Pastikan sungai atau lubuk tersebut menjadi habitat ikan kelah kerana tidak semua sungai meskipun berpotensi pada pandangan mata didiami ikan kelah. Iyalah… kalau sungai tersebut tak wujud ikan kelah maka sia-sia sajalah masa memancing.
Jika memancing secara berkumpulan, elakkan daripada membuat bising mengata sibunyi persekitaran atau melakukan aktiviti berlebihan di dalam air kerana ia akan menakutkan ikan-ikan kelah yang bersifat sensitif.
Sebaiknya pakailah pakaian yang tidak terlalu kontras dengan persekitaran semula jadi. Dan pastikan juga tidak berada begitu rapat dengan gigi air kerana ia boleh membuat kan ikan berasa curiga untuk menghampiri umpan.
Pastikan juga umpan yang digunakan bersesuaian dengan diet ikan kelah di lubuk tersebut. Buatlah sedikit kajian kerana umpan yang salah hanya akan menyebabkan usaha menjadi sia-sia. Walaupun buah sawit sinonim dengan pancingan kelah namun sesetengah lubuk ia bukanlah umpan terbaik.
Jangan kedekut untuk merasuah atau menabur umpan di lubuk yang berpotensi. Rasuah yang berterusan akan meningkatkan peluang ikan mendatangi kawasan pancingan sekali gus menyambar umpan .
Gunalah set pancing yang sepadan atau bersesuaian. Ketepatan mata kail, tali pancing, perambut, kekili, joran serta cara pengendalian akan menentukan nasib anda untuk memiliki lesen utama air tawar.