Populasi Sebarau Terakhir Kuantan

Share

 

Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.

Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di

Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.

 

Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.

 

Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.

 

 

IMBAS KEMBALI

 

Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.

Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.

Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.

 

Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.

Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.

 

Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.

Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.

Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.

 

Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.

 

Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.

Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.

 

 

JEJAK SPOT LAMA

 

Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.

Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.

Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.

 

Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.

Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.

 

Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.

Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.

 

 

Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.

Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.

 

STRIKE

 

Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.

Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.

 

Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.

Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.

Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.

 

 

Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.

Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.

 

Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.

 

Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.

Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.

 

Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.

Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.

 

KAWASAN GAJAH

 

Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.

Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.

 

Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.

Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!

 

Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.

Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.

 

 

Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.

Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.

 

Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.

Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.

 

Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing

rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.

(Catatan : Igat Bayat)

Published by
Amang