Pancingan dari tebing muara atau kuala sungai merupakan salah satu segmen memancing yang umumnya dilakukan oleh pemancing yang tinggal di kawasan pesisir laut. Teknik pancingan yang turut mengaitkan pancingan dari atas jambatan, jeti dan rumah rakit di dalam kawasan muara sungai ini lebih popular dengan istilah MENEBING. Daerah Klang di Selangor contohnya, banyak terdapat lokasi menebing tersendiri.
Tanjung Harapan
Tanjung Harapan, Pulau Indah merupakan satu lokasi pemandangan tepian pantai berbatu sesuai untuk aktiviti beriadah serta bersiar-siar terutamanya pada waktu petang. Pengunjung juga boleh menjalanan aktiviti-aktiviti seperti menangkap gambar, berjogging dan sudah tentunya memancing.
Tanjung Harapan merupakan antara lokasi popular di daerah Klang yang kerap dilawati terutamanya pada hujung minggu. Di sepanjang pantai berbatu ini pasti ada pemancing sedang mencuba nasib menanti joran direntap pemangsa seperti pari, sembilang, kurau dan sebagainya. Ia juga merupakan salah satu lokasi pilihan penganjur pertandingan memancing.
Jambatan Muhibbah
Jambatan sepanjang kira-kira 1km yang menghubungkan Pulau Indah dengan tanah besar. Di atas jambatan ini tiada sebarang aktiviti memancing, tetapi tidak di bahagian bawah. Nak memancing kat bawah Jambatan Muhibbah ni hanyalah bermodalkan RM2 saja sekali masuk. Ada yang jaga di sana. Mereka sudah buatkan tangga untuk kita melalui bawah jambatan dan turun ke platform tiang.
Jangan risau anda tak keseorangan, ramai kaki pancing datang ke sini. Jika bernasib baik anda akan berjaya mendaratkan spesies berharga tetapi dijamin akan berjaya menaikkan gelama.
Jambatan Kota
Jambatan lama yang berusia lebih setengah dekad ini dibina oleh syarikat kejuruteraan Inggeris pada tahun 1957. Jambatan dua tingkat sepanjang 0.5 km ini dibina menggunakan asas struktur besi yang merentasi Sungai Klang sebagai perantara utama di antara Klang Selatan dan bandar Klang Utara. Boleh dikatakan satu jambatan yang sangat unik di Malaysia yang susah untuk didapati struktur sebegini di lain tempat.
Ia juga merupakan spot memancing bagi kaki-kaki pancing bagi melepaskan gian memancing kerana tidak banyak ikan gred tinggi dinaikkan di sini.
Pantai Aceh
Lokasi pantai ini mungkin agak tersorok sedikit namun ianya menawarkan pemandangan laut dan landskap pantai yang menarik untuk aktiviti santai, berkhemah dan berkelah. Lokasi ini juga sesuai untuk anda melakukan aktiviti lain seperti parasiling atau memancing.
Laguna Park
Satu lagi destinasi tepi laguna yang sangat mendamaikan. Kebiasaannya pengunjung datang ke sini sama ada untuk aktiviti riadah petang bersama anak-anak ataupun memancing untuk golongan belia. Di sekitar kawasan ini juga terdapat pondok berehat, jeti kecil dan restoran-restoran yang menarik untuk dicuba. Penginapan di sini tidak banyak tetapi sangat ideal untuk mereka yang ingin bermalam di kawsan tenang tepi pantai.
Jeti Star Cruise
Port Klang Cruise Centre di Pulau Indah ini juga dikenali dengan Glenn Cruise Terminal kerana dimiliki dan diuruskan oleh Glenn Marine Group. Terminal ini merupakan terminal berlepas yang canggih dengan adanya balai berlepas yang tersendiri dan juga jambatan yang terus berhubung ke cruise. Kalau tak naik pun boleh tengok-tengok kapal mewah canggih yang berlabuh dari jauh.
Namun ia adalah kawasan larangan memancing. Hanya pemancing tegar saja yang berani menyelinap masuk untuk memancing kerana banyak ikan bergred tinggi bersembunyi di kawasan ini.
Angler Resort
Angler resort yang mempunyai keluasan lebih kurang 80 hektar, menyediakan pelbagai kemudahan selain untuk pemancing. Jeti Angler Resort sepanjang 100meter panjang dan 2meter lebar boleh menempatkan 100 pemancing dalam satu masa.
Kawasan pantai sepanjang 500meter ke kiri dan kanan jeti memang dikhaskan untuk pengunjung. Selain memancing, ia turut menyediakan tempat-tempat riadah yang lain seperti berkhemah, paintball, paragliding dan lain-lain.
Tanjung Piai
Tanjung Piai hampir sama keadaannya dengan Pantai Acheh. Pantai yang sangat cantik cuma agak pendek dan tak dibangunkan. Bagi pemancing itulah yang dikehendaki.Nak masuk ke kawasan pantai ni kena lalui jalan tanah merah yang agak panjang juga dan kena lalu beberapa kawasan kampung. Untuk memancing, anda boleh pilih mana-mana kawasan lapang yang sesuai untuk memacak joran dan melabuhkan umpan.