1879) dan Hynnis momsa (Herre, 1927), yang merujuk kepada spesies yang sama.
Selang beberapa tahun, pengelasan asal Ruppell juga telah disemak semula; di mana asalnya spesies ini diletakkan dalam genera Seriolichthys, dan akhirnya diletakkan dalam genus Alectis oleh James Douglas Ogilby pada tahun 1913.
Lantas, nama spesies ini telah ditetapkan sebagai Alectis indicus dalam cetakan sains. Bagaimanapun genus Alectis adalah genus feminin, dengan itu indica merupakan ejaan spesies yang betul.
Taburan Spesies Dan Habitat
Secara saintifiknya, taburan spesies ebek tertumpu di kawasan tropika seperti Lautan Hindi dan Barat Lautan Pasifik merangkumi Madagascar, Afrika Timur, Laut Merah hingga ke India, China, Asia Tenggara, utara Jepun hingga ke selatan Indonesia serta utara Australia.
Selalunya, ikan ebek akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20meter hingga 100meter sebagai habitatnya.
Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus laut. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara.
Morfologi
Dari segi morfologi luaran ikan ebek, spesies ini mempunyai bentuk kebiasaan pada spesies ikan jack. Badan ikan ebek mempunyai bentuk yang bersudut yang agak menonjol selain daripada badan nipis mampat yang kuat.
Pengenalan utama bagi spesies ebek boleh diperhatikan pada bahagian kepalanya yang mempunyai bentuk sedikit cekung berhampiran matanya yang membezakannya antara saudara terdekat dalam genus Alectis.
Dengan sedikit imaginasi, pemancing dapat melihat bentuk bersudut ikan ini seakan-akan sebutir berlian apatah lagi ditambah dengan warna perak berkilat pada badannya yang memukau apabila disimbah cahaya matahari.
Sirip dorsal ikan ebek menunjukkan bentuk yang melengkung ke belakang dan bentuk sudut yang jelas bentuk badannya dapat dilihat pada unjuran antara sirip dorsal lembut dan sirip anal lembut yang menggariskan bentuk badannya ke bahagian ekor.
Bagi sirip pektoral pula, spesies ebek mempunyai sirip pektoral yang panjang dan melengkung sehingga ke garisan lengkung lateral.
Badannya kelihatan seolah-olah tidak bersisik, namun jika diperhatikan lebih dekat, dapat diperhatikan kehadiran sisik-sisik kecil dan halus yang tertanam pada badannya.
Garisan lateral pada badannya jelas menonjol dan melengkung pada bahagian anterior dan kehadiran sisik kasar scutes antara 6-11 scutes juga kelihatan pada bahagian kaudal pedunkel.
Bagi ebek juvenil, sirip anal dan dorsalnya seakan filamen yang lebih panjang berbanding ebek dewasa.
Bagi ebek dewasa, warna badannya ialah perak terang dan menyilaukan hingga ke warna perak biru kehijauan, sering kali warna bahagian kepala lebih gelap dan beransur perak apabila semakin ke bawah.
Bahagian operculum atas ebek mempunyai tompok hitam kecil. Warna sirip berfilamen lembut ebek pula biasanya berwarna biru atau hitam.
Biologi Dan Diet
Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin alam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya seterusnya menjadikan senarai tersebut sebagai diet pemakanan utama.
Bagi kitaran persenyawaan pula, tidak banyak diketahui berkaitan ikan ebek. Namun pemerhatian sebuah kajian di Indonesia mendapati persenyawaan spesies Alectis indica
berlaku di kawasan beting yang berkedalaman antara 35-45meter berhampiran kawasan berkepulauan.
Ikan tarpons adalah spesies ikan yang menghirup udara dalam famili Megalopidae dan hanya dua spesies dalam genus Megallops iaitu Megalops atlanticus dan Megalops cyprinoides.
Spesies Megalops atlanticus atau nama umumnya Atlantic tarpon boleh ditemui di pantai barat Atlantik dari Virginia ke Brazil, di seluruh pantai Teluk Mexico, dan di seluruh Caribbean.
Ia juga dijumpai di sepanjang pantai timur Atlantik dari Senegal ke Angola Selatan.
Sementara spesies Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon pula boleh didapati di sepanjang pantai timur Afrika, di seluruh Asia Tenggara, Jepun, Tahiti, dan Australia.
Kedua-dua spesies ini terdapat di kedua-dua habitat air masin dan air tawar namun apa yang membezakan hanyalah saiz.
Atlantic tarpon merupakan spesies ikan besar manakala Indo-Pacific tarpon pula adalah spesies sederhana besar.
Spesies dengan nama binomial Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon yang turut digelar herring atau oxeye yang terdapat di Malaysia lebih dikenali sebagai ikan bulan.
Daripada aspek morfologi, ikan bulan memiliki warna hijau zaitun di bahagian atas dan perak di sisi badan.
Memiliki mulut yang besar dan bukaan luas, rahang bawah mengandungi plat nipis dan keras yang memanjang.
Filamen terakhir sirip dorsalnya lebih panjang daripada sirip-sirip lain yang mencapai hampir ke ekor.
