Saya dari seawal pembabitan dalam teknik mengilat ini begitu teruja memburu toman dan haruan sehinggalah sekarang kerana spesies ini tidak mengira musim mahupun cuaca untuk meligan gewang yang dihulur.
Lokasi yang ingin saya ketengahkan kali ini terletak di pinggiran negeri Selangor dan amat popular di kalangan pengilat serta kaki pancing dasar kerana berada berdekatan Lembah Klang.
Saya bernasib baik kerana telah diperkenalkan spot ini oleh seorang sahabat iaitu Zaini. Kebetulan pula beliau yang tinggal berdekatan dengan kawasan tadahan air ini malah turut mempunyai sebuah bot fiber berserta enjin. Sejak itu kami sering berkunjung ke sini berdua ataupun kadangkalanya ditemani seorang lagi rakan pengilat lain.
Kunjungan kali pertama saya ke kawasan ini disambut dengan hujan seawal jam 9 pagi dan berlarutan hingga ke petang. Namun itu tidak melemahkan semangat kami bertiga pada hari tersebut. Banyak suak berpotensi kami terokai.
Di beberapa suak kami menemui satu kawanan anak toman yang masih kecil dan kelihatan sepasang induk yang mengiringi kawanan tersebut. Tanpa berlengah lagi pelbagai gewang permukaan dan selaman dalam kami hulur namun tidak membangkitkan rasa amarah kedua induk tersebut.
Sehingga tengah hari kami masih lagi belum dapat menaikkan toman gadang kecuali saudara Apit yang berjaya mendaratkan seekor toman bujang berskala 1kg. Apabila perut semakin berbunyi kami mengambil keputusan untuk berehat di satu spot.
Sambil menghampiri spot tersebut kami turut menghantar gewang-gewang permukaan, manalah tahu sekiranya ada pemangsa yang sedang menghendap di sekitarnya. Setelah mendarat di tebing, di satu sudut bereba kayu tumbang saya perhatikan seperti kelibat ikan yang baru disambar oleh sesuatu di dalam air.
Selepas beberapa ketika, seekor tilapia belang bersaiz dua tapak tangan yang hanya tinggal separuh timbul berhampiran reba tersebut dan sejurus itu juga saya terpandang sekilas ikan toman yang begitu besar saiznya timbul bersebelahan tilapia tersebut.
Saya tanpa berfikir panjang terus menghantar gewang Lucky Craft Gunfish 95 yang kebetulan memang siap tersedia. Satu sambaran kuat diperoleh sebaik sahaja gewang tersebut mencecah air namun sambaran tersebut tidak mengenai sasaran. Saya mainkan kembali gewang saya tersebut dan sejurus itu jugalah toman yang sama menyambar sekali lagi dan kali ini tepat mengenai gewang!
Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana hanya mampu bertahan selama 10 saat sahaja di mana shock leader berkekuatan 30lb saya putus begitu sahaja dikekah gigi toman gadang tersebut.
Setelah selesai sesi mengisi perut dan solat, kami menyusuri semula sebahagian lagi kawasan tadahan air ini sambil ditemani basah hujan dan kesejukan. Di satu sudut berstruktur kayu tumbang, Apit yang menggunakan buzzbait menerima sambaran agak kasar. Hampir 2-3 minit perlawanan seekor toman bunga berskala 1.5kg berjaya didaratkan.
Semasa bot perlahan-lahan menyusuri highway dalam perjalanan pulang, mata kami terpandang kepada satu kawanan anak yang agak besar kelompoknya. Zaini dan Apit serentak menghantar gewang namun tidak memperoleh sambaran. Giliran saya pula menghantar pencil Combat Gigantes berwarna kuning apabila kawanan anak toman tersebut menimbul semula.
Sebaik sahaja gewang mencecah permukaan air, 2 ledakan serentak menyambar dan tali utama terus tegang. Hampir 5 minit pertarungan namun akhirnya memihak kepada induk toman tersebut kerana berjaya menyelinap di celahan kayu di dasar tasik malah menguncupkan mata tiga berkekuatan 3X.
Kunjungan Berikutnya
Kebanyakan suak sama pada kunjungan yang lepas, kami ‘repeat’ semula dan turut menemui satu suak baru umpama nursery toman di mana banyak kelompok anak toman kami temui di sini. Kunjungan kali ini berpihak kepada Zaini kerana berjaya mendaratkan dua ekor mama toman berskala 4-5kg. Apit juga berjaya mendaratkan seekor lagi kerandang yang agak kasar. Saya pula akhirnya dapat juga mendaratkan seekor mama.
Kami begitu teruja kerana kunjungan ulangan kali ini membuahkan hasil yang begitu baik. Yang lebih membanggakan adalah kami tidak perlu memandu jauh hingga ke Temenggor ataupun Kenyir untuk mendapatkan hasil yang lumayan sebegini.