Pro Newzie Anglers Beraksi Di Tasik Temenggor ™

Share

 

Selesai misi menakluki layaran Kuala Rompin terlaksana, agenda seterusnya adalah pencarian sang toman pula.

Walaupun terdapat lokasi berdekatan di daerah Rompin mengenai kewujudan spot toman, namun disebabkan kekurangan maklumat ia tidak dibincangkan secara terperinci.

Memandangkan produk toman yang di promosi di luar negara ialah Tasik Kenyir dan Tasik Banding maka hanya kedua lokasi ini yang diketahui warga asing.

 

 

Beberapa paparan dan risalah mengenai memancing toman di kedua-dua tasik terbabit diketengahkan kepada mereka dan akhirnya Tasik Banding dipilih kerana ia berdekatan dengan `pit stop` akhir iaitu hotel di Pulau Pinang.

Tempahan hotel terbaik di Pulau Pinang pada hari terakhir sebelum penerbangan balik ke negara asal mereka menjadi faktor penentu pemilihan Tasik Banding.

 

 

Program asal tiada perubahan maka perlulah memandu dari Kuala Rompin menuju ke Tasik Banding.

Mujurlah kali ini penulis ditemani dua lagi kaki casting yang menunggu di ibu kota bagi mengurangkan penat memandu berseorangan.

 

 

Dalam perjalanan sempat juga mereka singgah dan bersembang dengan Nick Ooi pemilik kedai pancing di Subang Jaya.

Perbualan mengenai fly fishing termasuk teknik memerangkap toman adalah agenda utama di samping pembelian beberapa set pancing fly untuk kegunaan di Tasik Banding.

 

Dari jam 8 pagi kami bergerak dari Kuala Rompin, jam 10 malam barulah tiba ke destinasi yang dituju, Rumah Rakit Mad Shah.

Sepanjang perjalanan Geng Newzie ini akan meminta saya memberhentikan kenderaan apabila ternampak kumpulan monyet.

Cuma permintaan terakhir mereka tidak mampu saya penuhi. Bukan apa, mereka suruh saya berhentikan kereta di Lebuh raya Gerik apabila ternampak sekumpulan gajah kira-kira jam 9 malam.

Nak ambil gambar kata mereka, tapi saya kata kita cari nahas. Namun setelah diberi penerangan serba sedikit mengenai kemungkinan bahaya yang bakal menanti, Newzie  akhir faham dan kami meneruskan perjalanan meninggalkan kumpulan gajah dalam kegelapan di tepi lebuh raya.

 

 

Untuk misi toman selama dua hari saya menggunakan khidmat tekong Syed@Shed dan tekong Mie. Dua orang tekong muda yang rajin dan mahir dengan selok-belok tasik.

Manakala Bacang dan Belu membantu geng Newzie dari segi pemilihan gewang. Hari pertama, kedua orang tekong mencadangkan agar mencuba kawasan sekitar Sungai Ketir di Tasik Temenggor.

 

 

Fokus utama ialah fly toman walaupun ia agak sukar menjerat toman dengan teknik begini. Brett, Mike dan Mark adalah kaki fly manakala Derek lebih bersantai sahaja. Mike, Derek bersama Bacang dan Belu berada dalam sebuah bot.

Manakala saya bersama Brett dan Mike dalam sampan kedua. Dua buah bot bergerak seiringan dan kemudiannya berpecah sebaik sahaja memasuki zon Sungai Ketir.

 

Sebelum memancing, mereka lebih gemar menikmati keindahan tasik dan panorama. Kami banyak menghabiskan masa bersiar dan melewati tepian tasik dengan perlahan sambil membenarkan Brett dan Mark merakamkan gambar untuk penerbitan artikel mereka di New Zealand nanti.

Puas menikmati pemandangan termasuk melihat perkampungan Orang Asli barulah kami bergerak menuju ke spot casting pilihan tekong.

 

 

Pada sesi permulaan kami tertumpu pada aktiviti casting kerana toman biasanya lebih aktif bila matahari meninggi.

Dengan set fly yang dibeli di kedai Nick Ooi, Brett terlebih dahulu berjaya menjerat sekor sebarau yang terpikat dengan fly berwarna merah.