Ikan bulan mampu mengisi pundi renang atau swim bladder dengan udara dan menyerap oksigen daripadanya.
Spesimen yang tinggal di air tawar cenderung lebih kecil daripada spesimen yang tinggal di air masin atau laut.
Lazimnya spesimen di air tawar mampu membesar panjang sekitar 50 cm manakala contoh yang direkodkan di air masin mampu membesar melebihi satu meter.
Namun mereka mampu hidup sehingga 44 tahun dan akan mencapai tempoh matang dalam masa dua tahun.
Dari sudut diet pemakanan, ikan bulan merupakan spesies yang oportunis. Sama ada spesimen di air tawar atau air masin tiada perbezaan yang signifikan dalam tabiat
pemakanan mereka. Mereka memakan ikan-ikan kecil, krustasea, dan juga tumbuhan akuatik yang unik.
Tarpon Indo-Pasifik bermigrasi di antara laut terbuka dan sungai pedalaman. Seperti semua spesies dalam order Elopiformes, ia membiak terutamanya di luar pesisir.
Spesies juvenil akan tinggal di estuari dan berhijrah ke kawasan pesisir sementara matang untuk bertelur. Biasanya, mereka bertelur dua kali setahun.
Berbeza dengan ikan siakap atau barramundi, ikan bulan mampu membiak sama ada di air masin mahupun air tawar.
Spesies Megalops cyprinoides boleh ditemui di perairan sehingga kedalaman 50 meter tetapi biasanya lebih mudah ditemui di permukaan perairan cetek.
Mereka mendiami terumbu karang, bakau, rawa, sungai, tasik, takungan, dataran banjir, dan terusan.
Dalam aspek perdagangan dan penggunaan ikan bulan bukanlah spesies yang bernilai tinggi di pasaran malah hampir tidak dikomersialkan. Justeru ia tidak tergolong dalam ancaman kepupusan.
Secara umumnya pada pandangan mata kasar, seperti tiada banyak perbezaan ketara khususnya pada rupa bentuk ikan tuna dan ikan tongkol.
Justeru ada yang melabel ikan tuna ialah spesies tuna yang besar manakala ikan tongkol merupakan spesies tuna yang kecil.
Merujuk kepada aspek taksonomi, ikan tongkol dan tuna bukanlah spesies yang sama melainkan ditempatkan dalam keluarga besar, Scombridae.
Ikan tongkol atau ikan aya dan turut mendapat gelaran ikan kayu merujuk kepada tekstur isinya yang sedikit pejal atau keras.
Nama biasa bagi tongkol di peringkat global ialah kawakawa, black skipjack, bonito, eastern little tuna, mackarel tuna serta oceanic bonito.
Sementara dalam pengkelasan saintifik, tongkol dikategorikan dalam famili Scombridae, genus Euthynnus dan spesies E. affinis.
Ikan tongkol atau aya ini merupakan spesies marin bersifat pelagik-neritik.
Taburan ikan tongkol sangat meluas dan merupakan ikan natif kebanyakan negara termasuklah Malaysia.
Spesies Indo-Pasifik Barat ini umumnya hidup di lapisan sub permukaan laut berkadar garam rendah dan bersuhu 26-28 darjah celsius.
Malahan tongkol juvenil boleh ditemui di kawasan teluk serta pesisir pantai. Pada kebiasaannya juga tongkol juvenil boleh ditemui dalam kelompok atau kawanan 100 hingga 5000 ekor mencari makan di permukaan air.
Tidak sebagaimana tuna, spesies E. affinis ini hanya mampu membesar panjang maksimum sehingga 100 cm.
Umumnya spesimen yang biasa ditemui hanya sekitar 50-60 cm sahaja. Ikan tongkol dikatakan tidak terlalu memilih daripada segi diet pemakanannya.
Lazimnya ia menjadikan ikan-ikan kecil seperti bilis, sotong serta krustasea sebagai makanannya.
Dari sudut morfologi, bentuk badan ikan tongkol umpama torpedo dengan kulit licin, tidak bersisik kecuali pada korselet dan garis rusuk.
Bahagian belakang tongkol berwarna biru gelap metalik, dengan pola lorek mengiring yang rumit mulai daripada pertengahan sirip dorsal pertama.
Sisi badan dan perut berwarna putih keperakan, dengan celoreng berwarna gelap di antara sirip dada dan sirip perut, yang tidak selalu hadir. Tongkol turut memiliki barisan gigi kecil.
Tongkol ditangkap secara komersial oleh nelayan dan merupakan tangkapan yang penting di pelbagai negara di wilayah sebarannya.
Tongkol banyak ditangkap di Filipina, Malaysia dan Pakistan merupakan tangkapan terpenting di India.
Ikan tongkol ditangkap sebagai sumber protein dan mempunyai nilai gizi yang tinggi.
Tongkol memiliki kandungan protein yang cukup baik dari sudut jumlah dan kualitinya.
Daripada aspek perikanan rekreasi pula, tongkol bukanlah spesies buruan popular sebagaimana tuna.
Namun ia tetap spesies ikan sukan yang seronok dipancing dengan menggunakan peralatan pancing yang bersesuaian.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...