Bersesuaian dengan konsep “keselesaan anda keutamaan kami”, kemudahan yang ada di rakit ini boleh dikatakan serba mencukupi. Televisyen, tempat tidur, dapur, tandas, lampu elektrik, kerusi, dan rod holder semuanya telah disediakan untuk kemudahan dan keselesaan kaki pancing yang bertandang ke sini.
Menurut pemilik rakit yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Azmi, di sini terdapat 3 pilihan rakit untuk kaki pancing iaitu rakit siakap, rakit daun baru dan rakit tebal pipi yang kesemuanya berkedalaman 40 – 58 kaki mengikut pasang surut air.
“Boleh dikatakan setiap rakit mempunyai keunikan dan reka bentuk yang tersendiri yang bersesuaian dengan kehendak kaki pancing masa kini. Ikan yang ada di sini juga tidak kurang hebatnya.
Spesies gred A seperti siakap, kerapu, jenahak, kurau, merah, tebal pipi, dan talang menjadi antara tangkapan buat pemancing yang berkunjung ke sini”, tambahnya lagi.
Kunjungan penulis ke sini baru-baru ini penulis amat percaya bahawa rumah rakit ini memang boleh menjadi antara port memancing yang wajar diketengahkan kepada yang meminati aktiviti pancingan di rumah rakit ataupun kelong.
Meskipun berdepan dengan keadaan air yang kurang cantik dan cuaca yang tidak menentu sewaktu kunjungan ke sini, penulis masih berjaya menaikkan beberapa ekor ikan duri dan semilang bersaiz hidangan selain dapat menjamu mata dengan panorama indah rumah rakit yang dikelilingi paya bakau ini.
Apa yang pasti, jika anda ketandusan idea tentang port mana yang harus anda cuba, penulis syorkan Rakit Air Bintan sebagai lokasi yang boleh anda cuba. Mana tahu, mungkin hasil yang lebih baik akan menanti ketibaan anda nanti.
Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101