 

 

Keadaan sampan memaksa hanya seorang sahaja yang fly di hadapan, manakala seorang lagi akan casting di belakang sampan.

Ketika Brett seronok melayan set fly dengan sebarau, Mark tak senang duduk dan terus mencapai joran.

Tiga kali casting akhirnya beliau pula yang berjaya memikat sebarau. Kali ini gewang milik Brett yang dibawa dari New Zealand menjadi pilihan sebarau.

Setelah sesi fotografi selesai, kami bergerak ke dalam lagi menuju kawasan kuala sungai.

 

Enam ekor sebarau pada sesi pagi bukanlah suatu keputusan yang bagus. Tapi di sini hasil sebarau bukan elemen utama, sasaran sebenar belum lagi dimulakan.

Kedua-dua bot bertemu di air terjun untuk menyejukkan badan sambil menikmati jagung rebus di tengah hutan. Sesi petang sekali lagi sampan berpecah mencari spot toman pula.

Slot kali ini banyak menumpukan penggunaan teknik fly dalam cubaan mereka untuk merakam gambar toman dengan teknik fly.

Spot kami lewati banyak terdapat toman muncul di permukaan. Namun kerana mereka belum faham mengenai toman, banyak cubaan gagal.

 

 

Set fly perlu jatuh tepat pada kedudukan toman mengambil udara. Faktor angin dan ‘timing’ yang betul-betul ngam menjadi penentu.

Kalau gewang lebih senang, bila muncul sepantas kilat gewang dilontar dan menyelam berhampiran kawasan toman yang timbul sebelumnya.

Pujian harus diberikan kepada mereka kerana tidak kenal erti mengalah.

 

 

Satu persatu tabiat toman dikaji. Cuma bila dan di mana toman akan muncul masih tertanya-tanya. Fly juga ada kekurangan ‘bunyi’ bagi menarik perhatian toman sewaktu ia jatuh ke air.

Masa untuk melayangkan umpan fly perlu dipercepatkan supaya ia jatuh tatkala toman belum lagi menyelam jauh ke dalam air.

Sehingga petang hanya satu sahaja terkaman toman tersasar sedikit dari umpan fly. Seekor toman berjaya dipancing tetapi dengan lontar gewang ke arah ‘boiling’.

 

 

Hanya untuk menunjukkan toman berada di situ cuma belum ada jodoh lagi untuk umpan fly. Setidaknya usaha semakin hampir menjadi kenyataan.

Petang hari pertama ditangguhkan misi kerana terpaksa ‘check-in’ lebih awal di Belum Rainforest Resort setelah bilik terapung tidak sesuai bagi mereka.

(Hari kedua)

 

Sesi hari kedua mereka ditemani oleh dua orang rakan saya bagi memberi ruang lebih selesa dalam sampan.

Hari kedua mereka sesi pagi pencari toman di Temenggor dan tengah harinya pula menjejak toman kawasan taman Belum.

Mereka memohon untuk dipendekkan masa kerana ingin berehat lebih lama di resort. Tugas sukar bagi juru bot kerana terpaksa berusaha lebih untuk memastikan toman berjaya dijerat dengan teknik fly.

 

Cerita seperti semalam juga berlaku untuk hari kedua dengan sedikit perubahan. Terkaman toman tepat pada umpan fly yang jatuh ke air tetapi Mike tergamam seketika dengan bunyi terkaman toman sehingga lupa untuk menarik tali untuk menyentap mata kail. Sekelip mata toman berjaya melarikan diri bersama set fly yang terputus dari tali utama.

 

Begitu juga dengan kisah Brett dan Mark, masing-masing terpegun dengan cara toman menerkam umpan fly. Banyak yang harus mereka pelajari supaya misi untuk menjerat toman dengan fly berjaya dirakamkan.

Malah bunyi toman menerkam umpan terus menjadi bualan mereka sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang.

Pastinya cerita ini tidak tamat di Malaysia sahaja, kisah dan produk toman kita akan mewarnai pentas New Zealand di suatu masa nanti.

 

 

Saya masih ingat kata-kata Derek, sepanjang berada di Malaysia, menikmati jagung manis yang direbus di tengah hutan adalah bahagian yang paling diingatinya. “This is the best part”, ujarnya ketika memamah jagung rebus.

 

Published by
amirulazhar