Port Ngeteh Retro – Warisan Pahlawan Resort

Share

 

Hulu Terengganu, khususnya Kuala Berang sememangnya sudah sinonim dengan Tasik Kenyir yang sering menjadi lokasi yang sering didambakan oleh kaki pancing.

Sekiranya anda berkunjung ke sini dan tercari-cari penginapan untuk merehatkan diri sebelum turun ke Tasik Kenyir, penulis mencadangkan agar anda singgah ke Warisan Pahlawan Resort yang terletak di Kampung Pauh, Kuala Berang.

Terletak tidak jauh dari Empangan Kenyir dan Pangkalan Gawi menjadikan resort ini lokasi ideal untuk kaki pancing merehatkan diri sebelum turun bertarung di Tasik Kenyir.

 

Menariknya, resort yang mula beroperasi 10 tahun lalu mempunyai konsep yang amat berbeza dengan resort lain yang ada di Malaysia. Ia 100% mengetengahkan seni bina warisan Melayu dan berkonsepkan kepahlawanan, seolah-olah mengembalikan pengunjung ke zaman silam.

 

 

RESORT ALA PAHLAWAN

Resort ini memiliki kemudahan serba lengkap seperti surau, dewan, kedai makan, persekitaran ala kampung yang mendamaikan dan dihiasi dengan 7 buah rumah dengan seni bina yang unik.

 

Ia sekaligus menjadikan kunjungan yang berbaloi untuk seisi keluarga. Setiap rumah yang ada di sini juga mempunyai reka bentuk yang berbeza tetapi masih mengekalkan ciri-ciri warisan Melayu.

 

Apa yang menariknya lagi, kesemua rumah yang ada di sini semuanya dinamakan bersempena dengan nama pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah Inggeris suatu ketika dulu seperti Mat Kilau, Tok Pauh, Tok Gajah, Tok Pulau Manis, Hj. Abd Rahman Limbong, dan Tok Kenali.

 

 

Menurut pemilik Warisan Pahlawan Resort, Encik Anuar, “Konsep untuk mendirikan resort dengan seni bina warisan Melayu ini datangnya daripada idea ayah saya yang sangat meminati seni bina tradisional. Dari situlah datangnya idea dan perlahan-lahan kami bangunkan resort ini sehinggalah menjadi seperti apa yang dapat dilihat sekarang.”

 

“Harga pakej penginapan di sini juga amat berpatutan sekali kepada pengunjung kerana kami menawarkan harga bilik dari RM30 hinggalah RM100 dan harga untuk satu rumah yang mampu memuatkan 8 hingga 10 orang pada satu-satu masa hanya dari RM250 sahaja,” tambahnya lagi.

 

 

HENTIAN KAKI PANCING

Bagi menambah kelainan, pengunjung yang menginap di sini turut berpeluang merasai pengalaman bermalam dan memancing di atas boathouse di Tasik Kenyir, kerana terdapat pilihan pakej yang ditawarkan.

 

Pakej RM300 untuk menginap 1 malam di resort dan 1 malam memancing di boathouse adalah antara tarikan yang disediakan oleh pemilik resort khas untuk kumpulan memancing melebihi 20 orang.

 

Selain itu, resort ini juga berhampiran dengan Sungai Pauh yang menjadi antara lokasi terbaik penduduk tempatan memburu ikan baung. Jadi bagi yang ingin melepaskan gian boleh juga memancing di sungai ini yang hanya terletak bersebelahan dengan resort.

 

Gila mancing? Jom join www.facebook.com/umpania101

 

KOLAM PANCING WARISAN KAMPUNG PUEH

 

Tidak cukup dengan itu, di sini juga terdapat sebuah kolam pancing air tawar yang juga milik pengusaha resort yang terletak hanya kira-kira 3km dari resort. Kolam Pancing Warisan Kampung Pueh ini diusahakan oleh Tun Ismail Tun Abdullah yang merupakan adik kepada pemilik Warisan Pahlawan Resort ini.

 

 

Kolam Pancing yang mempunyai 2 buah kolam dengan keluasan 2 ekar setengah ini telah beroperasi hampir 2 tahun yang mana ia tidak dibuka untuk pancingan secara komersial, tetapi lebih kepada kolam untuk pertandingan memancing.

Malah, setiap minggu akan diadakan pertandingan memancing pada setiap hari Isnin dan Jumaat dengan tawaran hadiah yang sangat menarik.

 

 

Bagi kaki pancing yang mendaftar masuk ke Warisan Pahlawan Resort ini, anda turut berpeluang untuk memancing secara percuma di kolam pancing yang banyak menempatkan spesies keli Afrika, patin, pacu, belida, kaloi dan baung ini. Jadi, sudah pasti ia satu keseronokan yang berganda terutama buat kaki pancing yang ada keinginan untuk bertandang ke sini.

 

Gila mancing? Jom join www.facebook.com/umpania101

Published by
Amang